#3323: Biodata Imam Ibn al-Jauzi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya tentang biodata Imam Ibn al-Jauzi yang bermazhab Hanbali. Harap Tuan Guru dapat nyatakan biodata penuh sehingga beliau wafat. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kita hendaklah mengetahui bahawa Imam Ibn al-Jauzi adalah orang yang berbeza dengan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Bahkan Ibn al-Jauzi adalah tokoh yang jauh lebih awal berbanding  Ibn Qayyim al-Jauziyyah.

Secara ringkasnya, nama penuh Imam Ibn al-Jauzi ialah Abu al-Faraj ‘Abd al-Rahman bin Ali bin Muhammad bin Ali bin ‘Ubaidullah bin Abdullah bin Hammadi bin Ahmad bin Muhammad bin Ja‘far bin Abdullah bin al-Qasim bin al-Nadhr bin al-Qasim bin Muhammad bin Abdullah bin al-Faqih ‘Abd al-Rahman bin al-Faqih al-Qasim bin Muhammad bin Khalifah Abu Bakar al-Siddiq al-Qurasyi al-Taimi al-Bakri al-Baghdadi al-Hanbali. Beliau dilahirkan pada tahun 509 atau 510 Hijrah. Selain itu, beliau juga dikenali sebagai al-Wa‘iz (pemberi nasihat) dan Sahib al-Tasanif (pengarang kepada banyak karya). (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 21/365-366).

Beliau lebih dikenali sebagai Ibn al-Jauzi, yang merujuk kepada nama datuknya, Ja‘far. Datuknya dipanggil sebagai al-Jauzi disebabkan oleh pokok jauz (sejenis kekacang — walnut) yang berada di dalam rumah mereka, yang tidak ada pada orang lain, atau merujuk kepada furdhah[1] di Sungai Basrah, yang dipanggil sebagai Jauzah. (Lihat Zawa’id Ibn al-Jauzi ‘ala Muqatil fi al-Wujuh wa al-Naza’ir, hlm. 33; Siyar A‘lam al-Nubala’, 21/372).

Diceritakan bahawa bapa Ibn al-Jauzi meninggal dunia ketika beliau berusia tiga tahun. Lalu beliau telah dijaga dan dibesarkan oleh ibu saudaranya. Kaum kerabatnya merupakan peniaga tembaga. Kemudian, ketika dia meningkat dewasa, ibu saudaranya telah membawanya kepada Ibn Nasir dan memperdengarkan kepadanya hadith, dan kali pertama beliau mendengar riwayat (mengambil ilmu) adalah ketika berusia 16 tahun. (Lihat Zawa’id Ibn al-Jauzi ‘ala Muqatil fi al-Wujuh wa al-Naza’ir, hlm. 33; Siyar A‘lam al-Nubala’, 21/367-368).

Beliau mendengar riwayat (mengambil ilmu) daripada Abu al-Qasim bin al-Husain, Abu ‘Abdillah al-Husain bin Muhammad al-Bari‘, Ali bin ‘Abd al-Wahid al-Dinawari, Ahmad bin Ahmad al-Mutawakkili, Isma‘il bin Abu Soleh al-Muazzin, al-Faqih Abu al-Hasan bin al-Zaghuni, Hibatullah bin al-Tabari al-Hariri, Abu Ghalib Ibn al-Banna’, Abu Bakr Muhammad bin al-Husain al-Mazrafi, Abu Ghalib Muhammad bin al-Hasan al-Mawardi, Abu al-Qasim Abdullah bin Muhammad al-Asbahani al-Khatib, al-Qadhi Abu Bakr Muhammad bin ‘Abd al-Baqi al-Ansari, Isma‘il bin al-Samarqandi, Yahya bin al-Banna’, Ali bin al-Muwahhid, Abu Mansur bin Khairun, Badr al-Syaihi, Abu Sa‘d Ahmad bin Muhammad al-Zauzani, Abu Sa‘d Ahmad bin Muhammad al-Baghdadi al-Hafiz, ‘Abd al-Wahhab bin al-Mubarak al-Anmati al-Hafiz, Abu al-Su‘ud Ahmad bin Ali bin al-Mujli, Abu Mansur ‘Abd al-Rahman bin Zuraiq al-Qazzaz, Abu al-Waqt al-Sijzi, Ibn Nasir, Ibn al-Batti dan lain-lain yang jumlah keseluruhannya lebih dari 80 orang guru (syeikh). Sesungguhnya telah disenaraikan nama guru-gurunya dalam dua juzuk (jilid).

