#3335: Di Mana Maqam Saidina Ali?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan di manakah sebenarnya maqam Saidina Ali RA?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mengikut Ibn Kathir setelah Ali RA wafat, kedua puteranya iaitu aI-Hasan dan al-Husin memandikan jenazah beliau dibantu oleh Abdullah bin Ja’far. Kemudian jenazahnya disolatkan oleh putera sulungnya iaitu aI-Hasan. AI-Hasan bertakbir sebanyak sembilan kali (pada catatan kaki disebut,  walaubagaimanapun, ada riwayat yang menyebut 4 kali – Lihat Tabaqat al-Kubra).

Jenazah beliau dimakamkan di Darul Imarah di Kufah, kerana terdapat kebimbangan bahawa kaum Khawarij akan membongkar makam beliau. ltulah yang masyhur. Adapun yang mengatakan bahawa jenazah beliau diletakkan di atas kendaraan beliau kemudian dibawa pergi entah ke mana perginya maka sesungguhnya itu adalah berita yang keliru dan mengada-adakan sesuatu yang tidak diketahuinya. Akal sihat dan syariat tentu tidak membenarkan hal seperti itu.

Adapun keyakinan kebanyakan kaum Rafidhah yang jahil bahwa makam beliau terletak di tempat suci Najaf, maka tidak ada dalil dan dasarnya sama sekali. Ada yang menga­takan bahwa makam yang terletak di sana adalah makam al-Mughirah bin Syu’bah.

Al-Mughirah bin Syu’bah  adalah seorang sahabat asal suku Thaqafi ini adalah termasuk cendekiawan Arab. Beliau meriwayatkan banyak hadith dari Rasulullah SAW dan sempat mengikuti bai’ah Ridwan, perang Yamamah, penaklukan negeri Syam (Suriah dan sekitarnya) dan penaklukan Iraq. Sewaktu pemerintahan Umar bin Khattab RA beliau ini diberi kepercayaan untuk memerintah kota Basrah dan Kufah. Beliau sangat dibenci oleh kaum Syiah. Beliau wafat pada tahun 50 H.

Ibn Kathir memetik AI-Khathib al-Baghdadi (w 463H) dalam Tarikh Baghdad meriwayatkan dari al-Hafizh Abu Nu’aim dari Abu Bakar al-Thalahi, daripada Muhammad bin Abdillah al-Hadhrami aI-­Hafizh Muthayyin, bahawa beliau berkata, sekiranya orang-orang Syi’ah menge­tahui makam siapakah yang mereka agung-agungkan di Najaf, nescaya mereka akan lempar dengan batu. Sebenamya itu adalah makam al-Mughirah bin Syu’bah.

Ibn Kathir memetik di dalam buku Tarikh Dimasyq , aI-Hafiz Ibnu Asakir meriwayatkan daripada aI-Hasan bin Ali, katanya, “Aku mengebumikan jenazah Ali di kamar sebuah rumah milik keluarga Ja’dah.”

Ibn Kathir memetik daripada buku Tarikh Baghdad, Abdul Malik bin Umair bercerita, “Ketika Khalid bin Abdullah meng­gali asas di rumah anaknya bernama Yazid, mereka menemukan jenazah seorang Syeikh yang terkubur di situ, rambut dan janggotnya telah memutih. Seolah-olah jenazah itu baru dikuburkan kelmarin. Mereka hendak membakarnya, namun Allah memalingkan niat mereka itu. Mereka membungkusnya dengan kain Qubathi, lalu diberi wangian dan dibiarkan terkubur di tempat itu semu­la. Tempat itu berada dihadapan pintu al-Warraqin sebelah kiblat masjid di rumah tukang sepatu. Hampir tidak pernah seorang pun bertahan di tempat itu melainkan pasti akan pindah dari situ. ”

Ibn Kathir juga memetik dari kitab Tarikh Islam (Bab Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 650) karangan al-Zahabi, “Diriwayatkan dari Ja’far bin Muhammad al-Sadiq, ia berkata, “Jenazah Ali disolatkan pada malam hari dan dimakamkan di Kufah, tem­patnya sengaja dirahasiakan, namun yang pasti di dekat gedung Imarah (istana presiden).”

Kemudian Ibn Kathir menukilakan kenyataan  Ibnu KaIbi [1](737 – 819 H) di dalam Tarikh Dimasyq (12/421) berkata, “Turut mengikuti proses pemakaman jenazah AIi pada malam itu aI-Hasan, aI-Husain, Ibnul Hanafiyyah, Abdullah bin Ja’far dan keluarga ahli bait beliau yang lainnya. Mereka memakamkannya di dalam kota Kufah, mereka sengaja merahsiakan makam beliau kerana bimbang terhadap kebiadaban kaum Khawarij dan kelompok-kelompok lainnya.

Kufah (الكوفة) merupakan sebuah bandar di Iraq. Ia terletak 10 km di timur laut Najaf dan 170 km di selatan Baghdad. Dianggarkan bandar ini mempunyai seramai 110,000 penduduk pada 2003. Bersama-sama dengan Karbala dan Najaf, Kufah merupakan salah satu daripada tiga bandar terpenting di Iraq untuk golongan Syiah. Di era Khalifah Saidina Ali, pusat pentabiran dipindahkan dari Madinah Al-Munawarah ke Kufah. Di sinilah Saidina Ali wafat dari tetakan pedang Ibnu Muljam. Makam Saidina Ali bin Abi Talib pula dipercayai Syiah berada di Najaf.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Surah al-Kahfi (10)

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445