#1106: Tidak Membaca al-Fatihah

Soalan:

Adakah sah solat saya apabila pada rakaat pertama dan kedua solat Maghrib tadi saya tidak membaca surah al-Fatihah kerana merai ayat al-Quran yang apabila al-Quran dibacakan hendaklah mendengarnya? Tetapi pada rakaat ketiga saya membaca surah al-Fatihah. Mohon pencerahan Dato’.

 

Jawapan:

Dalam mazhab Syafi’i membaca Fatihah adalah wajib bagi imam, makmum dan orang yang sembahyang seorang diri. Inilah juga pendapat jumhur ulama. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

“Tiada solat bagi sipaa yang tidak membaca Fatihah (kitab).”

Sahih al-Bukhari (756)

Membaca surah al-Fatihah di dalam solat adalah termasuk di antara rukun qauli (ucapan) yang mana jika ditinggalkannya maka tidak sah solat yang dilakukan. Justeru, bacaan al-Fatihah itu perlulah dibaca dengan lisan iaitu dituturkan melalui lidah dan bukannya ia sekadar dituturkan di dalam hati.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan oleh kerana makmum tidak membaca Fatihah pada rakaat pertama dan kedua, maka, selepas imam memberi salam, hendaklah ditambah dua rakaat lagi sebagai ganti 2 rakaat yang dikira tidak memenuhi rukun bacaan Fatihah. Justeru, saya nasihatkan supaya sentiasa mendalami ilmu, terutamanya, fiqh al-solah agar sembahyang kita benar-benar mematuhi syariat.

Saya akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)