Beliau tidak melakukan perjalanan (mengembara) dalam mencari hadith, tetapi beliau memiliki Musnad al-Imam Ahmad, al-Tabaqat li Ibn al-Sa‘d, Tarikh al-Khatib, beberapa kitab yang tinggi (nilainya), al-Sahihain (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim), al-Sunan al-Arba‘ah, al-Hilyah, beberapa penulisan/karya (yang lain) dan juzuk-juzuk yang dikeluarkan daripadanya. Selain itu, beliau ialah orang terakhir yang meriwayatkan hadith (mengambil ilmu) daripada al-Dinawari dan al-Mutawakkili.

Seterusnya, di antara ulama yang meriwayatkan hadith atau mengambil ilmu daripadanya ialah anaknya sendiri ialah al-Sahib al-‘Allamah Muhyiddin Yusuf, seorang guru di Dar al-Musta‘sim billah, anaknya yang sulung iaitu Ali al-Nasikh, cucunya iaitu al-Wa‘iz Syamsuddin Yusuf bin Quzghuli al-Hanafi, pengarang Mir’ah al-Zaman, al-Hafiz ‘Abd al-Ghani, al-Syeikh Muwaffaq al-Din Ibn Qudamah, Ibn al-Dubaisi, Ibn al-Najjar, Ibn Khalil, al-Dhiya’, al-Yaldani, al-Najib al-Harrani, Ibn ‘Abd al-Da’im dan ramai lagi.

Manakala di antara anak muridnya yang diberi keizinan (ijazah) ialah al-Syeikh Syamsuddin ‘Abd al-Rahman, Ibn al-Bukhari, AHmad bin Abu al-Khair, al-Khadhir bin Hammuyah dan al-Qutb bin ‘Asrun. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 21/366-367).

Beliau mendapat manfaat dalam ilmu hadith dengan melazimi Ibn Nasir, bahkan dikatakan juga beliau telah menghafal al-Quran di tangannya, di samping mempelajari hadith yang mulia. Sesungguhnya beliau telah melaziminya selama kira-kira 30 tahun dan belajar banyak daripadanya sehingga beliau menyebutkan, “Aku tidak pernah mendapat manfaat daripada seseorang seperti yang saya dapat manfaat daripadanya.”[2] Selain itu, al-Zahabi turut menyebutkan, Ibn al-Jauzi mendapat manfaat dalam ilmu al-Quran dan adab melalui Sibt al-Khayyat dan Ibn al-Jawaliqi, manakala dalam ilmu fiqh dengan sekelompok ulama. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 21/367).

Seterusnya, ramai ulama memuji Ibn al-Jauzi dari sudut keilmuannya, ketakwaannya dan kehebatannya dalam penyampaian, fiqh, hadith, tarikh (sejarah) dan adab (kesusasteraan). Menurut al-Zahabi, beliau adalah seorang pemimpin atau kepala dalam memberi peringatan tanpa dinafikan lagi. Beliau mengucapkan nazam yang indah dan prosa yang penuh kebijaksanaan. Beliau boleh memperincikan atau menghuraikan sesuatu, membuatkan orang kagum (dengan kata-kata atau huraiannya), membuatnya indah dan berbicara secara panjang lebar, yang mana tidak ada tokoh yang datang sebelum atau selepasnya yang seperti dia. Beliau adalah pembawa panji dakwah (pemberi peringatan), mahir dalam bidang-bidangnya, di samping mempunyai penampilan yang baik, suara yang merdu, dan membekas dalam jiwa, serta memiliki akhlak yang baik.

