Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kisahkan berkenaan Bai’ah al-Ridwan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
لَّقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
Maksudnya: Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;
(Surah al-Fath: 8)
Al-Tabari berkata: Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah telah reda terhadap orang-orang mukmin, wahai Muhammad, ketika mereka berbai’ah kepadamu di bawah pohon,” yang merujuk kepada bai’ah para sahabat Rasulullah SAW di Hudaibiyah. Mereka berbai’ah kepada baginda untuk menghadapi Quraisy dalam peperangan tanpa gentar dan tidak akan berpaling daripada musuh, semuanya berlaku di bawah sebuah pohon. Sebab berlakunya bai’ah ini dikatakan kerana Rasulullah SAW telah mengutus Uthman bin Affan RA membawa pesanan kepada pembesar Quraisy. Namun, Uthman mengambil masa yang lama untuk kembali, sehingga baginda menyangka bahawa Uthman telah dibunuh. Baginda kemudian mengajak para sahabat untuk memperbaharui bai’ah mereka untuk berperang dengan Quraisy seperti yang telah disebutkan. Mereka pun berbai’ah kepadanya. Bai’ah ini dikenali sebagai Bai’ah al-Ridhwan. Bilangan mereka yang berbai’ah disebutkan berbeza dalam beberapa riwayat: ada yang mengatakan 1,400 orang, ada yang menyebut 1,500 orang, dan ada juga yang menyebut 1,300 orang. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/272)
Dalam kisah ini, apabila berita yang kematian Uthman tersebar dan sampai ke pendengaran Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda, “Kita tidak akan tinggalkan tempat ini melainkan setelah kita menentang kaum itu.” Kemudian Baginda memanggil para sahabat untuk berbai‘ah bagi menyatakan taat setia dan tidak akan melarikan diri. Orang pertama yang berbai‘ah ialah Abu Sinan al-Asadi. Manakala Salamah bin al-Akwa‘ berbai‘ah sebanyak tiga kali untuk sanggup mati, iaitu semasa permulaan, di tengah-tengah dan di akhir manusia bergilir-gilir berbai‘ah. Rasulullah SAW memegang tangannya sendiri sambil bersabda, “Ini adalah bai‘ah untuk Uthman.” Setelah semuanya selesai berbai‘ah, tiba-tiba Uthman R.A tiba, lalu beliau turut sama berbai‘ah. Tidak ada seorang pun yang ketinggalan daripada melakukan bai‘ah kecuali seorang munafik yang bernama Jadd bin Qais.
Setelah beberapa ketika berlalunya peristiwa Bai‘ah al-Ridhwan, pokok asal yang dilakukan bai‘ah di bawahnya tidak dapat ditemui semula dan tidak diketahui oleh sesiapa. Berkenaan hal ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan: «Pada pembahasan tentang peperangan, akan disebutkan persetujuan al-Musayyib bin Hazn (bapa kepada Sa‘id bin al-Musayyib) terhadap Ibn Umar, tentang tidak ditemukan kembali pokok tempat mereka berbai‘ah. Lalu akan dijelaskan pula hikmahnya, iaitu agar tidak menimbulkan fitnah terhadap kebaikan (perjanjian) yang berlaku di bawah pokok itu. Sekiranya pokok itu masih ada (dapat diketahui), dikhuatiri ia akan diagungkan oleh sebahagian orang-orang jahil. Bahkan mungkin mereka akan meyakini pokok itu memiliki kekuatan yang dapat memberi manfaat atau mendatangkan mudarat sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini pada tempat-tempat selainnya. Inilah yang diisyaratkan oleh Ibn Umar melalui perkataannya: ‘Ini adalah rahmat daripada Allah,’ yakni tidak diketahuinya pokok itu merupakan rahmat daripada Allah SWT.” (Lihat Fath al-Bari, 6/118).
Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, para ulama berpendapat bahawa sebab disembunyikan pokok itu adalah supaya manusia tidak terfitnah dengannya kerana kebaikan yang telah berlaku di bawahnya, turunnya keredhaan, ketenangan dan sebagainya. Sekiranya ia masih kekal dan diketahui, maka dibimbangi orang-orang Arab Badwi dan orang-orang jahil akan mengagungkannya dan menyembahnya. Maka tersembunyinya ia adalah merupakan satu rahmat daripada Allah SWT. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/489)
Meskipun begitu, orang ramai tetap mencari pokok tersebut dan apabila mereka tidak menemuinya, mereka hanya mengagak satu pokok yang disangka berlaku bai‘ah di bawahnya. Lalu mereka pun pergi kepadanya. Melihat perkara tersebut, Umar R.A telah memerintahkannya agar pokok itu ditebang. Pengarang kitab Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim menyebut, Umar R.A telah memerintahkan supaya ditebang pokok yang mereka sangka ia adalah pokok yang di bawahnya para sahabat berbai‘ah kepada Nabi SAW, yang dikenali sebagai Bai‘ah al-Ridhwan, apabila beliau melihat orang ramai pergi kepadanya dan melakukan solat di situ, seolah-olah ia adalah Masjidil Haram atau Masjid al-Madinah (Masjid Nabawi). (Lihat Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim, 1/306).
Justeru, pokok tersebut telah ditebang pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab apabila beliau melihat ramai orang mengusap dan menyapu (pada pokok yang disangka sebagai pokok yang dibawahnya berlaku bai’ah) untuk mengambil berkat. (Lihat Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah, hlm. 190).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”
Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445