Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seorang wanita yang dalam ‘iddah (cerai) bercinta dengan lelaki lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikan perbahasannya kepada dua perbahasan. Perbahasan pertama mengenai hukum bercinta itu sendiri dan perbahasan kedua mengenai meminang wanita yang masih dalam tempoh ‘iddahnya kerana kami melihat persoalan ini juga berkait rapat dengannya.
Pertamanya, berkenaan perbahasan hukum mengenai bercinta. Perkataan “cinta” diertikan sebagai perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada (negara, orang tua, kebebasan, dan lain-lain). Selain itu, ia juga boleh diertikan sebagai perasaan atau berperasaan sangat berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan.[1] Demikianlah juga “bercinta” didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi keempat sebagai menaruh rasa cinta atau berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan, atau ia juga bermaksud berasa rindu.[2] Justeru, kita boleh katakan bahawa dua orang yang bercinta yang kebiasaannya difahami dalam ‘uruf masyarakat kita sebagai dua orang yang saling menaruh perasaan antara satu sama lain, saling menyukai dan saling berhubung sebagai satu pengenalan awal atau berkawan yang kebiasaannya akan berakhir ke gerbang perkahwinan.
Sekalipun perasaan cinta yang timbul adalah sesuatu yang tidak dapat dikawal tetapi ia bukanlah tiket bagi menghalalkan percintaan antara bukan mahram dan perhubungan yang tidak sah. Bahkan dikhuatiri ia akan menjadi sebab yang membawa kepada zina. Na‘uzubillah min zalik. Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra’: 32)
Dalam menafsirkan ayat di atas, Ibn Kathir menyebutkan, Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya daripada perbuatan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. Hal ini kerana zina itu termasuk dalam dosa yang besar dan suatu jalan yang buruk. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/67).
Di antara perkara-perkara yang boleh mendekat diri seseorang kepada zina termasuklah dengan pandangan, ucapan, dan bayangan serta keinginan dalam hati. Ini sabit berdasarkan hadith yang daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”
Riwayat al-Bukhari (6243) dan Muslim (2657)
Hadith ini menjadi peringatan kepada kita semua agar tidak bermudah-mudah dengan dosa-dosa kecil kerana kadang-kadang dosa kecil inilah yang menjadi permulaan kepada seorang anak Adam terjerumus ke dalam dosa-dosa besar. Justeru, ia mesti dijauhi dan dihindari semampu mungkin.
Berdasarkan dalil di atas juga, jelas menunjukkan bahawa perintah Allah SWT supaya “jangan mendekati zina” melalui apa cara atau jalan sekalipun yang boleh membawa kepadanya seperti pandangan mata, sentuhan, pertuturan yang memikat, dan berkhalwat serta termasuklah perbuatan “bercinta”. Semua perkara ini jika bertujuan untuk memenuhi syahwat hati maka hukumnya adalah haram dan wajib dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil.
Ini juga bertepatan dengan kaedah usul fiqh yang menyebut:
مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
Maksudnya: “Suatu kewajiban yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.”
Dalam erti kata lain, apabila seseorang bercinta dengan orang yang disukainya atau melakukan interaksi dengan seseorang yang disukai, pasti akan timbulnya suatu perasaan ingin mendekatinya sedikit demi sedikit. Ketahuilah bahawa apa-apa maksiat yang melibatkan antara lelaki dengan perempuan pasti bermula dengan pelbagai cara interaksi yang tidak berlandaskan dengan cara yang dibenarkan oleh syara‘. Maka perbuatan bercinta itu sendiri dengan jelas merupakan salah satu pintu yang melorongkan kita ke arah kancah perzinaan.
Selain itu, dua orang yang bukan mahram yang bercinta juga mudah terdedah kepada perkara yang diharamkan. Dalam erti kata lain, ia merupakan punca utama untuk timbulnya pelbagai perasaan dalam diri seseorang, seperti menjadi bermudah-mudah dalam perbualan antara bukan mahram dan kelunakan dalam ucapan, yang seringkali mengundang kekaguman dan keterpesonaan. Sedangkan Allah SWT telah berfirman:
فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ
Maksudnya: “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki bukan mahram) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu).”
