Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mohon pendapat, suami saya ingin berkahwin lain. Untuk makluman, memang dari segi kemampuan suami tidak cukup, anak-anak masih kecil, dan kami juga menjalinkan perhubungan jarak jauh.
Saya mengizinkan dia berkahwin untuk mengelakkan dia terus berbuat dosa, jika berpisah rasanya saya sayang suami saya. Suami saya dan bakal isteri tak pernah menunaikan solat. Jadi saya buntu betul ke apa yang saya buat ini? saya tak nak suami saya terus berbuat dosa. Mohon pendapat Tuan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Meneliti beberapa permasalahan yang diajukan oleh saudari yang bertanya, kami cuba untuk menyusun jawapan berdasarkan yang paling utama dahulu.
Pertamanya, kami menyeru saudari untuk tetap kuat dan tabah dalam melayari bahtera perkahwinan ini. Cuba berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk menyampaikan nasihat serta teguran dengan penuh berhemah kepada si suami tentang kewajiban solat 5 waktu yang mesti ditunaikan oleh seorang muslim dalam kehidupan sehariannya.
Telah thabit banyak dalil yang menyebutkan dengan jelas tentang kewajiban mendirikan solat. Antaranya, firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
(Surah al-Baqarah: 43)
Telah menjadi tanggungjawab saudari untuk tetap memberikan nasihat dan teguran kepada si suami agar mendirikan solat dengan sempurna. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Taubah: 71)
Imam Abu Bakar al-Jaza’iri berkata ketika menafsirkan firman Allah SWT (بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ), mereka itu (lelaki dan perempuan yang beriman) mengambil berat antara satu sama lain dalam memberi bantuan, perlindungan, berkasih sayang, dan juga sokongan. (Lihat Aisar al-Tafasir, 2/395) Maka, saudari berusahalah memberikan sokongan agama kepada suami tercinta. Semoga ia menjadi asbab saudari memperolehi rahmat Allah SWT.
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ
Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.”
(Surah Taha: 132)
Di dalam ayat di atas, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk memerintahkan ahli keluarga Baginda serta umatnya untuk mendirikan solat. Sekalipun begitu, kaedah menyebut:
الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ
Maksudnya: “Ibrah diambil dari keumuman lafaz, bukan dari kekhususan sebab.”
Ibrah di dalam ayat di atas adalah mengajak ahli keluarga kita atau sesiapa sahaja yang berada di bawah jagaan kita untuk mendirikan solat serta menjaga solat itu dengan baik. Maka, isteri juga memainkan peranan penting dalam sesebuah rumahtangga dalam memperingatkan suami untuk melazimi solat fardhu 5 waktu.
Peringatkan juga si suami tersebut bahawa solat itu merupakan tiang agama, dan betapa pentingnya solat ini serta kuat kewajibannya sehinggakan para ulama’ boleh berselisih pendapat tentang status keislaman mereka yang meninggalkan solat. Ini kerana terdapatnya hadith yang jelas bahawa solat itu sebahagian daripada Islam, seperti dalam riwayat Abdullah Ibn ‘Umar R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara: iaitu pengakuan bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di Baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadhan.”
Riwayat Muslim (16)
Solat merupakan perkara pertama yang akan dihisab di akhirat kelak, maka cubalah sedaya mungkin untuk memperbaiki solat kita dan menjaganya pada setiap waktu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang akan dihisab oleh Allah SWT adalah solatnya. Jika baik solatnya maka dia akan berjaya (dalam proses hisab tersebut), jika rosak solatnya maka dia adalah orang yang rugi.”
Riwayat al-Tirmizi (413)
Keduanya, hendaklah membudayakan nasihat-menasihati di dalam sesebuah institusi rumahtangga kerana setiap daripada pasangan suami isteri tu tidak lain adalah saling lengkap-melengkapi.
Maka kami katakan, nasihatkanlah si suami tersebut tentang tanggungjawabnya sebagai seorang suami terhadap saudari, juga seorang bapa kepada anak-anak yang masih kecil yang pastinya memerlukan didikan, bimbingan, serta berkehendak kepada kasih sayang seorang bapa.