Tambahan lagi, beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam ilmu tafsir, alim dalam ilmu sirah dan tarikh (sejarah), disifatkan sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan yang baik dalam ilmu hadith serta bidang-bidangnya, seorang yang faqih, alim dengan perkara yang disepakati dalam agama (ijma‘) dan perkara yang diperselisihi, baik dalam ilmu perubatan, mempunyai kecergasan dan kefahaman yang luar biasa, begitu juga mempunyai kekuatan dalam hafalan dan menghadirkannya (apa yang dihafal). Selain itu, beliau juga mempunyai kemampuan untuk menghimpun (maklumat/ilmu) dan mengarang kitab (penulisan), di samping memelihara isinya, menggunakan bahasa indah, menggunakan isyarat atau petunjuk yang baik (jelas), menyusun kata-kata atau ungkapan di dalamnya secara bijak, bahasa yang lemah lembut, sifat-sifat yang baik, dan penuh rasa hormat dan sopan, baik secara khusus mahupun umum. Kemudian, al-Zahabi menyatakan, aku tidak mengetahui seorangpun yang menulis/mengarang seperti beliau. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 21/366-367).

Selain itu, Ibn Kathir juga ada memujinya dengan menyebutkan, beliau ialah salah seorang ulama yang sangat menonjol dalam pelbagai cabang ilmu dan beliau unggul dalam bidang-bidang tersebut dibandingkan dengan yang lain. Beliau menghimpunkan karya-karya besar dan kecil, kira-kira sebanyak tiga ratus karya (penulisan) dan menulis dengan tangannya sendiri kira-kira sebanyak dua ratus jilid. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 13/28).

Tambahan lagi, al-Zahabi turut memujinya dalam al-Tazkirah dengan menyebutkan, beliau ialah seorang al-Imam, al-‘Allamah, al-Hafiz, orang yang alim dalam kalangan penduduk Iraq dan pendakwah di serata dunia. Begitu juga Ibn Rajab memujinya dalam Zail Tabaqat al-Hanabilah dengan menyatakan, beliau ialah seorang al-Hafiz, al-Mufassir, faqih dan pendakwah (pemberi peringatan). Beliau seorang syeikh pada zamannya dan seorang Imam pada eranya. (Lihat Majallah al-Jami‘ah al-Islamiyyah bi al-Madinah al-Munawwarah, 10/99).

Selain daripada itu, Ibn al-Jauzi di antara ulama yang mempunyai banyak karya dalam pelbagai cabang ilmu. Di antara karya-karyanya yang terkenal ialah:

