#3320: Tafsir Ma’arif al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dr, apakah jenis tafsir bagi tafsir maariful quran? Adakah ianya tafsir bil ma’thur, afsir bir ra’yi ataupun tafsir al isyari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Quran merupakan Kalam Allah SWT yang benar dan merupakan petunjuk kepada seluruh manusia. Allah SWT memerintahkan umat manusia supaya bertadabbur dengan ayat al-Quran supaya dapat menjadi iktibar dan pengajaran kepada setiap makhluk. Firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah Sad: 29)

Ibnu Kathir menyebut bahawa al-Quran merupakan petunjuk bagi setiap perkara yang benar dan sahih dan di ambil pengajarannya daripada akal pemikiran jelas.(Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/63)

Begitu juga firman Allah SWT:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Maksudnya: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa  mereka yang membaca al-Quran tanpa menghayati inti pati al-Quran, maka jantung hatinya terkunci mati  untuk mendapat kebenaran kerana tidak mengetahui kandungan al-Quran. Ia merupakan suatu kutukan terhadap mereka yang tidak berusaha mencapai kefahaman ketika membaca al-Quran. Bahkan, ayat tersebut menunjukkan tuntutan ke atas manusia agar memahami dan menghayati inti pati al-Quran. (Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Quran bi al-Quran, 7/458)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan tafsir ini terbahagai kepada tiga jenis antaranya ialah.

  • Tafsir bil Ma’thur

Sebahagian penulis dalam bidang tafsir menyatakan bahawa tafsir bil ma’thur adalah tafsir al-Quran dengan al-Quran, kemudian dengan al-Sunnah,kemudian dengan kata-kata sahabat, dan kemudian tabiin. Namun terdapat khilaf dikalangan mereka dalam mengkategorikan al-Tabiin dalam tafsir bi al-Ma’thur. (Lihat Fusul fi  Usul al-Tafsir,73)

Antara tafsir bi al-Mathur adalah seperti:

  • Jami’ al-Bayan oleh Ibn Jarir al-Tabari
  • Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibn Kathir
  • Al-Dur al-Mansur Fi Tafsir bil Mathur oleh Jalal al-Din al-Suyuti
  • Al-Muharrar al-Wajiz oleh Ibn ‘Atiyyah
  • Ma’alim al-Tanzil oleh al-Baghawi
  • Tafsir bi al-Ra’yi

Tafsir ini berdasarkan ijtihad dan ijtihad ini terbahagia kepada dua iaitu yang dipuji dan ditegah.jika ijtihad tersebut menepati   apa yang patut menjadi asasnya dan jauh  dari kejahilan dan kesesatan, maka tafsir  ini dipuji dan tidak ditegah. Antara kitab tafsir bi al-Ra’yi yang boleh menjadi rujukan adalah:

  • Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil oleh al-Baidowi
  • Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil oleh al-Nasafi
  • al-Bahr al-Muhit oleh Abi Hayyan
  • Tafsir al-Isyari

Tafsir ini adalah tafsir  al-Quran bukan dari  maknanya yang  zahir, ia merujuk kepada isyarat tersirat yang hanya diketahui oleh ahli tasawwuf. Tafsir ini dipersilisi dalam kalangan ulama, ada yang mengharuskannya dan ada yang melarangnya.[1]

Tafsir ini tertumpu kepada latihan kerohanian yang diamaloelh sebahagian yang lain dari kalangan ahli sufi untuk amalan diri mereka sehingga sampai ke satu tahap atau darjat di mana tarhurailah kepada mereka isyarat-isyarat suci yang dimanifestasikan melalui ungkapan-ungkapan yang tersembunyi yang mencurah pada hatinya. Mereka menghuraikan kitab-kitab Allah SWT.

Antara kitab tafsir al-Isyari adalah seperti:

  • Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Quran al-’Azim wa Sab’u al-Mathani oleh al-Alusi
  • Tafsir al-Tustari oleh Sahl al-Tustari (Lihat Soal Jawab A-Z Tentang Tasawwuf,hlm.32)

Kembali kepada persoalan di atas kami katakan Tafsir Ma’ariful Quran” merupakan salah satu tafsir yang paling penting di antara tafsir-tafsir kontemporari yang menggabungkan antara tafsir-tafsir klasik. Tafsir ini ditulis oleh ulama, mufassir, dan mufti Pakistan terdahulu, Sheikh Muhammad Shafi al-Uthmani, salah satu murid terkemuka Sheikh Hakim al-Ummah Ashraf Ali Thanawi dan merupakan alumni Dar al-Uloom Deoband serta salah satu pengasas Pakistan.

Tafsir ini asalnya ditulis dalam bahasa Urdu, Sheikh Muhammad Qasim al-Qasimi, yang menjadi Ketua Bahagian Fatwa dan profesor Hadis serta pengarah Institut Bahasa Arab di Universiti Dar al-Uloom Zahedan, telah menterjemahkannya dari Urdu ke dalam bahasa Arab supaya dapat mendapat manfaat daripada kitab besar yang berbahasa moden ini. Terjemahan dalam bahasa arab boleh dirujuk melalui lama web https://sunnionline.us/arabic/2018/05/6175/

Justeru kami katakan di sini bahawa tafsir ini merupakan tafsir kontemporari yang mengabungkan antara tafsir-tafsir kontemporari dan silam seperti Tafsir Ibn Kathir, Qurtubi dan lain-lain dan ia merupakan tafsir Maudu’i iaitu disusun mengikut tajuk-tajuk yang tertentu. Oleh yang demikian apa yang dapat kami nyatakan bahawa tafsir ini menggabungkan antara tafsir bi al-Ma’thur dan tafsir bi al-Ra’yi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.

[1]  https://mtafsir.net/forum/% Diakses pada 26 September 2023

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445