Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan kisah Nabi SAW tinggal di rumah Abu Ayub?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ketika Rasulullah SAW memasuki Madinah, baginda menunggang unta al-Qaswa’. Nabi SAW turun daripada unta baginda dan membiarkannya berjalan. Baginda SAW bersabda kepada penduduk Madinah:
دَعُوهَا فَإِنَّهَا مَأْمُورَةٌ فَإِنَّمَا أَنْزِلُ حَيْثُ أَنْزَلَني الله
Maksudnya: “Berikan jalan kepadanya (biarkan berjalan jangan dihalangi) kerana dia telah diperintahkan. Sesungguhnya dia akan berhenti ditempat yang Allah telah pilih.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/243)
Hal ini kerana unta itu berjalan dan berhenti atas arahan Allah SWT. Al-Qaswa pun berhenti berhampiran rumah Abu Ayyub yang merupakan sebahagian daripada kaum Bani Najar. Unta Rasulullah SAW terus berjalan hingga sampai ke lokasi Masjid Nabawi lalu ia menderum di situ. Namun Rasulullah tidak terus turun sehingga unta itu bangun semula dan berjalan perlahan-lahan. Kemudian unta itu berpaling ke belakang, berpatah balik dan menderum di tempat tadi. Maka, barulah Rasulullah SAW turun dari untanya.
Unta Nabi berhenti dan merebahkan badannya di satu kawasan tanah yang digunakan untuk mengeringkan tamar. Tanah tersebut milik Suhail dan Sahl, dua orang yatim dari Bani Najjar yang dijaga oleh As’ad bin Zurarah . (Lihat Lu’lu’ al-Maknun fi Sirah al-Nabiy al-Ma’mun, 2/159)
Tempat itu ialah kampung Bani al-Najjar (keluarga pihak bapa-bapa saudara sebelah ibu Rasulullah SAW). Berhentinya unta Rasulullah SAW di situ dengan petunjuk Allah kerana Rasulullah SAW sendiri suka untuk berhenti dalam kalangan bapa-bapa saudara sebelah ibunya demi memuliakan mereka. Sementara itu, orang ramai memujuk Rasulullah SAW supaya singgah di rumah mereka. Lalu Abu Ayyub al-Ansari segera membawa kenderaan Rasulullah SAW dan membawa Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya. Rasulullah SAW berkata, “Seseorang itu bersama kenderaannya.” Kemudian datang As’ad bin Zurarah dan memegang tali kenderaan Rasulullah SAW, lalu kenderaannya berada di sisinya. (Lihat Zad al-Ma’ad, 2/106; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 136)
Dalam riwayat Anas, di sisi al-Bukhari menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Manakah rumah keluarga kami yang terdekat?” Lalu Abu Ayyub berkata, “Saya wahai Rasulullah. Dan inilah rumah saya dan ini pintunya.” Lalu Rasulullah SAW berkata, “Kalau begitu, marilah pergi, dan sediakan tempat berteduh untuk kami.” Abu Ayyub menjawab, “Silakan dengan keberkatan Allah.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/556)
Dikatakan bahawa rumah milik Abu Ayyub al-Ansari itu memiliki sejarahnya sejak zaman sebelum kelahiran Rasulullah SAW lagi. Itulah ketika Taba‘ (gelaran kepada seorang penguasa) datang dari Yaman dan menakluki Madinah dalam perjalanannya untuk menakluki Afrika. Dia telah melantik anaknya raja (atau gabenor) di tempat itu (Madinah).
Pada suatu hari, anak lelaki ini telah pergi dan memanjat pokok kurma untuk menuai hasil daripadanya. Kemudian pemiliknya datang dan menetaknya dengan sabit lalu membunuhnya. Pemilik pohon kurma itu berkata: “Sesungguhnya buah itu adalah untuk orang-orang yang mendebungakannya.”
Apabila Raja Taba‘ kembali, didapati anaknya telah terbunuh, maka dia ingin membalas dendam buat anaknya itu dengan memerangi penduduk Madinah. Akan tetapi dia tidak berjaya untuk mengalahkan mereka, sebaliknya hanya dapat mengepung mereka sahaja. Pengepungan itu berlangsung dalam tempoh yang sangat lama, sehingga bekalan raja dan tenteranya habis.
Penduduk Madinah berkata sesama mereka: “Demi Allah, kita tidak bersikap adil kepada musuh kita. Kita memerangi mereka sehinggalah apabila tiba waktu malam, kita kembali ke rumah kita, isteri-isteri kita, makanan kita dan tempat tidur kita, sedangkan musuh kita pula bermalam dalam kelaparan, seolah-olah kita telah membunuhnya. Justeru, bawalah makanan mereka kepada tentera (raja itu).” Maka raja itu berkata: “Menghairankan sungguh penduduk kampung ini, kita memerangi mereka pada siang hari, sedangkan pada malamnya mereka membalas kita (dengan membawa makanan).”
Oleh itu, sikap baik penduduk Madinah ini adalah sifat asli mereka sejak dahulu kala sebelum hijrah lagi, dan ia berterusan sehinggalah ketibaan Rasulullah SAW ke Madinah. Justeru, terdapat ayat al-Quran yang menjelaskan mengenai mereka sebagaimana firman-Nya:
وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
(Surah al-Hasyr: 9)
Raja itu berkata lagi: “Sesungguhnya apa yang berlaku di kampung ini menakjubkan.” Kemudian, dua orang pendeta datang bertemu dengannya, lalu bertanya: “Apakah yang kamu inginkan, wahai raja, daripada kampung ini?” Dia menjawab: “Aku ingin menghancurkannya.” Dua pendeta itu berkata: “Kamu tidak akan mampu melakukannya kerana ia adalah tempat di mana Nabi akhir nanti akan berhijrah kepadanya.” Raja itu bertanya: “Justeru, apakah yang kamu berdua ingin aku lakukan?” Mereka berkata: “Kamu binalah untuknya sebuah rumah, yang nanti akan dia tinggal (apabila tiba kelak).” Maka, raja itu membina sebuah rumah dan menulis sepucuk surat, lalu diserahkan kepada salah seorang anak daripada dua orang pendeta itu. Abu Ayyub al-Ansari pula adalah salah seorang daripada keturunan dua orang pendeta tersebut. Oleh itu, Nabi SAW telah tiba di Madinah dan tinggal di dalam rumah yang dibina oleh raja tersebut untuknya apabila datang ke Madinah kelak. (Lihat Durus al-Hijrah oleh ‘Atiyah Salim, 3/10) (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 80-81)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445