Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami berkenaan pembunuhan Nabi Yahya AS?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nabi Yahya AS merupakan putera Nabi Zakaria AS. Ia merupakan suatu kelahiran yang amat dinanti-nantikan dan penuh dengan keajaiban kerana Nabi Yahya dilahirkan ketika bapanya iaitu Nabi Zakaria sudah pun mencecah hampir 90 tahun usianya.
Bahkan diceritakan bahawa isteri Nabi Zakaria yang bernama Isya iaitu saudara perempuan Hannah isteri Imran, ibunya Maryam didapati mandul sejak sekian lama. Hasil doa Nabi Zakaria yang tidak putus memohon agar dikurniakan zuriat sebagai pewaris untuk menyampaikan agama Allah SWT, lalu Allah SWT telah memakbulkan doa baginda bahkan Yahya merupakan nama yang dipilih Allah kepada putera baginda itu.
Ini sebagaimana firman Allah SWT:
يَٰزَكَرِيَّآ إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَٰمٍ ٱسْمُهُۥ يَحْيَىٰ لَمْ نَجْعَل لَّهُۥ مِن قَبْلُ سَمِيًّا
Maksudnya: “Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia.”
(Surah Maryam:7)
Perjuangan Nabi Yahya dan para rasul semestinya tidak lari dari ujian yang begitu hebat dari Allah. Dikisahkan bahawa di akhir riwayat hidup Nabi Yahya, baginda telah dibunuh oleh seorang Raja kerajaan Rom ketika ity yang bernama Raja Herodes. Raja Herodes adalah penguasa Palestin yang terkenal sebagai penguasa kuku besi yang paling jahat dan telah menjalankan pemerintahan terhadap rakyatnya dengan cara yang paling kejam.
Diceritakan bahawa Raja Herodes berhasrat untuk menikahi seorang wanita yang menawan dan merupakan anak perempuan tirinya yang bernama Herodia. Hasratnya telah diketahui oleh Nabi Yahya lalu Baginda AS melarang hasratnya itu kerana perbuatan menikahi anak tiri hukumnya adalah haram dan bercanggah dengan hukum Taurat.
Oleh kerana marah hasratnya terhalang, Herodia telah meminta Raja Herodes untuk memenggal kepala Nabi Yahya. Menuruti permintaan kekasihnya itu, Raja Herodes mengarahkan pasukannya untuk menangkap Nabi Yahya. Akhirnya Nabi Yahya telah ditangkap dan dipenjarakan sebelum kepalanya dipancung.
Bahkan tidak hanya Baginda yang dibunuh, malah Nabi Zakaria bapa kepada Nabi Yahya juga ditangkap dan dibunuh secara tragis tanpa belas kasihan. Ketika mana Raja Herodes mengarahkan pasukannya untuk mencari Nabi Zakaria, Allah telah mengizinkan Nabi Zakaria bersembunyi ke dalam sebatang pokok yang terbelah menjadi dua. Setelah Nabi Zakaria masuk ke dalamnya, pokok itu lantas bercantum kembali.
Namun pasukan Raja Herodes itu dapat menghidu bahawa Nabi Zakaria telah bersembunyi dalam batang pokok tersebut, lalu mereka pun membelah pokok itu dan ditemukan Nabi Zakaria telah pun syahid sebagai seorang Nabi yang berani menegakkan agama Allah.
Allah SWT berfirman:
وَسَلَٰمٌ عَلَيْهِ يَوْمَ وُلِدَ وَيَوْمَ يَمُوتُ وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّا
Maksudnya: “Kesejahteraan atas dirinya pada hari ia dilahirkan dan pada hari ia meninggal dan pada hari ia dibangkitkan hidup kembali.”
(Surah Maryam: 15)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Surah al-Kahfi (10)
Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445