#3369: Adab Melayani Tetamu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai adab melayan tetamu? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menyambut tetamu yang datang ke rumah dengan penuh keramahan adalah satu amalan yang mulia dan dapat memperkuat ikatan silaturrahim antara sesama Muslim. Contoh yang baik dalam hal ini dapat dilihat dalam kisah Nabi Ibrahim AS, di mana beliau melayani tetamu dengan penuh hormat, ini sebagaimana yang diceritakan melalui firman Allah:

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ ﴿٢٤﴾ إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ ﴿٢٥﴾ فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ ﴿٢٦﴾ فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya : ” Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.

(Surah al-Dzariyat : 24-27)

Ayat ini menggambarkan dengan indah bagaimana Nabi Ibrahim AS dengan tulus menerima dan melayani tetamu yang datang ke rumahnya, tanpa memandang siapa mereka sekalipun. Baginda tidak mengetahui identiti sebenar mereka, bahkan tidak menyedari bahawa mereka adalah malaikat yang datang atas perintah Allah SWT. Namun, Baginda tetap bersikap ramah dan mesra dalam melayani mereka.

Ibnu Kathir dalam kitabnya  tafsirnya menyatakan : “Imam Ahmad dan kebanyakan para ulama mengatakan wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah.” (Lihat Tafsir Al-Quran Al-‘Azim,4/300)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ومَن كانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ واليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamu.”

Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (74)

Al-Munawi berkata bahawa tetamu hendaklah dimuliakan tanpa mengambil kira sama ada mereka kaya atau miskin. Mereka hendaklah disambut dengan wajah yang ceria, diberi hadiah dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi mereka semula dan bertandang ke rumah tetamu tersebut. (Lihat Faidh Al-Qadir, 6/209)

Dalam menjawab soalan di atas, kami ingin menegaskan bahawa adalah kewajiban bagi setiap Muslim untuk melayani tetamu yang berkunjung ke rumahnya dengan penuh keikhlasan dan hormat. Ia juga perlu menjunjung adab tata susila yang baik ketika melayani tetamu yang datang berbuat kunjungan. Antara adab yang perlu dijaga adalah seperti berikut:

  • Menyambut kedatangan tetamu

Perkara utama yang seharusnya dilakukan ketika kedatangan tetamu adalah  menyambut mereka dengan baik, bersukacita dengan kedatangan mereka, dan menunjukkan kasih sayang kepada mereka, serta tidak menunjukkan ketidaksenangan terhadap kedatangan mereka.

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau berkata:

 لَمّا قَدِمَ وفْدُ عبدِ القَيْسِ على النبيِّ ﷺ قالَ: مَرْحَبًا بالوَفْدِ، الَّذِينَ جاؤُوا غيرَ خَزايا ولا نَدامى

Maksudnya: Ketika utusan ‘Abd al-Qais datang kepada Nabi SAW, Baginda bersabda: Selamat datang wahai utusan yang datang, tanpa kehinaan dan penesalan.

(Riwayat Bukhari:6176)

  • Memuliakan ulama dan orang yang terlebih tua dari kalangan tetamu.

Bagi tuan rumah, adalah sesuai untuk memulakan layanan kepada  tetamu-tetamu yang tinggi ilmunya dan lebih tua dengan penuh hormat, menunjukkan penghargaan terhadap mereka, dan memberi tanda hormat kepada mereka. Memuliakan mereka adalah suatu perkara yang dianjurkan dalam syariat. Kemudian, dari segi sunnah, adalah disarankan untuk mengutamakan tetamu  yang berada disebelah kanan terlebih dahulu.

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik  bahwa beliau berkata:

 أنَّهُ رَأى رَسولَ اللَّهِ ﷺ شَرِبَ لَبَنًا، وأَتى دارَهُ، فَحَلَبْتُ شاةً، فَشُبْتُ لِرَسولِ اللَّهِ ﷺ مِنَ البِئْرِ، فَتَناوَلَ القَدَحَ فَشَرِبَ، وعَنْ يَسارِهِ أبو بَكْرٍ، وعَنْ يَمِينِهِ أعْرابِيٌّ، فأعْطى الأعْرابِيَّ فَضْلَهُ، ثُمَّ قالَ: الأيْمَنَ فالأيْمَنَ.

Maksudnya: Bahwasanya dia melihat Rasulullah SAW meminum susu, dan Baginda SAW datang ke rumahnya(Anas). Kemudian aku memerah susu kambing ,lalu aku mencampurkan dengan air telaga untuk Rasulullah SAW. Setelah itu Baginda mengambil bekas air itu lalu minum. Abu Bakar berada di seblah kiri Baginda SAW manakala di sebelah kanannya terdapat seorang Arab Badwi. Baginda memberikan baki minumannya kepada orang Arab Badwi itu kemudian bersabda: Utamakan sebelah kanan kemudian sebelah kenan.

Riwayat Bukhari (5612)

  • Tidak melampau dalam memberi layanan kepada tatamu

Pembaziran dalah sesuatu yang diharamkan dalam semua keadaan. Prinsip asasnya, seseorang sepatutnya mengikuti apa yang biasa dilakukan oleh orang lain dalam menjamu tetamu, dan memberikan yang terbaik sesuai dengan kemampuannya tanpa berlebihan.

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (٢٦﴾‏ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

(Surah al-Isra’ : 26-27)

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut: “Maksud saudara syaitan adalah seperti menyerupai sifat mereka, (yang suka membazir dan boros)”. (Lihat Tafsir al-Quran al-Adzim, 3/48)

  • Tidak menyakiti tetamu

Tidak dibolehkan untuk menyakiti tetamu dalam apa jua bentuk, baik dengan kata-kata atau tindakan. Ini bukanlah dari akhlak seorang Muslim, dan syariat Islam tidak membenarkannya dalam sebarang keadaan. Sebagai tuan rumah, seseorang harus menyambut tetamu dengan baik, berbual dengan mereka, berkomunikasi dalam perbualan yang baik, menghindari gosip, fitnah, dan semua perkara yang boleh merosakkan majlis.

  • Mengiringi tetamu sehingga ke pintu ketika hendak pulang.

Disunatkan untuk keluar bersama tetamu ke pintu rumah. Abu ‘Ubaid berkata, ‘Apabila saya hendak berdiri, Imam Ahmad bin Hanbal juga berdiri bersama saya. Saya berkata, ‘Jangan lakukan itu, Abu Abdullah.’ Beliau berkata, ‘Asy-Sya’bi berkata: Apa yang terbaik dilakukan dari kunjungan tetamu adalah berjalan bersamanya ke pintu rumah dan membantunya membawa barang-barangnya.[1]

Justeru, Seorang mukmin wajib menghormati tetamu, menghormati jiran, menjaga hubungan silaturrahim, dan menjaga lidahnya; samada dengan berkata baik atau dengan berdiam diri. Inilah adab yang diajar oleh islam dan tanggungjawab yang seharusnya dipegang oleh setiap mukmin dalam kehidupannya. Ia harus berusaha untuk menghormati tetamu ketika dia datang, menghormati jirannya, tidak menyusahkan jiran, serta menjaga hubungan silaturrahim dengan keluarganya. Hendaklah menjaga perkataannya agar tidak berkata yang tidak patut; sama ada dengan berkata yang baik atau dengan berdiam diri.[2]

Firman Allah SWT:

لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ ۚ

Maksudnya: Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia.

(Surah al-Nisa:114)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

[1] https://www.alukah.net/social/0/107678/ – Diakses pada 2 Oktober 2023

[2] https://binbaz.org.sa/audios/2562/239 – Diakses pada 2 Oktober 2023

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445