#3332: Pahala Sedekah Duit untuk Bapa Yang Sudah Meninggal Dunia, dan untuk Ibu yang Masih Hidup

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, setiap kali saya bersedekah dengan duit saya sendiri. Saya akan niatkan “Pahala sedekah untuk Mak dan Ayah”. Soalannya, adakah saya juga dapat pahala bersedekah ataupun pahala itu hanya untuk mereka sahaja? Maklumat tambahan, ayah saya telah meninggal dunia, mak saya alhamdulillah masih bersama saya. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

Riwayat Muslim (1631), Abu Dawud (2880), al-Tirmizi (1376) dan al-Nasa’i (3651)

Imam al-Nawawi berkata: Para ulama’ telah bersepakat bahawa doa untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka dan pahalanya sampai kepada mereka sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 10: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami…” Terdapat juga riwayat daripada hadith yang masyhur, bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, ampunilah bagi ahli Baqi’ al-Gharqad.” Hadith Sahih Riwayat Muslim. Doa Rasulullah SAW yang lain: “Ya Allah, ampunilah bagi yang hidup dan juga yang telah meninggal dunia daripada kami…” Hadis riwayat Abu Dawud dan lainnya. Imam al-Nawawi melanjutkan: Tentang bacaan al-Quran, terdapat perbezaan pandangan. Apa yang masyhur daripada mazhab al-Syafi’i bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Akan tetapi sekumpulan ashab Imam al-Syafi’i sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama lainnya yang mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat serta akan sampai pahalanya kepada si mati. Dan sebaiknya orang yang membaca al-Quran selepas selesai membacanya hendaklah berdoa: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada Fulan…” dan juga disunatkan memuji dan menyebut kebaikannya. (Lihat al-Azkar, hlm. 164)

Berkenaan dengan sedekah bagi mereka yang mati, kami cenderung kepada fatwa Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi yang menjelaskan bahawa orang yang mati akan mendapat manfaat dari sedekah-sedekah yang dilakukan kepadanya. Disebutkan oleh Syeikh al-Adawi dalam kitabnya “Masyariq al-Anwar” bahawa  para ulama’ telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada mayat sama ada kubur itu dekat atau jauh. Begitu juga istighfar dan berdoa kepadanya. Imam al-Qurtubi berkata lagi bahawa ulama’ telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada si mati. (Lihat al-Tazkirah, hlm. 279)

Selain itu, jika saudara bersedekah untuk bapa yang sudah meninggal dunia, ia juga termasuk dalam kategori “ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏” iaiatu ‘anak yang soleh yang mendoakan baginya’ yang mana ketika bersedekah itu, pasti diniatkan dan didoakan supaya pahala sedekah itu sampai kepada bapa yang sudah meninggal dunia. Bahkan anak yang soleh juga merupakan hasil didikan ibu bapanya yang mendidiknya sehingga seseorang anak itu menjadi anak yang soleh, pastilah juga ia termasuk dalam ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada anaknya sehingga anaknya itu mengamalkan didikannya tersebut.

Begitu juga dengan sedekah duit bagi pihak yang masih hidup, insya-Allah pahalanya juga akan sampai.  Mustafa al-Ruhaibani menyebutkan, semua bentuk qurbah (ketaatan kepada Allah) yang dikerjakan oleh seseorang Muslim, lalu dia menjadikan pahalanya (yakni menghadiahkannya) untuk orang yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, maka ia adalah dibolehkan dan hal itu memberi manfaat kepadanya melalui pahala yang diperolehinya. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 3/639).

Selain itu, al-Buhuti dalam kitabnya juga ada menjelaskan, semua bentuk qurbah (ketaatan kepada Allah) yang dikerjakan oleh seseorang Muslim, lalu dia menjadikan pahalanya atau pahala sebahagiannya seperti separuh dan seumpamanya seperti satu pertiga atau satu perempat untuk orang Muslim yang lain yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia, maka hal tersebut adalah dibolehkan. Hal itu juga akan memberi manfaat kepadanya melalui pahala yang diperolehinya, bahkan kepada Rasulullah SAW. Namun, pentahqiq kepada kitab tersebut iaitu Lajnah Mutakhassisah fi Wizarah al-‘Adl telah mengkritik kenyataan akhir al-Buhuti ini dengan membawakan pendapat Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah (hlm. 138) yang menyatakan bahawa tidak digalakkan untuk menghadiahkan sebarang bentuk ketaatan kepada Nabi SAW, sebaliknya ia adalah bidaah. Inilah pendapat yang kuat dan yang telah diputuskan. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 4/235).

Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa pahala sedekah saudara bagi pihak ibu bapa saudara, insya-Allah akan sampai kepada mereka sekiranya ia dilakukan dengan penuh ikhlas dan pengharapan kepada Allah SWT. Bahkan saudara juga akan mendapat pahala atas qurbah dan ketaatan kepada Allah yang saudara lakukan, Insya-Allah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445