Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada beberapa kekeliruan dan ingin mohon pencerahan berkenaan perkara ini. Apakah konsep anak susuan yang benar menurut Islam?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Susuan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud anak yang masih menyusu atau anak orang yang disusui. Dalam erti kata lain, seorang bayi yang minum susu sama ada dari ibu kandungnya atau wanita lain. Penyusuan menurut syara‘ pula bererti perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang wanita ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu. (Lihat al-Fiqh al- Manhaji, 3/119)
Pensyari‘atan konsep susuan ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 23)
Kesan daripada konsep susuan ini pula adalah, anak susuan tersebut mengambil hukum anak kandung. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang anak permepuan Saidina Hamzah R.A:
لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Dia tidak halal bagiku, apa yang diharamkan oleh disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”
Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)
Imam al-Nawawi menyebutkan, penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram muabbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/23)
Hikmah Mahram kerana Susuan
Akan tetapi, mungkin timbulnya kekeliruan bagi sesetengah pihak, bagaimana mungkin susuan ini boleh memberikan kesan yang besar terutamanya dalam bab mahram?
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, antara hikmah Allah SWT menjadikan susuan itu asbab kepada terjalinnya mahram kerana anak susuan itu bergantung sepenuhnya kepada susu badan tersebut untuk pertumbuhan tulang dan dagingnya, lalu membesar dengan sihat. Secara mudahnya, susu badan itu yang menjadi darah dagingnya, maka itulah sebab utama hubungan antara anak dan ibu susuan menjadi mahram sebagaimana hukum anak kandung kepada ibu sususan tersebut.
Ini berdasarkan sebuah athar yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
لَا رِضَاعَ إِلَّا مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْمَ
Maksudnya: “Hukum penyusuan tidak berlaku, melainkan yang dapat menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.”
Riwayat Abu Dawud (2059)
Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur mengatakan, susuan menyebabkan terjadinya mahram kerana itulah satu-satunya makanan, yang mana tidak ada makanan yang boleh untuk bayi hidup melainkan dengan susu badan itu. Dan ia menjadi sebab hidup anak itu boleh diteruskan, sepertimana seorang ibu (dengan susunya) menjadi sebab kemandirian hidup anak kandungnya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 4/296)
Ini juga menjadi hujjah yang kuat mengapa majoriti ulama’ berpendapat bahawa hukum menjadi mahram dengan susuan hanya berlaku sekiranya anak tersebut masih belum fitam (الفِطَامُ), yakni putus susu. Ini dikuatkan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يُحَرِّمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ إِلَّا مَا فَتَقَ الأَمْعَاءَ فِي الثَّدْيِ وَكَانَ قَبْلَ الْفِطَامِ
Maksudnya: “Tidak menjadi mahram dengan susuan melainkan sebab susu yang masuk ke dalam perutnya sebelum anak itu putus susu (berhenti menyusu susu ibu).”
Riwayat al-Tirmizi (1152)
Kebiasaannya tempoh yang diambil oleh bayi untuk putus susu adalah 2 tahun atau kurang, berdasarkan firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah al-Baqarah: 233)
Dan juga firman Allah SWT:
وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ
Maksudnya: “Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.”
(Surah Luqman: 14)
Konsep Anak Susuan yang Menjadikannya Mahram
Apabila membincangkan tentang konsep susuan ini, ulama’ silam membahaskan 2 isu yang utama:
- Had umur yang menjadikan anak susuan itu mahram.
- Bilangan susuan yang menjadikan anak tersebut mahram.
Isu pertama berkenaan had umur telah kami bahaskan di atas, iaitu selama mana anak itu belum fitam (الفِطَامُ) atau putus susu dalam tempoh 2 tahun.
Berkenaan isu tentang bilangan susuan pula, para fuqaha’ berbeza pendapat antara yang meletakkan bilangan tertentu atau tidak:
- Tidak mengehadkan bilangan susuan
Ini merupakan pandangan Mazhab Maliki dan Mazhab Hanafi. Mereka berpendapat bahawa semata-mata susuan sahaja, tidak kira sedikit atau banyak, sudah cukup untuk menjadikannya mahram. (Lihat Matn al-Risalah, hlm. 98; Ikhtilaf al-Ulama’, 2/314; Bada’i‘ al-Sana’i‘ fi Tartib al-Syara’i‘, 4/7)
Ini berdasarkan lafaz umum dalil syara‘ yang tidak meletakkan sebarang bilangan susuan tertentu. Firman Allah SWT:
وَأُمَّهَٰتُكُمُ ٱلَّٰتِيٓ أَرۡضَعۡنَكُمۡ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 23)
Ini juga sebagaimana yang datang dalam riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ
Maksudnya: “Apa yang diharamkan oleh disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan.”
Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)
- Mengehadkan bilangan susuan tertentu
Terdapat beberapa pandangan yang mengehadkan bilangan susuan tertentu yang boleh menjadikan anak susuan itu mahram.