(Surah al-Ahzab: 32)
Fakhr al-Din al-Razi ketika menafsir ayat di atas berkata, janganlah kamu bercakap perkataan yang tidak sopan dan berunsur kelucahan satu pun, kerana yang demikian menyebabkan orang yang hati berpenyakit berniat jahat. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/461).
Kelunakan dalam kata-kata ini juga akan menjadi kunci bagi syaitan dan iblis untuk membuka pintu maksiat, menghasut anak-anak adam melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Pada permulaannya mungkin hanya sekadar kelunakan berkata-kata dan bermanis mulut yang mana hukum asalnya adalah harus kerana ia merupakan suatu bentuk kesopanan. Akan tetapi, ia kemudiannya akan berpindah kepada keghairahan dan kerinduan, dan kemudian berakhir dengan pertemuan dan bersua muka. Ketahuilah bahawa syaitan itu tidak akan pernah meninggalkan lelaki dan perempuan berdua-duaan secara aman daripada sebarang fitnah.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa Rasulullah SAW pernah memalingkan wajah al-Fadhl bin ‘Abbas apabila dia melihat seorang wanita, seraya Baginda SAW bersabda:
رَأَيْتُ شَابًّا وَشَابَّةً فَلَمْ آمَنِ الشَّيْطَانَ عَلَيْهِمَا
Maksudnya: “Aku melihat seorang pemuda dan seorang pemudi, dan syaitan tidak akan meninggalkan keduanya aman.”
Riwayat al-Tirmizi (885) dan Ahmad (1348)
Tambahan lagi, dinyatakan bahawa hikmah larangan seorang lelaki ajnabi berdua-duaan bersama seorang perempuan ajnabiyyah adalah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudharat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam dan menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan sebagaimana riwayat daripada Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidaklah seorang lelaki dan seorang perempuan itu berdua-duaan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”
Riwayat al-Tirmizi (2165)
Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa syaitan ada bersama kedua-duanya iaitu lelaki dan perempuan yang berkhalwat itu, lalu membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah perzinaan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320).
Bahkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan, prinsip asasnya adalah apa-apa yang menjadi punca kepada fitnah adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, pintu kepada keburukan perlu ditutup, kecuali jika terdapat manfaat yang kuat yang tidak bertentangan dengan syara‘. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 15/419).
Justeru, jelaslah bahawa perbuatan bercinta antara lelaki dan wanita yang bukan mahram itu hukumnya adalah haram dan dilarang dalam syarak kerana ia merupakan jalan yang membawa kepada suatu yang lebih teruk seperti zina dan seumpamanya. Selain itu, ia juga bertepatan dengan kaedah Sadd Zarai‘ — iaitu menutup pintu atau jalan yang boleh membawa kepada kemudharatan yang lebih besar.
Keduanya, perbahasan mengenai meminang wanita yang masih dalam tempoh ‘iddahnya kerana kami melihat persoalan ini juga berkait rapat dengannya. Ini kerana perbuatan bercinta atau berkawan atau berkenal-kenalan dengan lelaki lain dalam tempoh ‘iddah kami nyatakan bahawa hukumnya adalah seperti mana pinangan secara berkias selagi mana tidak dizahirkan secara jelas pinangannya. Ini kerana dua orang yang bercinta kebiasaannya akan berakhir ke gerbang perkahwinan, maka ia dilihat seolah-olah seperti pinangan secara berkias.
Berkenaan hal tersebut, secara umumnya, hukum meminang wanita yang masih dalam tempoh ‘iddahnya adalah berbeza-beza mengikut lafaz pinangan tersebut sama ada secara jelas (sarih) atau berkias. Begitu juga hukumnya berbeza-beza mengikut keadaan wanita yang dalam ‘iddah tersebut sama ada disebabkan oleh talak raj‘i atau ba’in, atau fasakh atau kematian atau lain-lain.
