#3338: Doa agar Dikurniakan Kesabaran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mendengar satu video ringkas ceramah yang mengatakan, kita tidak boleh berdoa meminta kesabaran kerana kita juga akan mendapat musibah. Bolehkah jelaskan? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, ketahuilah bahawa kesabaran itu merupakan kunci kepada ketenangan jiwa, dan ia juga merupakan salah satu sebab Allah SWT mengurniakan ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang beriman di akhirat kelak, yakni atas kesabaran mereka mengharungi ujian dunia ini dengan tetap di atas jalan keimanan.

Allah SWT berfirman:

إِنِّي جَزَيْتُهُمُ الْيَوْمَ بِمَا صَبَرُوا أَنَّهُمْ هُمُ الْفَائِزُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya”

(Surah al-Mu’minun: 111)

Mereka yang apabila diuji dengan apa jua ujian, kemudian dia bersabar dalam menghadapinya dan mengucapkan ucapan istirja‘ (iaitu: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ), maka Allah SWT mengganjarkan buatnya pahala. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadith daripada Ummu Salamah R.Anha, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلاَّ أَجَرَهُ اللَّهُ فِي مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا 

Maksudnya: “Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu musibah, lalu dia mengucapkan: ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada-Nya. Ya Allah, ganjarilah aku pahala akibat musibah ini dan berikanlah pengganti yang lebih baik untukku,’ melainkan Allah akan (memberinya pahala atas musibahnya dan) menggantikan yang lebih baik baginya.”

Riwayat Muslim (918)

Diriwayatkan daripada Buraidah bin al-Husaib al-Aslami R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي شَكُورًا، وَاجْعَلْنِي صَبُورًا، وَاجْعَلْنِي فِي عَيْنِي صَغِيرًا، وَفِي أَعْيُنِ النَّاسِ كَبِيرًا

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah aku hamba-Mu yang syukur, jadikanlah aku orang yang sabar, jadikanlah aku kecil dalam pandanganku namun besar dalam pandangan orang lain.”

Riwayat al-Bazzar (4439) dan al-Dailami (1926)

Benarkah Dilarang Berdoa Meminta Kesabaran?

Melihat kepada persoalan yang diajukan, mungkin sebahagian pihak yang mengatakan bahawa tidak boleh untuk seseorang itu berdoa agar dikurniakan kesabaran, mereka berhujjah dengan sebuah hadith riwayat Mu‘az bin Jabal R.A, katanya:

سَمِعَ النَّبِيُّ ﷺ رَجُلاً وَهُوَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الصَّبْرَ.‏ فَقَالَ: سَأَلْتَ اللَّهَ الْبَلاَءَ فَسَلْهُ الْعَافِيَةَ ‏

Maksudnya: “Nabi SAW mendengar seorang lelaki berdoa: ‘Ya Allah, aku mohon daripada-Mu kesabaran.’ Lalu Baginda bersabda: ‘Engkau telah memohon kepada Allah suatu bala, maka mohonlah daripada-Nya keampunan’.”

Riwayat al-Tirmizi (3527) dan Ahmad (22056)

Syeikh al-Albani mengatakan bahawa status hadith ini bertaraf dha‘if kerana di dalam sanadnya terdapat Abu al-Ward Ibn Thumamah bin Huzn al-Qusyairi, yang mana tidak ada seorang pun mempercayai dia. (Lihat al-Silsilah al-Dha‘ifah, 10/25)

Melihat kepada riwayat-riwayat yang kami bawakan, seakan terdapat ta‘arudh atau percanggahan antaranya. Ada yang menunjukkan galakan memohon dikurniakan kesabaran, dan ada juga yang menunjukkan tegahan untuk berbuat demikian. Bagi mengharmonikan masalah ini, Syeikh al-Mulla Ali al-Qari mengatakan, tegahan dalam hadith di atas hanya untuk mereka yang memohon dikurniakan kesabaran sebelum diturunkan ujian. Adapun orang yang telah diuji dengan sesuatu, disunatkan baginya untuk berdoa memohon kesabaran. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 4/589)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 وَلَمَّا بَرَزُوا لِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالُوا رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir’.”

(Surah al-Baqarah: 250)

Kesimpulan

Natijahnya, berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesabaran itu dibolehkan dan tidak menjadi masalah secara umumnya. Akan tetapi ianya lebih sesuai setelah ditimpa musibah, atau ditimpa musibah, atau seumpamanya, yang mana seseorang itu benar-benar memerlukan kesabaran. Dalam hal itu, disyari‘atkan baginya untuk meminta kesabaran kepada Allah SWT.

Ketahuilah bahawa Allah SWT amat menyukai mereka yang bersabar. Ini berdasarkan firman-Nya:

وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”

(Surah Ali ‘Imran: 146)

Adapun dalam keadaan seseorang itu tidak ditimpa sebarang ujian, maka yang lebih baik baginya untuk memohon agar Allah SWT limpahkan ke atasnya kurniaan dan nikmat, keampunan serta ditutup keburukannya.

Kami mengambil  kesempatan ini juga untuk menasihatkan agar kita semua sentiasa bersabar dan berusaha meningkatkan kesabaran dalam diri. Sebagaimana Allah SWT memberikan nasihat ini kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW:

فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُولُو الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ

Maksudnya: “Maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul ‘Ulil-Azmi’ (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu).”

(Surah al-Ahqaf: 5)

Semoga, Allah SWT jauhkan kita daripada sebarang ujian yang berat dan menjadikan kita dikalangan mereka yang bersabar apabila ditimpa ujian. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu).”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445