Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika dilihat, sekarang banyak sangat malah sudah menjadi satu trend bagi orang perempuan untuk menjadi cantik dengan melakukan kaedah sulam benang di muka. Adakah ianya sama seperti seseorang itu memakai susuk? Ini kerana sulam benang juga meresap ke dalam kulit muka. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
Surah al-Nur (31)
Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu.
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#1071 Tanam Benang di Muka (Thread Lift)[1]
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:
لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (4886)
Justeru itu, kami nyatakan sekiranya rawatan ini dibuat bagi tujuan kecantikan, maka hukumnya adalah haram kerana mengubah ciptaan Allah. Manakala, sekiranya ia bertujuan untuk rawatan seperti kedutan dimuka lebih nampak tua dari usianya dan seumpamanya, serta tidak memberi mudarat kepada penerima rawatan, maka ianya dihukum harus. Adapun susuk, ia merupakan salah satu perkara yang lain yakni ia perbuatan yang jelas dilarang (haram) di dalam Islam kerana menggunakan khidmat jin dan syaitan bagi kelihatan muda meskipun usianya sudah lanjut.
kami turut menasihatkan agar seseorang yang ingin mendapatkan rawatan sulam benang ini, sebaiknya rujuklah terlebih dahulu pakar bagi membuat pemeriksaan dan mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum melakukannya — yakni sama ada rawatan itu sesuai ataupun tidak buat mereka — bagi mengelakkan sebarang komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
[1] https://maktabahalbakri.com/1071-tanam-benang-di-muka-thread-lift/
Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445