Tidak menjadi sebarang masalah jika saudari menasihati si suami, bahkan nasihat itu juga sebahagian dari tuntutan agama. Allah SWT berfirman:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah al-‘Asr: 3)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
(Surah al-Maidah: 2)
Diriwayatkan juga daripada Tamim al-Dari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ
Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: Tentang siapa? Sabda Baginda: Tentang Allah, tentang Kitab-Nya, tentang Rasul-Nya, tentang pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”
Riwayat Muslim (55), Abu Dawud (4944) dan al-Nasaie (7/156)
Kami telah mengupas serba sedikit isu tanggungjawab suami ke atas isteri dan anak-anak ini. Saudari boleh rujuk buku kami yang bertajuk Baiti Jannati dan juga artikel yang telah kami terbitkan yang bertajuk “Hak Isteri”.
Ketiga, si suami perlu tahu bahawa poligami yang diharuskan oleh syara‘ adalah bagi lelaki yang berkemampuan dalam menyempurnakan nafkah ke atas isteri dan anak-anaknya. Islam juga mensyaratkan supaya lelaki tersebut berlaku adil kepada kesemua isterinya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
(Surah al-Nisa’: 3)
Syeikh al-Si‘di ketika menafsirkan firman Allah SWT (فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا) berkata, jika seseorang lelaki takut untuk tidak memperlakukan dengan adil dan dia khuatir tidak memenuhi hak-hak para isteri jika berkahwin dua, tiga atau empat, maka berpada baginya seorang sahaja atau mana-mana hamba perempuan yang dia miliki agar dia tidak menzalimi mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 163)
Seterusnya, perlu diingati bahawa anak-anak yang dikurniakan tersebut merupakan anugerah dan amanah daripada Allah SWT. Mereka berhak diberikan keperluan asas kehidupan yang selayaknya dan juga kasih sayang yang secukupnya. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Anfal: 27)
Si suami perlu sedar bahawa perkahwinan itu merupakan suatu tanggungjawab yang besar dan kelak akan dipersoalkan di akhirat kelak. Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ
Maksudnya: “Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).”
Riwayat Muslim (1829)
Kesimpulan
Mengambil iktibar daripada perbincangan di atas, kami menasihatkan agar para suami di luar cakna tentang keperluan asas serta kepentingan rumah tangga yang sedia ada terlebih dahulu sebelum mula melangkah ke alam berpoligami. Zahirnya tampak menyeronokkan dan bahagia, akan tetapi ia boleh memberikan impak yang besar dalam kehidupan jika tidak didasari dengan hukum-hakam Islam.
Mereka yang tidak mempunyai kemampuan untuk berpoligami ini dikategorikan sebagai mereka yang tidak layak untuk berkahwin dengan lebih daripada seorang wanita, ini berdasarkan syarat yang diletakkan oleh syara‘ sendiri. Maka, adalah lebih baik untuk dia mempertingkatkan kualiti diri, memperbaiki hubungan kekeluargaan dan mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam agar dia dapat memenuhi tanggungjawabnya sebaik mungkin.
Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memperingatkan lagi, setiap orang diperintahkan oleh Allah SWT untuk melakukan yang ma‘ruf dan menghalang dari kemungkaran. Barang siapa yang tidak melakukan demikian, maka bagi mereka ancaman yang besar daripada syara‘. Ini thabit di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلاَ يُسْتَجَابُ لَكُمْ
Maksudnya: “Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, lakukanlah amal ma‘ruf dan cegahlah kemungkaran, atau Allah akan mengirimkan seksa kepada kamu semua dari sisinya, kemudian engkau memanjatkan doa kepada-Nya tetapi tidak akan diperkenankan lagi.”
Riwayat al-Tirmizi (2169)
Ini berbetulan dengan firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Imam Ibn Kathir mengatakan, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman untuk tolong-menolong dalam membuat kebajikan yakni ketaatan, dan juga bertaqwa dengan cara meninggalkan perkara-perkara yang mungkar. Dan Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya dari tolong-menolong dalam perkara yang batil. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/10)
Kami mengharapkan agar saudari dapat terus menasihatkan si suami agar mempertimbangkan hajatnya untuk berpoligami sehinggalah dia benar-benar berkemampuan dan dapat menunaikan tanggungjawabnya terhadap saudari dan anak-anak terlebih dahulu. Memberikan kebenaran untuk berpoligami itu adalah suatu perkara yang hebat kerana ia bukanlah perkara yang mudah, akan tetapi perlu juga melihat kepada maslahah yang lebih utama iaitu hajat anak-anak serta saudari kepada kasih sayang seorang bapa dan juga suami. Semoga saudari diberikan kekuatan, dan rumahtangga yang dibina berkekalan sehingga ke syurga.
Kami akhir dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445