  • Al-Mughni iaitu sebuah kitab tafsir yang besar.
  • Zad al-Masir iaitu Ibn al-Jauzi meringkaskan kitab tafsirnya, al-Mughni dalam empat jilid.
  • Tazkirah al-Arib iaitu sebuah kitab dalam bidang bahasa (lughah) sebanyak satu jilid.
  • Al-Wujuh wa al-Naza’ir iaitu sebanyak satu jilid.
  • Funun al-Afnan iaitu sebanyak satu jilid.
  • Jami‘ al-Masanid iaitu sebanyak tujuh jilid.
  • Al-Hada’iq iaitu sebanyak dua jilid.
  • Naqyu al-Naql iaitu sebanyak dua jilid.
  • ‘Uyun al-Hikayat iaitu sebanyak dua jilid.
  • Al-Tahqiq fi Masa’il al-Khilaf iaitu sebanyak dua jilid.
  • Musykil al-Sihah iaitu sebanyak empat jilid.
  • Al-Maudhu‘at iaitu sebanyak dua jilid.
  • Al-Wahiyat iaitu sebanyak dua jilid.
  • Al-Dhu‘afa’ iaitu sebanyak satu jilid.
  • Talqih al-Fuhum iaitu sebanyak satu jilid.
  • Al-Muntazim fi al-Tarikh iaitu sebanyak sepuluh jilid.
  • Al-Mazhab fi al-Mazhab iaitu sebanyak satu jilid.
  • Al-Intisar fi al-Khilafiyat iaitu sebanyak dua jilid.
  • Masyhur al-Masa’il iaitu sebanyak dua jilid.
  • Al-Yawaqit iaitu sebuah kitab berkenaan peringatan dan dakwah dalam satu jilid.
  • Nasim al-Sihr iaitu sebanyak satu jilid.
  • Al-Muntakhab iaitu sebanyak satu jilid.
  • Al-Mudhisy iaitu sebanyak satu jilid.
  • Al-Safwah al-Safwah iaitu sebanyak empat jilid.
  • Akhbar al-Akhyar iaitu sebanyak satu jilid.
  • Akhbar al-Nisa’ iaitu sebanyak satu jilid.
  • Zam al-Hawa iaitu sebanyak satu jilid.
  • Talbis Iblis iaitu sebanyak satu jilid.
  • Manafi‘ al-Tibb iaitu sebanyak satu jilid.
  • Al-Azkiya’ iaitu sebanyak satu jilid.
  • Minhaj al-Qasidin iaitu sebanyak dua jilid.
  • Al-Wafa bi Fadha’il al-Mustafa iaitu sebanyak dua jilid.
  • Manaqib Abi Bakr iaitu sebanyak satu jilid.
  • Manaqib Umar iaitu sebanyak satu jilid.
  • Manaqib Ali iaitu sebanyak satu jilid.
  • Manaqib Ibrahim bin Adham iaitu sebanyak satu jilid.
  • Manaqib Fudhail iaitu sebanyak satu jilid.
  • Manaqib Rabi‘ah iaitu sebanyak satu juzuk.
  • Manaqib Umar bin ‘Abd al-‘Aziz iaitu sebanyak satu jilid.
  • Manaqib Sa‘id bin al-Musayyib iaitu sebanyak dua juzuk.
  • Manaqib al-Hasan iaitu sebanyak dua juzuk.
  • Manaqib Ahmad iaitu sebanyak satu jilid.
  • Manaqib al-Syafi‘i iaitu sebanyak satu jilid.
  • Mukhtasar funun Ibn ‘Aqil.
  • Fadhl Maqbarah Ahmad.
  • Fadha’il al-Ayyam.
  • Asbab al-Bidayah.
  • Nasim al-Raudh.
  • Al-Nasikh wa al-Mansukh.
  • Dan banyak lagi. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 21/368-369).

Ibn al-Jauzi meninggal dunia pada hari Khamis malam Jumaat, di antara Maghrib dan Isyak, pada 12 Ramadhan tahun 597 Hijrah di Baghdad dan dikebumikan di Bab Harb.

Jenazahnya telah dimandikan pada waktu sahur, dan pada waktu ini, pasar-pasar ditutup. Ramai orang hadir untuk menziarahi dan mensolatkan jenazahnya. Solat jenazahnya telah didirikan oleh anak lelakinya, Abu al-Qasim Ali secara sepakat ulama. Hal ini kerana orang ramai tidak dapat sampai ke jenazahnya. Kemudian, mereka membawa jenazahnya ke Jami‘ al-Mansur untuk disolatkan oleh mereka di sana. Keadaan semasa itu sangat sesak dengan orang yang hadir.

Menurut Ibn Kathir, Ibn al-Jauzi meninggal dunia ketika berusia 87 tahun. Jenazahnya telah dibawa di atas kepala orang ramai, dan jumlah orang yang hadir sangatlah ramai. Beliau dikebumikan di Bab al-Harb di sebelah bapanya, berdekatan dengan makam Imam Ahmad. Hari itu menjadi hari yang disaksikan (dengan kehadiran orang yang sangat ramai) sehingga dikatakan bahawa ada sekelompok orang yang terpaksa berbuka puasa disebabkan oleh kesesakan (yang melampau) dan cuaca yang sangat panas. (Zawa’id Ibn al-Jauzi ‘ala Muqatil fi al-Wujuh wa al-Naza’ir, hlm. 35; al-Bidayah wa al-Nihayah, 13/29-30; Majallah al-Jami‘ah al-Islamiyyah bi al-Madinah al-Munawwarah, 10/101).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.” 37

Surah al-Hasyr (10)

[1] Tempat yang biasanya orang turun untuk minum air di sungai. Namun, jika ia digunakan kepada laut seperti dikatakan furdhah al-Bahr, maka ia merujuk kepada pelabuhan kapal-kapal.

[2] Lihat https://islamonline.net/archive/ابنالجوزيوالغوصفيكلالعلوم/. Diakses pada 27 September 2023.

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445