Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya berkenaan faraid. Ayah saya baru sahaja meninggal. Waris yang ada adalah saya, adik lelaki saya dan juga isteri kepada ayah saya (ayah kahwin baru dan tiada anak bersama).
Soalan saya, sekiranya selepas pembahagian harta dilakukan, ada hamba allah datang menuntut hutang, adakah hutang tersebut perlu dibayar oleh anak lelaki sahaja atas sebab bahagian anak lelaki dapat lebih banyak dari bahagian perempuan atau cara pembayaran hutang tersebut perlu berdasarkan bahagian yang telah ditetapkan oleh agama? Contohnya bahagian saya 7/16, jadi adakah saya hanya perlu bayar mengikut bahagian saya atau saya perlu membayar semuanya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ilmu faraidh pada syara’ bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)
Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”
(Surah al-Nisa’: 7)
Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.
Banyak hadith-hadith Nabi SAW yang membincangkan isu pusaka dan faraid serta bentuk pembahagiannya. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:
أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”
Riwayat al-Bukhari (6351)
Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/284-286), antara lain menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.
Ia merupakan syariat Allah yang Maha Bijaksana dan Terpuji. Ia memelihara kepentingan semua orang. Walau bagaimana pun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, namun undang-undang Allah SWT tetap merupakan undang-undang yang terbaik.
Allah SWT berfirman:
تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِين
Maksudnya: “Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”
(Surah al-Nisa’: 13-14)
Syeikh al-Sa’di berkata: “Iaitu, perincian yang disebut dalam pewarisan harta adalah had-had Allah yang perlu dihormati dan tidak boleh dilanggar atau ditinggalkan. Ini merupakan petunjuk bahawa wasiat kepada waris telah dihapuskan menurut takdir-Nya, sebagai langkah yang dibuat oleh Allah untuk menguji waris-waris tersebut. Kemudian Allah berfirman, ‘Itulah had-had Allah.’ Oleh itu, jika waris menerima lebih daripada haknya, itu adalah pelanggaran terhadap had-had tersebut, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW, ‘Tidak ada wasiat bagi waris.’ Kemudian disebut ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, serta pelanggaran kepada keduanya secara umum, untuk memasukkan kepatuhan terhadap hukum waris dan meninggalkan pelanggaran tersebut. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 170)
Suka untuk kami tegaskan bahawa apa yang Allah putuskan sudah tentu mempunyai hikmah tersendiri. Terkadang-kadang tercapai oleh akal kita dan kadang-kadang di luar jangkauan akal kita. Justeru, amat perlu seseorang memahami apa yang telah diputuskan oleh Allah.
Kami cadangkan perkara pertama apabila berlaku kematian, mulakan dengan urusan yang membabitkan harta si mati mengikut apa yang telah ditetapkan oleh para ulama’. Antaranya:
- Gunakan harta tersebut untuk penyelesaian berkenaan dengan urusan pengebumian si mati.
- Sebarang bentuk hutang yang ditanggung oleh si mati hendaklah diselesaikan terlebih dahulu.
- Sebarang bentuk acara ibadat membabitkan harta yang belum dilaksanakan oleh si mati hendaklah dilaksanakan dahulu seperti badal haji, zakat, nazar dan lain-lain.
- Jika si mati pernah berwasiat berkenaan hartanya seperti ingin berwakaf atau memberi kepada seseorang, maka hendaklah dilaksanakan. Tetapi jangan melebihi satu pertiga daripada jumlah nilaian harta.
- Selepas selesai semuanya, maka barulah harta tersebut berhak dibahagi mengikut faraid yang telah ditetapkan oleh syarak.
- Sebelum membahagikan secara sama rata, hendaklah dilakukan secara faraid terlebih dahulu, dan kemudian masing-masing berhak untuk tanazul atau mengurangkan haknya dengan pembahagian secara sama rata. Ini kerana selepas dimiliki, maka menjadi milik sepenuhnya oleh seseorang itu. Justeru, berhaklah ia untuk bertindak membahagikan kepada kaum keluarganya yang lain.
- Kami juga cadangkan supaya pembahagian pusaka dilakukan secepat mungkin supaya tidak timbul kematian ahli waris yang lain pula sebelum diberikan hak kepada mereka. Ini sudah pasti akan menyukar dan menyusahkan untuk pembahagian dan kadang-kadang membawa kepada ketidak adilan dalam pembahagian. Hal ini juga menyebabkan pembahagian terpaksa dibuat secara beberapa lapis yang dikenali sebagai hukum munasakhah.
Kesimpulan
Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa sekiranya berlaku yang mana harta pusaka telahpun dibahagikan melalui faraid, kemudian tiba-tiba datang seseorang yang menuntut hutang daripada si mati, maka dalam hal ini, hutang tersebut mestilah dikira dan dibayar berdasarkan jumlah sebelum ia difaraidkan. Justeru, setiap daripada ahli keluarga perlu mengeluarkan bahagian masing-masing untuk membayar hutang tersebut berdasarkan jumlah bahagian yang diterima.
Semoga jawapan yang kami kemukakan ini mendapat perhatian yang sewajarnya dalam berinteraksi dengan harta pusaka atau peninggalan si mati. Kami berdoa kepada Alah, semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang benar dan diredhai-Nya:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”
Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445