#3308: Isi Kandungan Perjanjian Hudaibiyah dan Sikap Umar al-Khattab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah isi kandungan perjanjian Hudaibiyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perjanjian Hudaibiyah berlaku pada bulan Zulkaedah tahun ke-6 Hijrah di mana orang Quraisy diwakili oleh Suhail bin ‘Amr.  Isi kandungan perjanjian Hudaibiyah:

  • Rasulullah SAW hendaklah pulang pada tahun tersebut dan tidak boleh masuk ke Makkah. Pada tahun hadapan, orang Islam boleh masuk ke Makkah dan menetap di situ selama tiga hari. Mereka hanya boleh membawa senjata orang musafir iaitu pedang bersarung, sementara pihak Quraisy tidak boleh menghalang mereka dengan apa cara sekalipun.
  • Gencatan senjata dilaksanakan antara kedua-dua pihak selama sepuluh tahun. Dalam tempoh itu manusia berada dalam keadaan aman dan hendaklah sebahagian mereka menghalang sebahagian yang lain daripada menimbulkan kekacauan.
  • Sesiapa yang suka masuk ke dalam perlindungan dan jaminan Muhammad, maka dia boleh berbuat demikian, dan sesiapa yang suka masuk ke dalam perlindungan Quraisy dan jaminannya, maka dia boleh berbuat demikian. Mana-mana kabilah yang bergabung dengan salah satu pihak ini dianggap sebahagian dari pihak tersebut. Oleh itu, sebarang persengketaan yang ditimbulkan oleh mana-mana kabilah ini dianggap persengketaan terhadap pihak tersebut.
  • Orang Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa kebenaran walinya, iaitu melarikan diri kepada Muhammad, hendaklah dikembalikan semula kepada mereka. Orang yang bersama Muhammad, jika datang kepada orang Quraisy, iaitu melarikan diri daripada Muhammad, tidak akan dikembalikan.

Umar al-Khattab datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, bukankah kita berada di atas agama yang benar, manakala mereka berada dalam kebatilan?” Rasulullah SAW menjawab: “Memang benar.”  Umar R.A bertanya lagi: “Bukankah orang kita yang terbunuh berada di dalam syurga dan orang mereka berada di dalam neraka?” Rasulullah SAW menjawab, “Memang benar.” Umar R.A bertanya lagi: “Justeru, mengapa kita serahkan kerendahan dalam agama kita dan kita berpatah balik, sedangkan Allah belum memutuskan keputusan antara kita dan mereka?”

Rasulullah SAW menjawab: “Wahai putera al-Khattab, aku ini Rasulullah dan aku tidak akan menderhakai Allah. Dialah pembantuku dan Dia tidak akan mensia-siakan aku sama sekali.” Umar R.A bertanya lagi, “Bukankah engkau memberitahu kami bahawa kita akan datang ke rumah Allah dan dapat melakukan tawaf?” Rasulullah SAW menjawab, “Bahkan. Tetapi adakah aku memberitahumu bahawa kita akan datang pada tahun ini?” Umar R.A menjawab: “Tidak.” Rasulullah SAW bersabda: “Memang engkau pasti akan datang ke rumah Allah dan dapat melakukan tawaf.”

Kemudian Umar R.A beredar sambil menahan marah. Beliau pergi pula bertemu dengan Abu Bakar R.A dan berkata seperti yang beliau katakan kepada Rasulullah SAW. Abu Bakar R.A menjawab sepertimana yang dijawab oleh Rasulullah SAW. Selain itu, Abu Bakar R.A turut menambah lagi dengan berkata: “Berpegang teguhlah dengan keputusan Baginda sehingga engkau mati. Demi Allah, Baginda berada di atas kebenaran.”

Kemudian turunlah firman Allah SWT:

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah memberi kemenangan kepadamu (wahai Muhammad) dengan kemenangan yang nyata.”

(Surah al-Fath: 1)

Lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang untuk membacakan ayat ini kepada Umar R.A. Selepas mendengarnya, Umar R.A berkata: “Wahai Rasulullah, adakah ini kemenangan?” Rasulullah SAW menjawab: “Ya.” Barulah kemudian Umar R.A berpuas hati dan kembali.

Setelah itu, Umar R.A merasa menyesal atas keterlanjurannya dengan sesalan yang amat sangat. Umar berkata: “Disebabkan perbuatanku itu, maka aku telah melakukan beberapa amalan. Aku bersedekah, berpuasa, bersolat dan membebaskan hamba seperti yang aku lakukan pada hari ini kerana bimbang akan kata-kataku itu, sehingga aku mengharapkan agar amalanku ini diterima sebagai satu kebaikan.” (Lihat Fath al-Bari, 7/439; Sahih al-Bukhari, 1/378; Sahih Muslim, 2/140; Ibn Hisyam, 2/308; Zad al-Ma’ad, 2/122 seperti dalam al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 590) (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 154-155)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445