#3310: Surat Rasulullah SAW kepada Kisra Raja Parsi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kisahkan tentang surat Rasulullah SAW kepada Raja Parsi yang bernama Kisra?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada waktu akhir tahun keenam Hijrah, Nabi Muhammad SAW menulis surat kepada beberapa raja di Arab dan sekitarnya. Tujuannya adalah untuk mengajak mereka masuk Islam. Di antara penguasa yang mendapat surat adalah Raja Kisra iaitu Raja Parsi. Kisra adalah sebutan untuk beberapa raja Parsi (kini Iran) dari Dinasti Sasaniyah.

Ketika ingin menulis surat-surat itu, Rasulullah SAW diberitahu bahawa para raja tidak akan menerima surat kecuali jika terdapat cop rasmi. Maka, Nabi Muhammad SAW pun membuat cop rasminya dari perak bertulis: “Muhammad Rasul Allah.” Tulisan ini terdiri atas tiga baris, Muhammad sebaris, Rasul sebaris, dan Allah sebaris.

Isi surat tersebut:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Daripada Muhammad SAW utusan Allah untuk Kisra, pembesar Persia. Sejahteralah kepada sesiapa yang mengikuti petunjuk dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang satu dan tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.”

“Dan aku menyeru engkau dengan seruan Allah sesungguhnya aku adalah Rasul kepada manusia keseluruhannya, agar aku memberi peringatan bagi sesiapa yang hidup dan membenarkan perkataan ke atas orang-orang kafir, maka masuklah kamu ke dalam Islam nescaya engkau akan selamat, maka jika engkau enggan maka sesungguhnya ke atas engkau dosa majusi.”

Rasulullah SAW telah melantik Abdullah bin Huzafah al-Sahmi untuk membawa surat tersebut kepada Raja Parsi.  (Lihat Kelengkapan Tarikh Nabi Muhammad II., hlm. 394). Al-Sahmi menyerahkannya kepada pembesar Bahrain. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada pembesar Bahrain itu menguruskan seseorang yang lain untuk menyampaikannya kepada Kisra. Walaubagaimanapun, selepas Kisra membaca surat tersebut, lantas dikoyaknya dan dengan angkuh dia berkata, “Hamba yang hina dari kalangan rakyat jelataku berani menulis namanya sebelum namaku!” Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda:

مَزَّقَ اللَّهُ مُلْكَهُ

Maksudnya: “Semoga Allah mengoyak kerajaannya.” (Lihat I‘lam al-Sa’ilin ‘an Kutub Sayyid al-Mursalin, hlm. 66; Tarikh al-Islam, 1/377; Zad al-Ma‘ad, 3/601; al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/143)

Dan berlakulah sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 158)

Sejarah Tumbangnya Kerajaan Parsi

Raja Kisra dibunuh dengan hina dina pada tahun 628 M oleh anaknya sendiri Syiruwaih. Setelah kematiannya, kerajaan Kisra terpecah-belah dan menjadi permainan di tangan anak-anak keluarga Istana.

Syiruwaih hanya hidup enam bulan saja dalam kurun empat tahun, singgahsananya digantikan oleh sepuluh raja. Tampuk pemerintahan tercabut hingga orang-orang berkumpul dan mengangkat Yazzdajir sebagai raja terakhir Bani Sasan.

Dialah orang yang menghadapi penyerangan tentara Islam yang menyebabkan runtuhnya pemerintahan Sasaniyah yang berjaya lebih dari empat abad lamanya sebelum musnah secara keseluruhan. (Lihat Abul Hasan Ali Al-Hasan Al-Nadwi, Sirah Nabawiyyah, Sejarah Lengkap Nabi Muhammad, Darul Manas, 2011).

Setelah itu tidak pernah ada lagi pemerintahan Sasaniyah, dan terjadilah apa yang diberitahu oleh Rasulullah SAW dengan Sabdanya: “Jika Kisra hancur, maka tidak ada Kisra setelahnya. (Lihat al-Naisaburi, 2236-2237).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445