#3346: Hukum Korban bagi Kanak-Kanak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mempunyai anak kecil, boleh atau tidak saya berkorban untuknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ‎

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

(Surah al-Kauthar: 2)

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing.

Hadith riwayat al-Bukhari (5233)

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/478)

Diwajibkan ke atas kanak-kanak (anak kecil) itu untuk melakukan korban dengan hartanya sendiri menurut pendapat yang paling sahih, pada pendapat Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf. Kemudian, ibadah korban itu pula hendaklah dilakukan oleh bapanya atau walinya bagi pihaknya dan kanak- kanak tersebut boleh makan daripada haiwan korbannya sebanyak yang dia mampu dan membeli apa-apa yang berbaki yang boleh dimanfaatkan secara khusus dan bukannya yang dimakan. Wali itu juga hendaklah menyembelih bagi setiap seorang daripada anak-anaknya yang kecil seekor kambing, atau menyembelih seekor unta atau seekor lembu bagi tujuh bahagian sebagaimana dalam zakat fitrah. Manakala Muhammad dan Zufar daripada kalangan ulama mazhab Hanafi – pula berpendapat, wali hendaklah melakukan korbanyakni bagi pihak kanak-kanak itu – dengan hartanya sendiri, bukannya daripada harta kanak-kanak itu.

Namun, secara zahirnya menurut riwayat daripada ulama mazhab Hanafi, dan ia merupakan pendapat yang kuat di sisi sebahagian daripada mereka serta dijadikan sebagai fatwa, bahawa ibadah korban adalah digalakkan (sunat) dan bukannya wajib daripada kanak-kanak kecil, serta tidak boleh bagi seorang bapa untuk melakukan ibadah korban dengan menggunakan harta kanak- kanak itu. Demikianlah juga menurut ulama dalam kalangan mazhab Maliki, mereka berpendapat bahawa disunatkan ibadah korban bagi kanak-kanak. Sedangkan ulama dalam kalangan mazhab Syafi’i dan Hanbali berpendapat, ibadah korban tidak disunatkan bagi kanak-kanak (anak kecil).

Sebagai kesimpulannya, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, sesungguhnya ibadah korban bagi kanak-kanak dengan menggunakan harta walinya adalah digalakkan (sunat) di sisi ulama mazhab Hanafi dan Maliki. Manakala menurut ulama dalam kalangan Syafi’i dan Hanbali pula, ibadah korban tidak digalakkan (sunat) ke atas kanak-kanak. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2711-2713).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445