#3363: Bekerja Sebagai Promoter Kedai yang Ada Penjualan Arak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya sedang cari pekerjaan part time dan sudah dapat kerja sebagai promoter disebuah kedai. Namun, sy baru sedar, yang kedai tersebut ada jual Sarak. saya sudah baca juga hukum bekerja di kedai yang jual arak. Tetapi, saya tidak berapa jelas dengan position saya selama part time ini, samaada pendapatan akan terkait juga dengan hal yang haram dan dari segi dosa saya risau.

Saya akan bekerja sebagai promoter, yang akan promote customer untuk sertai membership program kedai yang saya akan kerja itu. Soalan saya, kalau saya promote customer untuk join membership program, dan orang akan sertai program itu, seandainya orang tersebut membeli arak, adakah saya akan dapat dosa juga atas sebab membership program, orang yang sertai akan dapat benefit sebagai contoh discount etc. Saya risau juga pendapatan nanti akan jadi syubhah ke bagaimana? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, arak dengan zatnya itu adalah diharamkan dan nas al-Quran memerintahkan kita untuk menjauhinya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Surah al-Maidah (90)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abd al-Rahim bin Ghanm RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وإنَّ الخَمرَ حَرامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.”

Riwayat Ahmad dalam Musnad (17995). Syeikh Syuaib al-Arnaut di dalam Takhrij al-Musnad (17995) berkata hadis ini sahih li ghairih.

Justeru bagi seorang mukmin hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dengan menghindari diri daripada terlibat daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadith Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#3330: Bekerja Di Syarikat Yang Berurus Niaga Dengan Pemborong Arak[1]

#1110: Bekerja di Kedai yang Menjual Arak[2]

Berbalik kepada persoalan diatas, kami nyatakan sebaiknya apabila didapati suatu pekerjaan itu ada melibatkan arak, maka sebaiknya kita hindari. Hal ini bagi memastikan rezeki atau pendapatan yang kita perolehi itu berkat dan cukup. Oleh itu, kami nasihatkan sebaiknya carilah pekerjaan lain yang tidak melibatkan arak kerana meskipun tidak secara langsung, namun dikhuatiri pendapatan itu menjadi syubhah.

Kami katakana sebaik-baik pekerjaan adalah yang halal bahkan tidak wujud sebarang syubhah atau kesamaran sama ada halal atau tidak. Benarlah sabda Nabi SAW:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (20)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/3330-bekerja-di-syarikat-yang-berurus-niaga-dengan-pemborong-arak/

[2] https://maktabahalbakri.com/1110-bekerja-di-kedai-yang-menjual-arak/

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445