#3360: Menggunakan Kalimah اللَّهُ “Allahu”

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Minta tolong bagi pencerahan mengenai perkataan Allahu. Sekarang ramai netizen yang menggunakan perkataan ini. Adakah ia dibolehkan untuk kita menggunakan perkataan Allahu dan apakah maksud perkataan Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kalimah Allahu (اللَّهُ) boleh digunakan pada pandangan kami sebagaimana dalam firman Allah SWT dalam surah al Ikhlas 1-2:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ‎﴿١﴾‏ اللَّهُ الصَّمَدُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

Tetapi biasanya apabila kita waqaf (berhenti) dalam bacaan, kita hanya menyebut Allah sedangkan apabila kita menyebut Allahu biasanya kita akan sambung seperti Allahu Akbar.

Bagi menambahkan lagi kefahaman dengan konsep tauhid yang kita lafaz dan ikrarkan, didapati ulama menafsirkannya seperti berikut:

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: لآ إِلَهَ إِلَّا الله ialah Dia yang ditaati dan tidak diderhakai kerana kehebatan dan kemuliaan, rasa cinta, takut, harap, bertawakkal kepada-Nya, memohon daripadaNya dan berdoa kepadaNya. Hal ini tidak layak semuanya kecuali untuk Allah sahaja. (Lihat Kalimah al-Ikhlas wa Tahqiq Ma’naha, hlm. 23)

Burhanuddin al-Biqa’ie berkata: لآ إِلَهَ إِلَّا الله ialah menafikan dengan sesungguhnya kepada ibadat selain daripada Allah, Raja yang Maha Agung. Sesungguhnya ilmu ini adalah sebesar cara yang menyelamatkan daripada huru-hara pada hari Kiamat. (Lihat Nazm al-Durar fi Tanasub al-Ayat wa al-Suwar, 18/230)

Dr. Said Abdul Azim dalam bukunya I’tiqad al-Nasara fi al-Masih (hlm. 90) berkata: Allah telah mengkhabarkan berkenaan dengan dirinya yang bersifat ahadiah yang mutlak merangkumi keEsaan pada zat-Nya, sifat-Nya dan perbuatan-Nya.

Dari Segi Bahasa dan Istilahnya:

Perkataan Allah telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam buku Isu Kalimah Allah. Justeru, di sini hanya disebutkan tambahan daripada maksud Allah oleh pendapat ulama.

Satu persoalan yang mungkin perlu diberi jawapan. Adakah lafaz Allah daripada bahasa Arab atau beberapa bahasa Semetik yang mempunyai pertalian dengan bahasa Arab turut menggunakan kalimah Allah ketika merujuk kepada Tuhan seperti Elaha dalam bahasa Aramaic  dan Elohim dalam bahasa Ibrani?

Ada dua pandangan dalam perbahasan isu ini:

Pertama: Al-Balkhi berkata: Ia bukan berasal dari bahasa Arab, tetapi bahasa Ibrani atau Siryani yang telah di Arabkannya, sedangkan al-Alusi pula berkata: Tiada dalil yang menunjukkan begitu dan tidak membawa ke arah itu, begitu juga penggunaan orang Yahudi dan Kristian bukan menjadi dalil kerana boleh jadi berlaku persamaan bahasa berkenaan dengan ketuhanan.

Kedua: Mengikut pendapat ulama muktabar bahawa lafaz Allah adalah daripada bahasa Arab. Inilah pendapat Imam al-Syafie, Muhammad Ibn al-Hasan al-Syaibani, Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan ramai sahabatnya, al-Khattabi, Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali, Imam al-Fakhr al-Razi dan kebanyakan ahli usul dan feqah. Begitu juga dinukilkan daripada pendapat yang terpilih oleh al-Khalil, Sibawaih, al-Mazini dan Ibn Kisan bahawa lafaz Allah adalah dari bahasa Arab dan nama pada asalnya untuk zat-Nya sahaja.

Imam al-Fakh al-Razi berkata: “Yang dipilih menurut kami adalah bahawa perkataan ini adalah Ism ‘Alam (اسْمُ عَلَمٍ) bagi Allah SWT, dan ia bukanlah daripada kata terbitan (مُشْتَقٍّ). ini merupakan pendapat al-Khalil, al-Sibawaih dan ia juga merupakan pendapat kebanyakan ulama’ usul dan fuqaha dengan hujah bahawa sekiranya lafaz Allah itu nama terbitan (musytaq), pastilah ia boleh digunakan bagi merujuk kepada yang lain dari Allah. Jika ini diterima, kalimah yang mulia لآ إِلَهَ إِلَّا الله tidak lagi menjadi kalimah tauhid kerana lafaz Allah tidak lagi merujuk kepada zat Allah semata-mata bahkan terbuka kepada yang lain dari-Nya juga. Oleh kerana disepakati oleh setiap yang berakal bahawa لآ إِلَهَ إِلَّا الله adalah kalimah tauhid, maka jelaslah kepada kita bahawa kalimah Allah adalah nama khas yang merujuk kepada zat-Nya Yang Maha Tinggi.” (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 1/143-44)

