#3329: Bercita-Cita Menghabiskan Hidupnya di Makkah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ayah saya pernah berkata bahawa beliau bercita-cita untuk menghabiskan hidupnya di Makkah. Terlintas di fikiran saya, sekiranya hendak syahid, di Malaysia pun boleh syahid. Berdosakah sekiranya saya berfikiran seperti itu Dr? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, kami ingin menyatakan bahawa di sana terdapat hadith Nabi SAW menyebut berkenaan kelebihan serta keutamaan mati di Madinah. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَلْيَفْعَلْ فَإِنِّي أَشْهَدُ لِمَنْ مَاتَ بِهَا

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu mampu untuk meninggal dunia di Madinah hendaklah dia melakukannya. Sesungguhnya aku akan bersaksi bagi sesiapa yang meninggal dunia  di Madinah.

Riwayat al-Tirmizi (3917); Ibn Majah (3112) dan ini merupakan lafaz al-Tirmizi

Dalam lafaz yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ اسْتَطَاعَ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَلْيَمُتْ بِهَا؛ فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ يَمُوتُ بِهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah, maka meninggallah di sana kerana aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di sana.

Riwayat Ahmad (5437)dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (4185)

Maksud  “meninggal dunia di Madinah” dalam hadith di atas adalah merujuk kepada tinggal di sana sehingga meninggal dunia di Madinah. Perkataan “meninggallah di sana” pula bermaksud menetaplah di sana sehingga meninggal dunia dan ia merupakan suatu galakan dan dorongan supaya menetap di sana.

Seterusnya, dinukilkan daripada al-Tibi bahawa beliau menyebutkan, arahan supaya mati di Madinah itu merupakan perkara di luar kemampuan manusia bahkan ia kembali kepada Allah SWT. Akan tetapi, makna hadith ini adalah perintah untuk tinggal menetap di sana dan tidak meninggalkan kota Madinah tersebut. Sehinggalah akhirnya, ia menjadi sebab untuk dia dapat mati di dalamnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/286).

Bahkan, Umar bin al-Khattab R.A pernah berdoa:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Ya Allah, rezekikanlah kepadaku mati syahid di jalan-Mu, dan jadikanlah matiku itu di negeri Rasul-Mu SAW — iaitu Madinah.”

Riwayat al-Bukhari (1890)

Berdasarkan doa Umar bin al-Khattab R.A ini, Imam al-Nawawi berpendapat bahawa memohon doa agar dimatikan di tempat yang mulia adalah digalakkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/118).

Keduanya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa boleh jadi niat ayah tersebut ingin mati di Makkah kerana di sana terkandung pelbagai kelebihan dan ganjaran.

Di dalam Khasais Jazirah al-Arab karya Syeikh Bakar bin Abdullah Abu Zaid menyebut, keistimewaan Semenanjung Tanah Arab antaranya, Kota Suci Makkah al-Mukarramah atau Tanah Haram Makkah ialah:

  • Ibn Qayyim berkata: Allah SWT memilih tempat dan negeri yang terbaik, iaitu Balad al-Haram. Begitu juga untuk Nabi-Nya SAW dan dijadikan sebagai manasik sehingga mereka datang ke kota suci Makkah.
  • Sesiapa yang datang berkunjung ke Kaabah bertujuan melakukan ibadat dan tidak membuat perkara yang tidak baik, nescaya dia pulang seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya.
  • Masjidil Haram adalah sebaik-baik tempat di muka bumi, di mana kita digalakkan bersungguh-sungguh musafir kepadanya sama ada menunaikan ibadat haji atau umrah.
  • Kaabah menjadi kiblat penduduk bumi, di mana ia terletak di Kota Makkah.
  • Antara keistimewaannya, haram menghadap atau membelakangkan kiblat ketika qadha’ hajat.
  • Masjidil Haram merupakan masjid yang pertama di muka bumi ini, seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.
  • Tidak boleh memasuki Makkah bagi bukan yang mempunyai hajat secara berulang kecuali dengan ihram.
  • Dihukum berdosa kepada yang bercita-cita melakukan kejahatan, sekalipun belum melaksanakannya, seperti firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ ۚ وَمَن يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُّذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (agama Islam), dan dari memasuki Masjidil Haram (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah, dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang dilarang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Hajj: 25)

