Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mahu bertanya, apakah hukum seseorang muslim menyertai aktiviti sukarelawan haiwan yang melibatkan anjing, sama ada perlu atau ataupun tidak untuk dia memegang anjing. Mohon pencerahan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum kenajisan anjing. Ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, anjing bukanlah dianggap sebagai najis ‘ain, akan tetapi air lebihan yang diminumnya dan lembapannya adalah dikira sebagai najis. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Maliki pula berpendapat, anjing adalah suci ‘ain. Mereka berhujah bahawa hukum asal sesuatu itu adalah suci. Justeru, setiap haiwan yang hidup — sekalipun anjing dan babi — adalah suci, termasuklah peluhnya, air matanya, hingusnya dan air liurnya juga dihukumkan sebagai suci, kecuali apa-apa yang keluar dari haiwan itu berupa telur, hingus, air mata atau air liur selepas ia mati tanpa disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Maka, ketika itu ia dikira sebagai najis dan hukum ini hanya terpakai pada haiwan yang bangkainya dianggap najis. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula berpendapat, anjing adalah najis ‘ain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/129).
Menurut mazhab Syafi‘ie, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘ie, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”
Riwayat Muslim (279)
Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).
Selain itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah iaitu najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40).
Ibn Qudamah pula menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘ie. (Lihat al-Mughni, 1/73).
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Dawud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — iaitu semata-mata mematuhi perintah Allah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa tidak ada masalah untuk menyertai aktiviti sukarelawan haiwan, namun sekiranya melibatkan anjing, maka perlu berhati-hati dan anjing tersebut tidak boleh disentuh sesuka hati melainkan ada keperluan mendesak. Menurut mazhab al-Syafi’i, menyentuh anjing dengan sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan atau hajat adalah haram di sisi Islam. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami:
أَنَّ التَّضَمُّخَ بِالنَّجَاسَةِ إنَّمَا يَحْرُمُ
Maksudnya: “Menyentuh najis secara sengaja ia adalah Haram.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/174)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa menyentuh anjing atau mengusap kepalanya tanpa sebab yang mendesak adalah tidak dibenarkan kerana dilakukan dengan sengaja dan tanpa sebab yang diizinkan oleh syara’. Jika menyentuhnya juga, wajib untuk menyertu tangannya dengan membasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith yang sahih.
Kami juga ingin menasihatkan supaya mengelakkan diri daripada fitnah dan salah faham daripada orang lain kerana di negara kita, isu yang melibatkan anjing ini merupakan perkara yang sangat sensitif. Hal ini berdasarkan kaedah yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri:
اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”
Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.
Namun begitu, terdapat rukhsah bagi mereka yang membela atau memegang anjing yang didahulukan hajat dan keperluan selari dengan kehendak syara’. Ini berdasarkan dalil daripada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَمْسَكَ كَلْبًا، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ، إِلَّا كَلْبَ حَرْثٍ أَوْ مَاشِيَةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang membela anjing, maka sesungguhnya mengurangi pada setiap hari dari amalannya satu qirat, kecuali anjing untuk pengawasan atau anjing menjaga binatang ternakan”.
Riwayat al-Bukhari (2322) dan Muslim (1575)
Daripada hadith tersebut, ia merupakan keizinan bagi mereka yang mahu membela anjing dengan disertakan hajat dan tujuan iaitu sebagai haiwan pemburu; atau pemandu jalan untuk orang buta sekiranya amat memerlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu; atau tujuan keselamatan pihak berkuasa dan juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah; atau sebagai haiwan penjaga untuk menjaga haiwan ternakan.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)
Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445