Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mahu bertanya tentang was-was. Saya mengalami bisikan menyuruh dan melafaz cerai kepada isteri saya. Sehingga saya menghadapi depression dan terjadi pada suatu hari saya buka satu ruangan soal jawab seorang ustaz berkenaan rumahtangga. Dan dengan tak sengaja saya terbaca guna mulut. Ayat pertama tu berbunyi “kami dah bercerai “. Saya takut dalam kepala saya yang cakap itu Allah ingat ia menjadi niat saya.Adakah jatuh talak Dato? Saya tidak mahu cerai Dato. Banyak dalam kepala ini bercakap tentang Allah, bercakap buruk tentang Allah dan rasul, kewujudan Allah, cakap saya sudah jadi kafir.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.
Riwayat Abu Daud (2194). Syeikh Syuaib berkata hadis ini hasan li ghairih.
Al-Khattabi menukilakan bahawa : para ahli ilmu bersepakat bahawa lafaz talak yang jelas, jika diucapkan oleh seseorang yang telah baligh yang berakal, ia dianggap sebagai talak yang sah dan tidak berguna lagi baginya untuk mengatakan bahawa ia sedang bermain-main, bergurau dan tidak berniat untuk bercerai atau perkara seumpamanya. (Lihat Ma’lim al-Sunan,3/243)
Hadith ini juga menunjukkan bahawa perkara-perkara yang disebutkan dalam hadits dikira sekiranya disertakan dengan niat, kerana hukum asal hanya ditujukan kepada individu yang berakal yang mampu membuat pilihan, yang sengaja, dan ingat dia lakukan. Golongan yang tidak dikira sekiranya melakukan perkata tersebut adalah seperti orang yang dipaksa yang tidak mampu untuk membuat pilihan, orang yang mabuk yang berakal dalam keadaan mabuknya, orang gila, orang yang salah dan yang lupa yang tidak mampu untuk mengingati. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 20/251)
Terdapat keadaan apabila suami melafazkan talak secara sarih ia tidak menjatuhkan talak, antaranya ialah:
- Orang yang tidur
- Orang yang gila
- Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
- Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
- Penggunaan lafaz yang tidak difahami
- Dipaksa dan mabuk atas sebab uzur
Al-Zuhaili menyatakan ketika menerangkan keadaan yang ke tiga : “Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talaq, maka lagha, tidak jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang berulang-kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga, kerana tiada niat.”(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’ie, 4/164)
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#3046: Kaedah Menyelesaikan Masalah Was-Was[1]
#2248: Was-was Dalam Melafazkan Talak[2]
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini saudara mengalami was-was dan gangguan yang teruk, maka nasihat kami sebaiknya saudara pergi ke Darul Syifa’, Darul Salam dan pusat rawatan yang lain untuk ikhtiar bagi masalah ini.
Kami juga sarankan agar sentiasa mempelajari ilmu dari para ulama terutamanya dalam bab ilmu tasawuf dan fiqh dan ia adalah amat penting. Adapun, isu terlafaz cerai ketika menulis soalan itu, tidaklah jatuh talak kerana saudara terucap dan tiada niat untuk menceraikan isteri. Oleh itu, janganlah was-was berlebihan lagi dan pergilah dapatkan rawatan, semoga Allah membuka pintu jalan buat saudara dan dihilangkan perasaan was-was dan bisikan syaitan tersebut.
Lazimilah dengan berdoa kepada Allah SWT seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beragama dan Saya akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahua’lam
[1] https://maktabahalbakri.com/3046-kaedah-menyelesaikan-masalah-was-was/
[2] https://maktabahalbakri.com/2248-was-was-dalam-melafazkan-talak/
Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445