Kalimah ini tergolong dalam kategori al-A’lam al-Qasdi (الأعْلَامُ القَصْدِي) (nama-nama yang dikhususkan) iaitu nama diberikan dengan sengaja lagi khusus bagi merujuk kepada sesuatu zat berbeza dengan al-A’lam al-Ittifaqi (الأَعْلَامُ الاتِّفَاقِي) yang merupakan nama yang umum digunakan melalui persepakatan ramai hasil kebiasaan sebagaimana yang disebut dalam al-Ta’rifat (hlm. 178). Kalimah ini disebut juga sebagai al-Isim al-Murtajal (الإسْمُ الْمُرْتَجَلُ), iaitu suatu lafaz yang diberikan bagi merujuk kepada satu makna tanpa sebarang kaitan antara keduanya. (Lihat Kasysyaf Istilahat al-Funun, 1/138 dan 2/254-255).

Al-Alusi berkata: Asalnya dari I’lali (الإِعْلَالِي) ialah ilah (إِلَه) seperti dalam al-Sihah atau al-Ilah (الْإِلَه) seperti dalam al-Kasyaf yang mana kedua-duanya mempunyai hujah (Lihat Ruh al-Ma’ani, 1/57)

Al-Alusi juga menukilkan bahawa al-Allamah al-Sa’d berkata: Sesungguhnya Tuhan atau ilah (الإله) adalah nama yang difahami secara kulli yang disembah dengan sebenarnya, sedangkan Allah (الله) adalah ism alam bagi zat-Nya. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 1/57)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Usul al-Iman wa al-Islam (hlm. 40) berkata: Allah bermaksud bahawa Dia Maha Berkuasa atas segala makhluk-Nya dan bahawa dia tidak berlaku kecuali mengikut kehendak-Nya. Dan bahawa Dia Maha Menguasai dan Maha Perkasa yang tidak boleh dikalahkan dan bahawa Dia Maha Berkuasa yang tidak boleh dilawan dan di atasi dan tidak sah taklif kecuali daripadanya.

Ulama Tauhid berkata: Allah ialah ism alam (nama khas) kepada zat yang Maha Sempurna iaitu Allah SWT sedangkan makhluk ialah sifat yang mungkin ada dan dia adalah selain daripada Allah SWT.

Allah ialah ism alam yang menunjukkan atas zat di mana semua nama Allah yang mulia terhimpun pada Allah. Allah ialah nama-Nya yang Maha Agung.

Al-Khazin dalam Tafsirnya berkata: Allah ialah nama khas bagi Allah yang bersifat Tunggal dan Esa, tiada musytaq (terbitan) dan tidak disekutukan oleh sesuatu. (Lihat Lubab al-Ta’wil fi Ma’ani al-Tanzil, 1/17)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari berkata: “Allah maknanya yang berhak untuk disembah (beribadah kepada-Nya), tidak kepada yang lain.” (Lihat Tafsir Hada’iq al-Rauh wa al-Raihan, 1/49)

Yang memberikan nama itu pastilah Allah SWT sendiri melalui wahyu-Nya kepada para Rasul, bermula dari Nabi Adam AS, sebagaimana firman-Nya:

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ‎﴿٣١﴾‏ قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. Malaikat itu menjawab: Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Baqarah: 31-32)

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT mengajar Nabi Adam tentang semua nama, dan tiada sebab untuk kita mengatakan itu tidak termasuk nama-nama-Nya sendiri ia juga menyatakan pengakuan Malaikat bahawa tidak mungkin mereka boleh mengetahui nama-nama itu tanpa tunjuk ajar dari Allah SWT sendiri. Berdasarkan ayat ini kita dapati hujah yang mengatakan bahawa kalimah Allah merupakan kata terbitan adalah tidak tepat. Ia seolah-olah asalnya Allah tidak bernama dan manusialah yang menamakannya.

Saya turut menukilkan sebahagian pendapat dan penegasan Ibn Qayyim al-Jauziyah menerusi kitabnya “Hidayatul Hayara Fi Ajwibatil Yahud wa al-Nasara” terhadap ciri-ciri Allah bagi agama Islam berbanding Kristian sebagai menjelaskan lagi perbezaan maksud lafaz Allah bagi kedua-dua agama ini.

Sesungguhnya Allah SWT adalah satu, tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya, tidak ada bandingan yang setara dengan-Nya, tidak ada pengawal, tidak ada penasihat, tidak ada penolong dan tidak ada pemberi syafaat kecuali dengan izin-Nya.

  • Dia tidak mempunyai bapa, anak, keturunan, isteri dan tidak mempunyai kesamaan dengan selain-Nya.
  • Dia Maha Kaya dengan zat-Nya, tidak makan, tidak minum dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk.
  • Zat-Nya tidak bersatu dengan makhluk-Nya dan tiada makhluk yang menyatu ke dalam zat-Nya.
  • Dia Maha Ada, tidak pernah hilang dan tidak pernah mewakilkan urusan kerajaan-Nya kepada selain dari-Nya.
  • Dia Maha Sempurna dan hanya Dia yang memiliki kesempurnaan. (Lihat Kalimah Allah Isu dan Penyelesainnya, hlm. 13-20)

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445