#3342: Mimpi Selepas Membaca Doa Tidur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adakah bila kita baca doa sebelum tidur akan menjamin kita tidak akan bermimpi? Dan jika bermimpi juga selepas baca doa sebelum tidur, adakah mimpi itu membawa makna?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kelebihan sesuatu amalan seperti doa, bacaan al-Quran, zikir dan sebagainya hanya diketahui oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Adapun yang sampai pada kita, maka ia merupakan secebis dari ilmu yang Allah SWT kurniakan kepada para hamba-Nya agar mereka boleh berfikir betapa Sang Pencipta itu teramat Agung dan Maha Mengetahui segala sesuatu. Tidak ada yang mengetahui perihal ghaib itu melainkan Allah SWT, sehinggakan sekecil-kecil perkara yang berlaku atau akan berlaku, juga diketahui oleh-Nya tanpa ada yang terlepas.  Ini berbetulan dengan firman-Nya:

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۚ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ ‎

Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.”

(Surah al-An‘am: 59)

Berdoa pula merupakan tuntutan, dan Allah SWT suka pada mereka yang selalu berdoa kepada-Nya. Maka teruskanlah berdoa dengan penuh keyakinan dan pengharapan kepada Allah SWT agar Dia menerima dan memperkenankan hajat kita. Firman Allah SWT:

وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

Maksudnya: “Dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Nisa’: 32)

Dan juga firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu’.”

(Surah Ghafir: 60)

Manakala berkenaan mimpi yang masih dilalui selepas membaca doa, kami tidak mengetahui apakah makna daripada mimpi tersebut. Ibn Abi Zaid al-Qairawani dalam kitabnya al-Risalah menyebutkan bahawa, tidak boleh bagi seseorang itu menafsirkan mimpi tanpa adanya ilmu. Kata al-Nafrawi (yang mensyarahkan kitab al-Risalah), yakni haram menafsirkan mimpi untuk orang yang tidak ada ilmu pengetahuan kerana ia dikira sebagai penipuan. (Lihat al-Fawakih al-Dawani, 2/353)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.”

(Surah al-Isra’ 36)

Kami hanya mampu menerangkan semula beberapa pembahagian mimpi yang disebutkan oleh syara‘. Diriwayatkan sebuah hadith daripada ‘Auf bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ: مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam; Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

Riwayat Ibn Majah (3907)

Daripada hadith di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
  • Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya.
  • Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Atau mimpi ketuhanan iaitu yang datang dan ilham daripada Tuhan.

Jika mimpi yang dialami adalah mimpi buruk, maka disunatkan untuk meludah ke sebelah kiri. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Harith bin Rab‘i bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنَ اللَّهِ، وَالْحُلُمُ مِنَ الشَّيْطَانِ فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلُمًا يَخَافُهُ فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ، وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ

Maksudnya: “Mimpi yang baik itu adalah daripada Allah SWT, adapun mimpi yang buruk itu daripada syaitan. Jika sekiranya seseorang itu bermimpi satu mimpi yang ditakutinya hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya dan hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada kejahatannya, nescaya dia tidak akan memudaratkannya.”

Riwayat al-Bukhari (3292)

Kami berharap penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman kepada kita bahawa mimpi itu boleh jadi benar-benar berlaku, dan boleh jadi sekadar mainan tidur sahaja. Yang terpenting adalah kita tidak beri‘tiqad bahawa ianya sebahagian daripada dalil syara‘ dan tidak boleh dijadikan hujjah untuk penetapan hukum.  Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari‘at-Nya dengan sebaiknya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445