#3345: Hukum Korban Bagi Orang Musafir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh atau tidak orang yang sedang bermusafir ingin berkorban?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ‎

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

(Surah al-Kauthar: 2)

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing.

Hadith riwayat al-Bukhari (5233)

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/478)

Para ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, tidak ada ke atas mereka korban kerana Abu Bakar dan Umar R.Anhuma tidak melakukan ibadah korban apabila mereka sedang bermusafir. Begitu juga Ali R.A pernah berkata:

لَيْسَ عَلَى المُسَافِر جمعة ولا أضحية

Maksudnya: “Tidak ada solat Jumaat mahupun korban bagi orang yang bermusafir.”

Al-Zaila’i dalam Nasb al-Rayah (4/211) menilainya sebagai gharib.

Selain itu, hal ini juga kerana pelaksanaannya berhajat kepada sebab-sebab yang akan menyusahkan orang yang bermusafir dan menghabiskan waktunya. Justeru, ibadah korban tidak diwajibkan ke atasnya bagi menolak kesusahan daripadanya seperti mana solat Jumaat.

Seterusnya, ulama dalam kalangan mazhab Maliki berpendapat, disunatkan ibadah korban bagi orang yang tidak mengerjakan haji kerana yang disunatkan buat mereka ialah al-Hady. Adapun orang yang tidak mengerjakan haji, disunatkan buat mereka korban secara mutlak, tidak kira bagi orang yang sedang menetap di negaranya, mahupun sedang bermusafir.

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi’i dan Hanbali berpendapat, ibadah korban itu adalah disunatkan bagi setiap Muslim, sama ada orang itu sedang bermusafir, mengerjakan haji atau selainnya. Hal ini kerana Nabi SAW melakukan korban ketika di Mina bagi pihak isteri-isterinya dengan seekor lembu sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka. la sekaligus menjadi dalil bagi menolak atau membantah pendapat yang menyatakan bahawa tidak disunatkan bagi jemaah haji di Mina untuk melakukan korban kerana yang haiwan yang disembelih itu ialah al-Hady dan bukannya korban.

Kemudian, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyimpulkan bahawa semua ulama selain ulama dalam mazhab Hanafi berpendapat, ibadah korban tetap disunatkan bagi orang yang bermusafir dan selainnya. Sedangkan menurut ulama mazhab Hanafi, mereka berpendapat, tidak ada korban bagi orang yang bermusafir-sekalipun dia mampu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445