#3358: Nuqman Yusuf Atau Yusuf Aydan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mahu bertanya berkat doa dan nasihat ulama seperti Dr. saya bakal melahirkan anak pertama yang dinanti selama 10 tahun. InsyaAllah anak ini jantinanya lelaki. Apakah elok pada pendapat dan ilmu yang ada pada dr jika saya namakan anak saya: Nuqman Yusuf atau Yusuf Aydan?

Mana yang terbaik dr. Semoga anak ini berakhlak baik dan soleh seperti Dr juga, amin.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik.

Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Pada pandangan kami, nama kedua yang dicadangkan adalah lebih baik. Adapun nama yang pertama sebaik-baiknya eja dengan Nu’man Yusuf. Ini kerana Nu’man memberi maksud kebaikan, kenikmatan dan juga gelaran raja di al-Hirah (Iraq).

Nama Aiden, yang bermaksud “api kecil,” mempunyai akar dalam mitologi Ireland. Dalam bahasa Gaelic, Aodh ialah nama dewa matahari dan api Celtic. Aed diambil daripada perkataan Aodh.

Bentuk kecil Aedan atau Aodhan berasal dari kata dasar ini. Aidan ialah versi bahasa Inggeris Aodhan, manakala Aiden dieja dengan “e” ialah variasi Amerika.

Aodhan ialah nama beberapa Raja Tinggi kuno Ireland serta nama ramai orang suci Ireland awal yang terkenal. Salah satu yang paling terkenal ialah St. Aidan (Naomh Aodhán) dari Iona (Scotland), yang membawa agama Kristian kepada Saxon pagan pada abad ke-7 apabila dia menubuhkan sebuah biara di Northumbria (England).

Menurut tradisi, St. Aidan dikenali sebagai orang yang berkuasa, penuh belas kasihan yang membebaskan hamba dan membantu orang miskin.

Asal: Nama Aiden berasal dari mitologi Ireland dan akar Gaelik di mana Aodh adalah tuhan matahari Celtic. Aodhan kecil bermaksud “api kecil.”

Jantina: Walaupun Aiden secara tradisinya adalah nama lelaki, ia telah digunakan sebagai nama perempuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Variasi feminin termasuk Aidyn atau Ayden.

Sebutan: EY-din

Di bawah ini maksud Aidan iaitu nama dalam Islam: Pemuda yang bersemangat. Sebenarnya, nama Aydan juga memberi banyak maksud dalam bahasa Arab sama ada dengan alif yang juga memberi makna tangan-tangan atau kekuatan atau dengan ‘ain dengan makna kembali atau berulang. Sejujurnya, kami berpendapat nama seperti yang dicadangkan tidaklah salah. Kami doakan semoga anak anda menjadi anak yang soleh serta dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara pada masa akan datang. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445