#3352: Suami Meminta Password Peti Besi Peribadi Isteri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah isteri tidak wajib taat jika suami suruh serah password handphone, laptop atau peti besi peribadi kerana berhujahkan bahawa Islam meraikan ruang privacy dan pertahankan amanah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menerangkan sifat seorang isteri yang solehah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurthubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan perkara ini melibatkan isu privasi yang perlu dihormati sesama pasangan. Mentaati arahan suami adalah satu kewajipan bagi si isteri selagi mana ianya tidak bertentangan dengan syarak. Akan tetapi, ada situasi yang perlu diberi ruang privasi contohnya dalam soal kata laluan telefon, peti besi peribadi dan seumpamanya. Maka, kami katakan isu ini melibatkan situasi pasangan tersebut. Misalnya sekiranya pasangan mendapati petunjuk bahawa pasangannya ada berlaku curang, maka tidak mengapa untuk pasangan tersebut mendapatkan kata laluannya agar ia tidak menjadi syak wasangka. Namun, dalam soal sehingga perlu menyerahkan password peti besi peribadi, ia tidak dibolehkan kecuali mendapat keizinan si isteri kerana ia telah dikira menceroboh hak milik.

Akhir kalam, nasihat kami dalam hubungan antara suami isteri sepatutnya ia berdasarkan kepercayaan dan pemahaman, kasih sayang, dan saling menghormati, dan bukannya atas dasar syak wasangka. Bahkan perkahwinan ini dibina dengan sakinah dan mawaddah sebagaimana firman-Nya:

 وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445