#3327: Sideburns Wanita Termasuk dalam Anggota yang Dibasuh ketika Berwuduk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkenaan anggota wuduk wanita iaitu sideburns, adakah termasuk dalam anggota yang wajib dibasuh? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, sideburns bermaksud rambut yang tumbuh di sisi muka lelaki di hadapan telinganya.[1] Namun, dalam beberapa keadaan wanita juga boleh mempunyai sideburns. Ia biasanya berlaku kerana sebab genetik dan dilihat selepas garis rambut, dipanggil rambut-rambut halus (baby hairs). Rambut-rambut halus ini boleh dilihat ke arah pelipis, kawasan pipi, dan tengkuk. Rambut halus yang dipanggil baby hairs mungkin bukan gejala sebarang penyakit. Keadaan ini berkaitan sepenuhnya dengan struktur rambut seseorang.[2]

Dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, perkataan “وُجُوهَكُمْ” adalah bentuk jamak (plural) daripada perkataan “الوَجْهُ” (muka). Batasan muka secara garis menegak dari atas ke bawah adalah antara mula tempat tumbuhnya rambut kepala hingga ke hujung pangkal dua rahang atau bahagian bawah janggut. Sementara secara garis melintang/mendatar adalah antara dua telinga, kiri dan kanan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/421).

Berkenaan batasan muka juga, para ulama mengemukakan definisinya dari sudut istilah dengan beberapa pandangan seperti berikut:

  • Muka adalah di antara tempat mula tumbuh rambut pada atas dahi kepala pada kebiasaannya hingga ke bawah dagu secara panjang, dan antara dua cuping telinga secara lebar. (Lihat Umdah al-Salik, hlm. 12; al-Durr al-Mukhtar; Hasyiah Ibn Abidin 1/65-66; al-Syarh al-Saghir, 1/104; Mughni al-Muhtaj, 1/20; al-Mahalli ala Matn al-Minhaj, 1/48; al-Mughni, 1/114-115)
  • Muka adalah bahagian tempat mula tumbuh rambut di dahi kepala hingga rahang dan hujung dagu secara panjangnya dan antara cuping telinga secara lebarnya. (Lihat al-Umm, 1/40)
  • Muka adalah bahagian di antara tempat tumbuhnya rambut pada kebiasaannya sehingga dua tulang rahang yang di situ tumbuhnya gigi yang bawah. Berhimpun permulaannya di dagu dan berakhir di telinga, secara panjangnya. Secara lebarnya, ia adalah di antara dua telinga. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 31)
  • Bahagian muka secara menegak adalah daripada tempat tumbuh rambut hingga bahagian bawah dagu, manakala secara melintang pula adalah daripada bahagian telinga ke telinga. Justeru, wajib membasuh ke semua yang ada di atas bahagian muka termasuk luar dan dalam seperti bulu kening, misai dan janggut kecuali janggut yang tebal yang tidak nampak bahagian dalamnya, memadailah membasuh bahagian luar sahaja. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/54)

Berdasarkan definisi di atas, maka di sini timbul persoalan berkenaan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan sideburns dan rambut atau bulu yang terdapat pada muka.

Mengenai maudhi‘ al-tahzif (موضع التحذيف) iaitu tempat tumbuhnya rambut halus antara sideburns dan pelipis (bahagian kepala di antara dahi dengan telinga). Dalam hal ini ada beberapa pandangan. Abu al-Abbas berpendapat, ini termasuk dalam muka kerana ia turun ke bahagian muka. Abu Ishak pula berpendapat, ia termasuk dalam bahagian kepala kerana Allah menciptakannya daripada kepala maka ia tidak dikira sebagai muka. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/38).

Jumhur ulama mensahihkan bahawa ia termasuk daripada bahagian kepala dan bertepatan dengan pandangan mazhab Syafi‘i pada had/batas definisi kepala. Pengarang kitab Kassyaf al-Qina‘ daripada kalangan ulama Hanabilah juga memberi pendapat yang sama di mana ia termasuk dalam anggota kepala. (Lihat al-Majmu‘, 1/416; lihat juga Raudhah al-Talibin, 1/52).

Seterusnya, mengenai al-‘izar (الْعِذَارَ) iaitu rambut yang tumbuh pada tulang berhampiran telinga (sideburns) juga wajib dibasuh. (Lihat al-Tanbih fi Fiqh al-Syafi‘i, hlm. 15; Tuhfah al-Muhtaj, 1/173)

Seterusnya, mengenai al-sudghan (الصُّدْغَانِ)[3] pula iaitu kedua pelipis[4] (di sebelah telinga dan bersatu dengan kedua sideburns dari atas) menurut pendapat yang asah, tidak termasuk wajah. Jika rambut tersebut turun dan menutupi dahi atau sebahagiannya maka wajib basuh selama mana dalam ruang lingkup definisi muka seperti yang disebutkan. Tetapi, mengikut pendapat yang lemah, tidak wajib dibasuh melainkan jika memenuhi keseluruhan bahagian. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/51).

Berdasarkan kenyataan di atas, maka difahami bahawa rambut yang berada di kawasan muka sahaja wajib dibasuh sebagaimana pandangan muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Jika luar daripada kawasan muka iaitu di bahagian kepala maka tidak wajib dibasuh kerana mengambil hukum asal kejadian atau tempat tumbuhnya.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa sideburns termasuk dalam bahagian yang wajib dibasuh ketika berwuduk kerana ia termasuk dalam bahagian/kawasan muka berdasarkan kepada definisi/takrifan sebelum ini, dan muka adalah di antara anggota wajib wuduk. Adapun sideburns yang terjulur keluar melebihi had muka seperti pada kebanyakan wanita tidak wajib dibasuh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

[1] Lihat https://www.britannica.com/dictionary/sideburns. Diakses pada 27 September 2023.

[2] Lihat https://westmodernclinic.com/sideburns-women/. Diakses pada 27 September 2023.

[3] Iaitu bulu-bulu atas muka dari mata hingga telinga. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/arar/الصُّدْغَانِ/. Diakses pada 27 September 2023).

[4] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pelipis ialah bahagian kepala di antara dahi dgn telinga. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pelipis. Diakses pada 27 September 2023).

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445