#3347: Isteri Meminta Suami Menjalani Ujian Kesuburan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum isteri meminta untuk dilakukan ujian kesuburan terhadap suami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Anak merupakan satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada pasangan yang mendirikan rumahtangga. Sepertimana firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “…dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.”

(Surah al-Syura : 49)

Begitu juga, dalam ayat yang seterusnya:

أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا ۖ وَيَجْعَلُ مَن يَشَاءُ عَقِيمًا ۚ إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki Nya mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”

(Surah al-Syura: 50)

Menurut Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya, Allah SWT mampu untuk mengurniakan anak lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan tidak menganugerahkan keturunan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6174)

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan isu ini melibatkan soal zuriat, maka sebaiknya perkara ini dibincang bersama secara baik dan dengan pandangan yang terbuka. Kadangkala perkara ini menjadi aib bagi si suami ataupun si isteri kerana khuatir perkara ini akan menjadi pergolakan rumahtangga. Justeru, nasihat kami perkara ini perlu dibawa berbincang bersama secara baik. Sekiranya didapati ujian kesuburan itu kurang memuaskan, maka pergilah mendapatkan rawatan dan saling bantu-membantu kerana suami dan isteri itu saling melengkapi. Adakalanya, si suami lebih dalam sesuatu hal, begitu juga isteri, maka di alam perkahwinan ini, kita perlu saling bantu dan beri semangat buat pasangan kita agar rumahtangga itu utuh dan bahagia.

Semoga dengan penerangan ringkas ini dapat memberi kefahaman kepada kita semua dalam beragama.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445