#3319: Berwudhuk dengan Air Kitaran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum menggunakan air dikitar-semula dalam sesebuah bangunan untuk berwudhu. Saya bekerja sebagai jurutera paip air dalaman, dan menghadapi masalah untuk mengikut kelulusan yang dibuat oleh pelukis pelan dalaman yang mengarahkan supaya air dikitar-semula digunakan untuk kegunaan berwudhu. Untuk makluman dato/tuan, sumber air yang dikitar semula ini adalah daripada air hujan, air sejatan penyaman udara, air kumbahan yang tidak dapat dipastikan kualiti rawatannya. Boleh atau tidak menggunakan air dikitar-semula untuk kegunaan berwudhu? Saya sangat risau akan berdosa bila mengikut kelulusan yang dibuat oleh pelukis pelan dalam yang tidak cakna dengan hal-ehwal kebersihan air wudhu.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Surah al-Ma’idah (6)

Berkenaan isu wudhuk, kami juga ada membahaskan dalam artikel sebelum ini:

#2730: Berwuduk dari Kolah yang Dibela Ikan[1]

#6 Berwudhu’ dengan Air Banjir[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan air yang melebihi dua kolah tidak menjadi najis dengan semata-mata terjatuh atau tersentuh najis, tetapi ia menjadi najis apabila berubah satu daripada sifatnya, iaitu warna, rasa atau bau. Dalilnya ialah ijma’ para ulama. Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Majmu’, Ibn Munzir berkata: “Ulama telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila najis jatuh ke dalamnya dan berubah sama ada rasa, warna atau bau, air itu menjadi najis.”

Oleh itu, hukum berwudhuk dengan air kitaran adalah dibolehkan dengan syarat airnya melebihi dua kolah dan tidak berubah satu dari sifatnya yakni warna, rasa dan bau. Begitu juga, dalam situasi ini ia boleh dikira sebagai salah satu maslahah memandangkan bagi memudahkan urusan para pekerja mengambil wudhuk. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan agama kita. Amin.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.”

(Surah al-Baqarah: 286)

[1] https://maktabahalbakri.com/2730-berwuduk-dari-kolah-yang-dibela-ikan/

[2] https://maktabahalbakri.com/berwudhu-dengan-air-banjir/

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445