Soalan:
Assalamualaikum Datuk Seri Dr Zul, boleh saya tahu hadis-hadis tentang tanggungjawab ketika bekerja. saya nak kongsikan pada kawan sekerja saya. saya lihat dia selalu berbual tentang sunnah seperti tidak baca doa selepas solat, tidak zikir ramai-ramai dsb tapi bila time kerja, dia selalu keluar minum dan banyak bersembang yang bukan pasal kerja.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”
(Surah al-Mukminun:8)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Yakni, jika mereka (orang mu’min) diberi amanah, mereka tidak mengkhianati, malah mereka mengembalikannya kepada pemiliknya. Dan jika mereka membuat perjanjian atau akad, mereka memenuhinya (terma dan syarat).” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/404)
Begitu juga firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”
(Surah al-Anfal: 27)
Al-Maraghi menjelaskan akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/191-194)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
آيَةُ المُنافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ
Maksudnya: “(Antara) tanda orang munafiq itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati.”
Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59)
Menjawab bagi persoalan di atas bersikap amanah dalam menjalankan tugas adalah sangat penting, kerana ini akan menjadi tanggungjawab yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Selain itu, penting untuk bersikap amanah dalam pekerjaan agar pendapatan yang diperolehi dari majikan adalah halal dan diberkati. Ini akan membantu memastikan bahawa kita tidak hanya menjaga amanah terhadap majikan, tetapi juga terhadap Allah SWT.
Selain itu, perlu diingat bahawa menjalankan tugas dengan penuh dedikasi adalah satu bentuk ibadah. Oleh itu, meninggalkan pekerjaan untuk keluar minum atau terlalu banyak bersembang, sehingga menyebabkan kerja terbengkalai, ia merupakan tindakan yang tidak wajar dan tidak amanah serta tidak patuh terhadap etika kerja serta prinsip keagamaan. Dalam menjalankan kerja yang dipertanggungjawabkan, kita perlu berusaha untuk memberikan yang terbaik, kerana kita akan dihisab dan dipertanggungjawabkan atas setiap tindakan kita di akhirat nanti.
Dalam isu ini kami nyatakan beberapa hadith yang menyatakan sikap dan tanggungjawab dalam menjalan sebarang pekerjaan antaranya ialah:
- Amanah
Diriwayatkan daripada Samurah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَدِّ الْأَمَانَةَ إِلَى مَنْ ائْتَمَنَكَ، وَلَا تَخُنْ مَنْ خَانَكَ
Maksudnya: “Tunaikan amanah kepada siapa yang mengamanahkan kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu.”
Riwayat Ahmad (15424), Al-Tirmizi (1264), dan Abu Daud (3534)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya. (Lihat Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, 337/7)
- Benar dan Jujur
Diriwayat daripada Abdullah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”
Riwayat al-Bukhari (6094)
Al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160).
- Komitmen yang tinggi terhadap tugas yang diberi
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْمُؤْمِنُ القَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إلى اللهِ مِنَ المُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وفي كُلٍّ خَيْرٌ. احْرِصْ علَى ما يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ باللَّهِ وَلَا تَعْجِزْ، وإنْ أَصَابَكَ شَيءٌ، فلا تَقُلْ: لو أَنِّي فَعَلْتُ كانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ: قَدَرُ اللهِ وَما شَاءَ فَعَلَ؛ فإنَّ (لو) تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ.
Maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Pada masing-masing ada kebaikan. Tekunlah kamu atas sesuatu yang bermanfaat bagimu. Mintalah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu merasa lemah. Jika kamu tertimpa sesuatu, janganlah berkata: “Kalaulah aku berbuat demikian, maka akan menjadi demikian, demikian.” Akan tetapi berkatalah Allah telah mentakdirkan dan barang yang dikehendaki Allah, pasti Allah lakukan.” Kerana kata- kata (kalaulah) dapat membuka perbuatan syaitan.”
Riwayat Muslim (34)
Dapat difahami daripada hadith ini bahawa kekuatan di sini bukan terhad kepada kekuatan fizikal sahaja tetapi ianya berubah dari zaman ke zaman, apatah lagi di zaman moden ini.kekuatan intelektual dan juga fikiran adalah diutamankan.
Al-Syahid Hassan al-Banna berkata: Jati diri yang saya maksudkan ialah anda memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fikrah atau gagasan anda dan anda ketepikan semua prinsip dan tokoh lain selain daripada gagasan anda kerana gagasan anda adalah yang paling mulia, paling lengkap dan paling tinggi.(Lihat Ke Arah Keperibadian Unggul,hlm.61 )
Justeru, spiritual yang baik dan tinggi sudah pasti melonjakkan seseorang sehingga menjadi bermotivasi dalam menempuh alam pekerjaan. Akhirnya, lahirlah:
- Budaya kerja yang kuat dan sihat.
- Kualiti manusia yang berguna, produktif, kreatif, produk bermanfaat.
- Kerja dengan penuh profesional dan juga itqan (tekun).
- Melahirkan pekerja yang benar-benar bersifat amanah dan ikhlas tanpa dipertikaikan lagi. (Lihat Ke Arah Keperibadian Unggul,hlm.77)
Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”
Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).
Pepatah menyebut: Orang yang hebat hanya memiliki sedikit masa namun banyak hasil dan kerjanya. Sedangkan orang yang malang memeliki banyak masa, namun hanya sedikit sahaja yang dapat dilakukannya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445