#1108: Pertandingan Atau Judi?

Soalan:

Apakah hukum kami kumpulan futsal memasuki pertandingan dengan bayaran RM100 untuk 1 kumpulan? Penganjur mengambil duit pembayaran daripada peserta sebagai hadiah kepada pemenang untuk nombor 1 hingga nombor 3 sahaja. Sedangkan ada 10 kumpulan bertanding.

 

Jawapan: 

Permainan futsal seperti di atas tidak dibenarkan sama sekali. Ini kerana ia termasuk dalam kaedah perjudian atau sekurang-kurangnya syibih judi Justeru, hendaklah dielakkan. 

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi judi diertikan sebagai: “permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan”.

Definisi ini tidak jauh dengan makna pertaruhan (qimar), seperti yang ditakrif oleh Imam al-Jurjani sebagai:

كُلُّ لَعِبٍ يُشْتَرَطُ فِيْهِ غَالِبًا مِنَ الْمُتَغَالِبَيْنِ شَيْئًا مِنَ الْمَغْلُوْبِ

Maksudnya: Setiap permainan yang mensyaratkan peserta yang kalah memberikan sesuatu (seperti duit) kepada peserta yang menang. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 179)

Perbuatan ini dilarang di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

Surah al-Baqarah (219)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya ayat ini menyatakan orang yang bertaruh juga dipanggil orang yang berjudi. (Lihat Jami’ al-Bayan, 4/322).

Dalam ayat lain, Allah SWT juga berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Surah al-Ma’idah (90)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut dalam kitabnya yang telah kami terjemahkan berkata:

“Tetapi sekiranya hadiah tersebut (atau benda pertaruhannya) dikeluarkan dari kedua-duanya sekali dan mereka yang bertaruh dengan syarat siapa yang menang antara keduanya, maka dia berhak mengambil kedua-duanya (taruhan) sekali. Maka jelaslah ini merupakan perjudian yang diharamkan oleh Islam.”

Justeru, mengambil yuran peserta bagi tujuan hadiah kepada para pemenang ialah satu bentuk pertaruhan yang diharamkan kerana mengakibatkan kerugian seumpama main nasib atas pihak yang kalah.  (Lihat Halal & Haram dalam Islam hlm. 558)

Bagi menghalalkan caranya hendaklah dimasukkan orang ketiga sebagai penganjur dengan menggunakan duit yang lain sebagai hadiah kepada pemenang. Maka, ia adalah dibenarkan. Ulama fiqh telah menyebut dalam bab hukum musabaqah atau al-sabq.