  • Ibadat yang dilakukan (di dalam Tanah Haram Makkah) digandakan pahalanya.
  • Tempat lahir Rasulullah SAW.
  • Terdapatnya Kaabah, Hajarul Aswad, Maqam Ibrahim dan lain-lain.
  • Amat mudah dimustajabkan doa, dimakbulkannya dan lain-lain.
  • Makkah tidak dimasuki oleh Dajjal. Hal ini berdasarkan hadith sahih, riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu negeri pun yang tidak akan dimasuki oleh Dajjal, kecuali Makkah dan Madinah. Tidak ada satu pun pintu gerbang daripada pintu-pintunya melainkan ada malaikat-malaikat yang berbaris menjaganya. Kemudian Madinah menggegarkan penghuninya sebanyak tiga kali gegaran. Lalu Allah mengeluarkan seluruh orang kafir dan munafik (dengan gegaran itu).[1] (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 138-140).

Selain itu, berdasarkan kepada pengalaman, kebiasaannya orang sana yang meninggal dunia, mereka meninggal dunia ketika melakukan kebaikan dan amal kebajikan seperti meninggal dunia ketika beribadah kepada Allah SWT atau ketika sedang berada di dalam Masjidil Haram. Tambahan pula, di sana juga, kaum Muslimin yang mendirikan solat jenazah ke atasnya adalah ramai. Begitu juga yang mendoakannya, sama ada ketika mendirikan solat jenazah atau selepasnya atau ketika menziarahi tanah perkuburan.

Apatah lagi seseorang yang berniat atau bercita-cita untuk mati di sana iaitu Makkah bagi mengejar kelebihan dan fadhilat yang ada di dalamnya adalah tidak salah. Sebaliknya berkeinginan atau mengharapkan untuk mati di tempat yang mulia seperti Madinah dan Makkah adalah digalakkan sebagaimana difahami melalui kenyataan Imam al-Nawawi yang kami telah sebutkan di atas.

Begitu juga apa yang terlintas pada fikiran saudara yang bertanya atau sangkaan yang timbul tidaklah berdosa. Benar bahawa pada asalnya mati syahid di mana sahaja adalah sama kerana mati syahid itu sendiri sudah menunjukkan kelebihan dan besar pahalanya. Sekalipun begitu, orang yang mati syahid di dalam Tanah haram yang mulia terhimpun padanya ganjaran/kelebihan yang lain, iaitu di samping ganjaran pahala mati syahid itu sendiri, baginya juga ganjaran atau kelebihan meninggal dunia di dalam Tanah Haram yang mulia. Justeru, di situ pasti ada nilai tambahnya, yang tidak sama dengan mati di tempat lain.

Lihatlah bagaimana Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A telah berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kepadanya mati syahid dan mati di negeri Rasulullah SAW iaitu kota Madinah. Sedangkan tidak tergambar pada fikiran kita bagaimana dua perkara ini boleh diperkenankan secara serentak kerana mati syahid hanya boleh dicapai melalui peperangan dan pertumpahan darah dilarang untuk berlaku di dalam Madinah. Akan tetapi Allah SWT telah memakbulkan permintaan Umar R.A itu, di mana kematiannya dalam keadaan syahid dan dengan husnul khatimah kerana dibunuh oleh musuh Allah serta dalam keadaan bersiap sedia menuju kepada-Nya. Begitu juga beliau meninggal dunia di dalam kota Madinah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

[1] Riwayat al-Bukhari (1881) dan Muslim (2943)

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445