Tambahan lagi, Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah al-Azhar juga ada menjelaskan mengenai hukum meminang wanita semasa tempoh ‘iddah, dan menegaskan bahawa seseorang lelaki tidak boleh melamar wanita semasa dia masih dalam tempoh ‘iddah. Ini kerana tempoh ‘iddah adalah bagi menyucikan kehidupan hubungan perkahwinan sebelumnya dan suatu penghormatan terhadap nilai ikatan hubungan yang suci. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)
Selain itu, ditegaskan juga bahawa tempoh ‘iddah adalah perkara ta‘abbudi yang wajib dipatuhi oleh wanita. Wanita hendaklah menjaga dirinya sepanjang tempoh ‘iddah bagi menyucikan dirinya daripada kesan-kesan perkahwinan sebelumnya.[3]
Berkenaan pinangan ini juga terbahagi kepada dua; pinangan yang jelas (sarih) dan pinangan secara berkias. Kami ringkaskan dan simpulkan perbahasannya secara ringkas di sini sebagaimana berikut:
- Jumhur fuqaha secara sepakat berpendapat, haram untuk meminang dengan pinangan yang jelas terhadap wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya, tidak kira wanita itu dalam ‘iddah disebabkan talak raj‘i atau ba’in, atau kematian suaminya atau fasakh atau lain-lain.
- Jumhur fuqaha secara sepakat turut berpendapat bahawa haram untuk meminang dengan pinangan secara berkias terhadap wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya disebabkan oleh talak raj‘i. Manakala meminang wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya disebabkan oleh talak ba’in, terdapat khilaf ulama mengenainya. Pendapat yang kuat dan terpilih,ia adalah dibolehkan.
- Begitu juga para fuqaha secara sepakat berpendapat bahawa diharuskan untuk meminang dengan pinangan secara berkias terhadap wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya disebabkan oleh kematian suaminya.
Perbahasan lanjut dan lebih terperinci berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #2974: Meminang Wanita yang Diceraikan Ketika dalam ‘Iddahnya.[4]
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa wanita yang sedang menjalani tempoh ‘iddahnya, tidak kira ‘iddah itu disebabkan oleh talak raj‘i, talak ba’in atau kerana kematian suaminya adalah haram dan tidak dibenarkan untuk bercinta dengan lelaki lain yang bukan mahramnya. Bahkan hukum ini bukan sahaja terpakai kepada wanita yang sedang dalam ‘iddah, tetapi ia turut terpakai kepada semua iaitu diharamkan dan tidak dibenarkan untuk bercinta antara bukan mahram.
Ini kerana perbuatan bercinta antara bukan mahram merupakan muqaddimah zina atau salah satu jalan yang boleh membawa kepada suatu yang lebih teruk seperti perzinaan dan seumpamanya. Selain itu, ia juga bertepatan dengan kaedah Sadd Zarai‘ — iaitu menutup pintu atau jalan yang boleh membawa kepada kemudharatan yang lebih besar.
Adapun berkenaan soal bercinta atau berkawan atau berkenal-kenalan dengan lelaki lain dalam tempoh ‘iddah bagi tujuan menunjukkan pinangan secara berkias. Oleh yang demikian, ia diharamkan terhadap wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya disebabkan oleh talak raj‘i. Manakala wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya disebabkan oleh talak ba’in dan wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddahnya disebabkan oleh kematian suaminya adalah diharuskan atau dibolehkan pinangan dengan cara begitu kerana ia termasuk dalam jenis pinangan secara berkias selagi mana tidak dizahirkan secara jelas.
Sekalipun begitu, perbuatan meminang yang dihukumkan sebagai haram tidak semestinya memberi kesan kepada kesahan perkahwinan yang dilakukan jika ia memenuhi rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnya seperti bukan ketika dalam ‘iddah dan lain-lain.
Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan kepada semua, tidak kira lelaki mahupun perempuan, terutamanya wanita yang sedang menjalani tempoh ‘iddahnya agar sentiasa memelihara diri masing-masing dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan tohmahan kepada diri mereka sekali gus mencemarkan maruah dan imej sebagai seorang Muslim dan Muslimah. Ingatlah, sebelum melakukan sesuatu tindakan atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”
Begitu juga Umar R.A pernah berkata:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[5]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=cinta. Diakses pada 28 September 2023.
[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=bercinta. Diakses pada 28 September 2023.
[3] Lihat https://www.elbalad.news/4193165#. Diakses pada 30 Ogos 2023.
[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/2974-meminang-wanita-yang-diceraikan-ketika-dalam-iddahnya/. Diakses pada 28 September 2023.
[5] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.
Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445