Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu pertanyaan, saya dah cukur kepala anak saya yang baru lahir, rambut yang dicukur itu saya perlu buat apa?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, mencukur rambut bayi yang baru lahir pada hari ke tujuh merupakan sunnah menurut Islam. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينَةٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih (aqiqah) untuknya pada hari yang ketujuh, dicukur rambutnya, dan diberikan nama.”
Riwayat Abu Daud (1522)
Kemudian, timbulnya persoalan apakah yang perlu dilakukan dengan rambut yang dicukur tersebut?
Kami katakan, syara‘ menggalakkan bagi mereka yang mampu untuk bersedekah dengan timbangan berat rambut bayi tersebut. Hal ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A, katanya:
عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَنِ الْحَسَنِ بِشَاةٍ وَقَالَ: يَا فَاطِمَةُ احْلِقِي رَأْسَهُ وَتَصَدَّقِي بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّةً، قال: فَكَانَ وَزْنُهُ دِرْهَمًا أَوْ بَعْضَ دِرْهَمٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengaqiqahkan seekor kambing bagi al-Hasan dan bersabda: ‘Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut berat rambut tersebut.’ Fatimah pun menimbang rambut itu dan mendapati beratnya satu dirham atau setengah dirham.”
Riwayat al-Tirmizi (1519), Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19776), dan Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5/529)
Syeikh al-Mubarakfuri mengatakan, ini merupakan dalil bahawa sunat bersedekah dengan nilai timbangan rambut bayi yang baru lahir dengan nilaian perak. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/115)
Dalam riwayat lain daripada Muhammad al-Baqir bin ‘Ali bin al-Husain, katanya:
وَزَنَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ رَسُولِ اللهِ ﷺ شَعْرَ حَسَنٍ وَحُسَيْنٍ وَزَيْنَبَ وَأُمِّ كَلْثُومٍ، فَتَصَدَّقَتْ بِزِنَةِ ذَلِكَ فِضَّةً
Maksudnya: “Fatimah binti Rasulullah SAW menimbang rambut Hasan, Husain, Zainab dan Ummi Kalsum dan bersedekah dengannya dari perak.”
Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (2/501), Abu Dawud dalam al-Marasil (380) dan al-Baihaqi (19746)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan, sunat mencukur rambut anak lelaki dan perempuan selepas penyembelihan aqiqah pada hari yang ketujuh dan bersedekah emas atau perak mengikut berat rambut tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/299)
Ini bagi menzahirkan rasa syukur dan kegembiraan atas nikmat rezeki yang Allah SWT kurniakan melalui bersedekah. Dengan cara seperti ini akan membawa keberkatan dalam hidup dan juga memukadimahkan kehidupan bayi yang baru dilahirkan dengan menghampirkan diri kepada Allah serta menyenangkan jiwa manusia dan orang ramai.
Selepas daripada menimbang rambut dan bersedekah, rambut tersebut perlulah di tanam di tempat yang sesuai. Imam al-Nawawi mengatakan, disunatkan untuk menanam apa yang diambil (potong) daripada rambut dan kuku di dalam tanah. Ini sebagaimana yang dinukilkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, dan disepakati oleh ashab al-Syafi‘iyyah. (Lihat al-Majmu‘, 1/289)
Kesimpulan
Berdasarkan penerangan ringkas di atas, kami katakan buat sesiapa yang baru sahaja direzekikan dengan cahaya mata untuk melakukan ibadah aqiqah jika berkemampuan. Cukurlah rambut anak tersebut pada hari ke tujuh dan berilah nama kepadanya dengan nama-nama yang baik.
Rambut tersebut sebaiknya ditanam setelah selesai aqiqah. Ini bagi mengelakkan ia daripada dibuang merata-rata sehingga disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang tidak bertaggungjawab dengan niat buruk.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445