#3340: Membatalkan Niat Untuk Membeli Barang

Soalan:

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya soalan tentang muamalat. Apakah hukum membatalkan niat untuk beli barang yang peniaga dah ketepikan untuk kita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-bai’ (jual beli) dari segi bahasa ialah pertukaran sesuatu dengan sesuatu, sama ada kedua-duanya dalam bentuk harta atau pun tidak. Al-Bai’ dan al-Syira’ dalam bahasa Arab boleh digunakan untuk makna jual dan juga beli. Maksudnya, kedua-dua istilah ini boleh digunakan untuk merujuk kepada makna yang sama.

Menurut istilah fuqaha’: Jual beli ialah akad yang merujuk kepada pertukaran sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan yang kekal.  Maksudnya, dalam akad tersebut mestilah wujud pertukaran harta untuk tujuan pemilikan.

Jual beli juga mesti membabitkan sesuatu yang syara’ menilainya sebagai harta. Jual beli ini juga perlu membabitkan pemilikan dan penyerahan hak dan tidak boleh ditetapkan untuk tempoh tertentu sahaja. Semua perkara ini akan dibincangkan secara terperinci dalam perbincangan seterusnya.

 Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Firman Allah SWT lagi :

 فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ

Maksudnya: “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).”

(Surah al-Baqarah: 279)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Ali bin Talhah berkata: Daripada Ibn Abbas, katanya ‘ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ’, maksudnya siapa yang sentiasa berada dengan riba, dan dia tidak meninggalkannya, maka menjadi hak kepada pemerintah orang Islam untuk memintanya untuk bertaubat. Jika dia bertaubat, maka alhamdulilah, sebaliknya jika dia enggan, maka hendaklah dipancung lehernya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/550)

Allah SWT menghalalkan jual beli selagimana dipersetujui dan diredhai oleh pembeli dan penjual. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

(Surah al-Nisa: 29)

Begitu juga dalam hal ini telah dinyatakan melaui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’d al-khudri bahwa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّما البيعُ عن تراضٍ

Maksudnya: Hanyasanya jual beli itu apa yang diredhai oleh pembeli dan penjual.

Riwayat Ibn Hibban: (4967)

Menjawab persoalan di atas kami katakan, secara asasnya jual beli yang sah sekiranya kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual  saling meredhai. Dalam isu ini kami katakan  boleh membatalkan niat tersebut sekiranya tiada apa-apa ikatan perjanjian antara penjual dan pembeli. Ini kerana sesuatu perjanjian yang dilakukan hendaklah ditunaikan.  Yang demikian sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Begitu juga firman Allah SWT: 

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

(Surah al-Isra’: 34)

Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa janji adalah kehormatan dan persetujuan, dan kontrak adalah kewajiban dan keterikatan. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan munafiq, meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka wajib untuk menepati janji berdasarkan syara‘. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, dia telah melakukan maksiat dan dosa. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/73)

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap janji-janji yang dibuat antara manusia dan kontrak-kontrak yang disepakati antara mereka akan dipersoalkan tentangnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/68)

Diriwayatkan daripada  Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، ولاَ دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Maksudnya: Tidaklah sempurna iman seseorang bagi sesiapa yang tidak beramanah dan tidak sempurnalah agama seseorang bagi sesiapa yang tidak menunaikan janjinya

Riwayat Ahmad (13199) dan al-Bazzar (7196)

Al-Imam al-Zahabi dalam al-Kaba’ir berkata: “Khianat merupakan perkara yang amat buruk dalam semua keadaan dan sebahagian daripadanya lebih teruk daripada yang lain. (Lihat al-Kaba’ir,hlm. 149)

Sebagai kesimpulan, tiada sebarang kesalahan dalam membatalkan niat tersebut, selagi tiada terdapat sebarang kontrak atau perjanjian yang sah antara penjual dan pembeli. Walau bagaimanapun, jika akad jual beli telah dilakukan, pembeli hanya boleh membatalkan akad tersebut selama mana ia masih berada di tempat di mana akad jual beli dilangsungkan, iaitu khiyar majlis.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445