#1162: Imam Membaca Mushaf Ketika Solat

Soalan:

Assalamualaikum.  Mutakhir ini, saya melihat ramai imam tarawih membaca al-Quran ketika sembahyang tarawih dengan melihat mushaf. Sah atau tidak solatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, saya nyatakan seperti berikut:

Oleh kerana fenomena bacaan al-Quran dengan melihat mushaf ketika solat biasanya berlaku pada bulan Ramadan ketika solat tarawih. Ini kerana sebahagian imam yang tid menghafaz al-Quran juga ingin membaca surah-surah yang panjang seperti al-Baqarah, al-Imran dan lain-lain. Juster persoalan timbul apakah hukum imam membaca surah tersebut ketika solat sambil melihat mushaf? Dalam masalah ini penulis mengemukakan pandangan ulama.

Mengikut mazhab al-Syafie dan Hanbali, hukumnya harus bacaan al-Quran daripada mushaf ketika solat. Imam Ahmad berpendapat tidak mengapa menjadi imam dalam keadaan melihat mushaf pada solat malam. Kemudian ditanya padanya berkenaan solat fardu? Jawabnya: “Aku tidak mendengar padanya sesuatu.”

Ditanya kepada Imam al-Zuhri berkenaan dengan hukum imam membaca surah tersebut ketika solat sambil melihat mushaf? Jawabnya: “Adalah mereka yang terbaik di kalangan kami membaca al-Quran dengan melihat mushaf.”

Dalam syarah Raudh al-Thalib oleh Syeikh Zakaria al-Ansari berkata: “Membaca dengan melihat mushaf sekalipun membalikkan lembarannya kadang-kadang tidaklah membatalkan solat kerana demikian itu sedikit dan tidak berterusan yang tidak dirasakan berpalingnya daripada solat. Tambahan pula sedikit daripada gerakan yang menyebabkan batal banyaknya jika disengajakan tanpa sebarang hajat maka hukumnya adalah makruh.

Mazhab Maliki memakruhkan bacaan daripada mushaf ketika solat fardu sama ada bacaan pada awalnya atau pertengahannya. Mereka membezakan pada solat sunat antara bacaan melihat mushaf ketika pertengahan solat dan pada awalnya. Mereka berpendapat hukumnya makruh ketika solat kerana menyibukkan dengannya. Sebaliknya jika hanya pada awal hukumnya harus tanpa makruh kerana dimaafkan pada yang sunat tidak pada yang fardu.

Abu Hanifah berpendapat batal solat sama ada melihat mushaf banyak atau sedikit, imam atau berseorangan. Dan mereka bertanya kepada Abu Hanifah sebab rosaknya solat. Lantas dijawab dengan dua sebab:

  • Menanggung mushaf dan melihatnya serta membalikkan lembaran kertas atau helaian adalah perbuatan yang banyak.
  • Bahawa hendaklah diajar daripada mushaf maka jadilah sebagaimana yang diajar daripada yang lain. Atas dasar ini tiada perbezaan antara yang diletak atau ditanggung disisinya. Dan yang pertama di atas ada perbezaan. Mengikut pendapat Abu Yusuf dan Muhammad, kedua- duanya murid kepada Imam Abu Hanifah, hukumnya adalah makruh bacaan daripada mushaf jika diniat mengikuti atau menyerupai dengan ahli al-Kitab. (Lihat al-Mausu’ah al- Kuwaitiyah, 22/14)

Semoga kita semua merasa lega dengan jawapan di atas dan seterusnya dapat menunauikan ibadat solat dengan yakin, terutamanya solat tarawih yang kita jalaninya. Doa kami agar Allah SWT kurniakan kepada kita penerimaan dalam ibadat seterusnya melayakkan kita menghuni syurga-Nya. Amin.

Bertarikh: 29 Mac 2023 bersamaan 7 Ramadhan 1444H