Pertama: Mazhab Hanbali dan Mazhab Syafi‘i
Mereka bersepakat bahawa susuan sebanyak 5 kali secara berasingan yang mengenyangkan, maka barulah anak tersebut boleh menjadi mahram kepada ibu susuannya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/131; Kasyaf al-Qina‘, 5/446; al-Mughni, 8/173)
Ini berdasarkan hadith yang warid daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ. ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَهُنَّ فِيمَا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Ayat al-Quran yang turun adalah sepuluh kali susuan yang tertentu, yang menyebabkan anak susuan menjadi mahram. Kemudian ia dimansukhkan dengan lima kali susuan yang tertentu. Ketika Rasulullah SAW wafat, ayat tersebut (tentang lima kali susuan yang tertentu) masih dibaca sebagai ayat al-Quran.”
Riwayat Muslim (1452)
Ini dikuatkan dengan riwayat daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, katanya:
جَاءَتْ سَهْلَةُ بِنْتُ سُهَيْلٍ. فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اَللَّهِ! إِنَّ سَالِمًا مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ مَعَنَا فِي بَيْتِنَا، وَقَدْ بَلَغَ مَا يَبْلُغُ اَلرِّجَالُ. قَالَ: أَرْضِعِيهِ، تَحْرُمِي عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sahlah Binti Suhail datang dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Salim, budak kecil yang telah dimerdekakan Abu Huzaifah, tinggal bersama kami di rumah kami, padahal sekarang dia sudah dewasa.’ Baginda bersabda: ‘Susukanlah dia agar engkau menjadi haram dengannya’.”
Riwayat Muslim (1453)
Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:
أَرْضِعِيهِ خَمْسَ رَضَعَاتٍ، فَكَانَ بِمَنْزِلَةِ وَلَدِهِ مِنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Susukanlah dia dengan 5 kali susuan, sesungguhnya dia akan menjadi seperti anak kandungnya dengan susuan itu.”
Riwayat Abu Dawud (2061), al-Nasa’ie (3223) dan Ahmad (25650)
Kedua: Mazhab Dawud al-Zahiri, Abu Thaur, Ibn al-Munzir dan Salah Satu Riwayat Imam Ahmad
Mereka berpendapat bahawa mahram tidak berlaku dengan sekali atau 2 kali sedutan semata, akan tetapi ia berlaku dengan 3 kali susuan dan ke atas. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 5/508; al-Muhalla, 10/10)
Mereka berhujjah dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ummu al-Fadhl Lubabah binti al-Harith R.Anha bahawa Rasulullah SASW bersabda:
لَا تُحَرِّمُ الرَّضْعَةُ أَوِ الرَّضْعَتَانِ أَوِ الْمَصَّةُ أَوِ الْمَصَّتَانِ
Maksudnya: “Tidak menjadi mahram dengan sekali susuan atau 2 kali susuan, atau sekali sedutan atau 2 kali sedutan.”
Riwayat Muslim (1451)
Ketiga: Salah Satu Pandangan ‘Aisyah R.Anha
Anak susuan tersebut tidak menjadi mahram melainkan setelah 7 kali susuan. (Lihat al-Muhalla, 10/10)
Ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin al-Zubair R.A bahawa Saidatina ‘Aisyah R.Anha berkata:
إِنَّمَا يَحْرُمُ مِنْ الرَّضَاعِ سَبْعُ رَضَعَاتٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya terjadinya mahram dengan susuan sebanyak 7 kali susuan.”
Riwayat al-Nasa’ie (5452)
Kesimpulan
Melihat kepada perbincangan yang kami bawakan di atas, kami cenderung memilih pandangan Mazhab Syafi‘i kerana dalil dan hujjah yang dibawakan lebih kuat, iaitu anak susuan boleh menjadi mahram dengan 3 syarat:
- Lengkap 5 kali susuan secara berasingan.
- Kenyang pada setiap susuan.
- Anak tersebut masih belum putus susu.
Maka anak susuan yang menjadi mahram ini, dia akan mengambil hukum yang sama seperti anak kandung dari segi haram berkahwin, batasan aurat, bersalaman dan sebagainya.
Meskipun begitu, kami menyelitkan sedikit nasihat buat mereka yang ada ikatan disebabkan susuan, agar tidak sesuka hati bergaul antara adik-beradik lelaki dan perempuan susuan bagi mengelakkan kemungkinan terdorong ke arah keburukan dan perkara haram. Hal ini kerana, hubungan susuan tidaklah mewujudkan rasa kasih sayang secara semula jadi di kalangan keluarga susuan tersebut, akan tetapi ia datang selepas susuan itu berlaku. Baginilah juga sebagaimana yang dinasihatkan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/212)
Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua dalam menjalani kehidupan seharian mengikut syari‘at Allah SWT yang telah ditetapkan.
Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445