#3365: Pakaian Bergesel dan Dicium Oleh Anjing Dikira Terkena Najis?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon pencerahan Jika pakaian Kita bergesel atau dicium (dihidu dan terkena dengan hidung dan mulut) anjing, adakah dikira terkena najis dan tidak sah dibawa solat sehingga disamak terlebih dahulu. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum kenajisan anjing. Ulama dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, anjing bukanlah dianggap sebagai najis ‘ain, akan tetapi air lebihan yang diminumnya dan lembapannya adalah dikira sebagai najis. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Maliki pula berpendapat, anjing adalah suci ‘ain. Mereka berhujah bahawa hukum asal sesuatu itu adalah suci. Justeru, setiap haiwan yang hidup — sekalipun anjing dan babi — adalah suci, termasuklah peluhnya, air matanya, hingusnya dan air liurnya juga dihukumkan sebagai suci, kecuali apa-apa yang keluar dari haiwan itu berupa telur, hingus, air mata atau air liur selepas ia mati tanpa disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Maka, ketika itu ia dikira sebagai najis dan hukum ini hanya terpakai pada haiwan yang bangkainya dianggap najis. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula berpendapat, anjing adalah najis ‘ain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/129).

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi mengenai hal ini dalam kitabnya al-Majmu‘ bahawa menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Daud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — yakni semata-mata mematuhi perintah Allah. Dinukilkan mengenai pendapat ini daripada al-Hasan al-Basri dan ‘Urwah bin al-Zubair. Mereka berhujah dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya:Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu.”

( Surah al-Ma’idah: 4)

Hal ini kerana dalam ayat di atas, tidak disebutkan untuk membasuh tempat yang disentuh atau dipegang oleh anjing terlatih itu ketika menangkapnya. Begitu juga berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya:Pada zaman Rasulullah SAW, anjing-anjing kencing dan keluar masuk ke dalam masjid. Tetapi mereka (para sahabat) tidak merenjis (membasuh) apa-apa pun (pada tempat itu).”

Riwayat al-Bukhari (174)

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah bahawa anjing keseluruhannya adalah najis berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya:Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.

Riwayat al-Nasa’i (66)

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta.

Begitu juga dengan riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Ibn Qudamah pula menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘ie. (Lihat al-Mughni, 1/73).

Oleh itu jelaslah bahawa kenajisan anjing ini dikategorikan sebagai najis mughallazah iaitu najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40).

Kesimpulan

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa mengikut mazhab al-Syafi’i, saudara perlu menukar baju atau seluar sekiranya pakaian saudara bergesel atau dicium anjing kerana ia telah dikira terkena najis dan tidak sah dibawa solat sehingga disertu terlebih dahulu iaitu dengan membasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith yang sahih.

Selain itu, situasi ini juga bergantung pada keadaan sebagaimana yang telah kami jawab sebelum ini dalam hal pakaian yang terlalu banyak sehingga tidak dapat dikenal pasti pakaian mana yang terkena anjing.[1] Namun dalam hal ini, pendapat menukar pakaian dan menyertunya adalah pendapat yang dipilih sebagaimana pendapat dalam mazhab al-Syafi’i.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] https://maktabahalbakri.com/1742-seluar-terkena-jilatan-anjing-dan-bercampur-dengan-baju-baju-yang-lain-dalam-mesin-basuh/

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445