#3366: Didera secara Seksual oleh Bapa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Adakah berdosa sekiranya seorang anak menjauhkan diri daripada ayah yang telah melakukan penderaan seksual (bukan ke tahap rogol) terhadap dirinya? Adakah anak tersebut masih perlu berbakti, menghormati dan taat kepada bapa yang telah melakukan perkara tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ

Maksudnya: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).”

(Surah al-Taghabun: 11)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya mengatakan bahawa tidak akan menimpa seseorang hamba sebarang ujian melainkan dengan izin Allah SWT, qadha’ dan qadar-Nya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah SWT pasti akan tahu bahawa tiada siapa yang mampu menimpakan ujian pada dirinya kecuali dengan izin Allah SWT, lalu hatinya redha dengan ketentuan Ilahi. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 23/421)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan pertamanya kami bersimpati atas apa yang berlaku kepada saudari. Sudah pasti perkara diluar tabi’i ini, menjadi suatu mimpi ngeri bagi setiap orang. Namun, percayalah setiap yang berlaku meskipun ia secara zahirnya ia suatu buruk, pasti ada hikmahnya. Allah tidak akan menguji seseorang itu melainkan Allah tahu hambanya itu mampu melalui ujiannya. Seepertimana firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Keduanya, kami akui perbuatan ayah saudari merupakan suatu perbuatan yang keji. Namun, soal memaafkan itu, diharuskan bagi seseorang untuk tidak memaafkan kerana manusia itu mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang miliknya. Walaupun begitu, lebih utama untuk memaafkan kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa kita. Maka, kami nasihatkan sekiranya menjauhkan diri dari ayah saudari dapat memulihkan trauma saudari, maka buat sementara waktu ini elakkanlah. Nasihat kami juga, sebaiknya perkara ini diberitahu kepada ibu saudari agar masalah ini dapat diselamatkan dari perkara yang tidak diingini. Berkenaan dosa kerana mengelak dari ayah, saudari tidaklah berdosa kerana saudari menjaga kehormatan saudari. Manakala, soal berbakti dan menghormati ayah, sebagai anak wajib mentaati ibu bapa selagi mana perkara yang disuruh itu tidak melanggar dari syarak. Namun, dalam isu ini saudari menghindarinya bukan kerana tidak hormat tetapi bagi mengelakkan dari diganggu secara seksual. Oleh sebab itu, kami nasihatkan agar perkara ini tidak didiamkan sahaja dan perlu untuk diberitahu kepada ibu atau ahli keluarga yang dipercayai agar masalah ini dapat dibantu oleh ahli keluarga yang dewasa.

Akhir kalam, semoga Allah mempermudahkan segala urusan saudari, menjaga saudari dari musibah dan melimpahkan rezeki saudari kelak. Ingatlah bahawa setiap ujian di dunia merupakan jalan untuk kita ke syurga Allah SWT. Firman Allah SWT:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

Maksudnya: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

(Surah al-Baqarah: 214)

Banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan taufiq dan hidayaha kepada kedua-duanya dan keampunan. Begitu juga, kepada kita semua, sebagaimana yang diajar oleh Allah SWT:

 رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: ““Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah al-Isra’: 24)

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445