#3386: Mencetak Baju yang Ada Unsur Keagamaan Selain Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya baru dua tahun menceburi bidang percetakan baju ini. Saya hendak bertanya apakah hukumnya sekiranya kita mencetak baju yang ada unsur keagamaan terutama selain agama Islam itu sendiri? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum kami menjawab soalan di atas, pertamanya kita hendaklah mengetahui bahawa kita hendaklah menjadi penyebar kepada agama kita sendiri iaitu agama Islam. Ini bertepatan dengan hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. Ceritakanlah tentang bani Israil dan tidak menjadi satu kesalahan padanya. Barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (3461)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, ia adalah sesuatu yang perlu diperhalusi. Sekiranya baju yang dicetak itu sekadar menyebut nama-nama para nabi zaman dahulu, maka ia adalah tidak mengapa dan tidak menjadi kesalahan. Misalnya, terpapar pada baju tersebut “I love Jesus” tanpa terdapatnya padanya sebarang lambang khusus keagamaan agama lain seperti salib dan sebagainya, dan tujuannya adalah sekadar bagi menggambarkan kita sayang nabi tersebut atau menunjukkan bahawa agama Islam juga mengiktiraf kenabian dan kerasulan Nabi Isa, maka hal itu tidak mengapa. Perkara ini kembali kepada hukum asalnya iaitu diharuskan dan ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Akan tetapi jika tujuannya adalah untuk berkempen bagi menganut agama lain selain Islam, atau menggambarkan agama tersebut juga adalah benar, atau jelas ia mengandungi lambang dan identiti agama lain itu dan seumpamanya, maka ia adalah tidak dibolehkan. Bahkan tidak syak lagi ia adalah diharamkan kerana ia melibatkan perbuatan membantu ke arah syirik dan dosa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan mencetak baju yang ada unsur keagamaan selain agama Islam bagi tujuan berkempen kepada agama tersebut atau membantu penganutnya menggunakan baju itu sebagai kempen kepada agama mereka atau seumpamanya termasuk dalam perkara dosa yang diharamkan. Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:

إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya:Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami menyimpulkan bahawa ia adalah sesuatu yang perlu diperhalusi dan dilihat tujuannya.  Jika tujuannya adalah untuk berkempen bagi menganut agama lain selain Islam, atau menggambarkan agama tersebut juga adalah benar, atau jelas ia mengandungi lambang dan identiti agama lain itu dan seumpamanya, maka ia adalah tidak dibolehkan dan haram kerana ia termasuk dalam perbuatan membantu ke arah dosa dan maksiat.

Namun, jika sekadar menyebut nama-nama para nabi zaman dahulu seperti Moses, Jesus, Abraham dan seumpamanya serta tidak terdapat padanya sebarang lambang khusus keagamaan agama lain seperti salib dan sebagainya, dan tujuannya adalah sekadar bagi menggambarkan kita juga sayang nabi itu atau menunjukkan bahawa agama Islam turut mengiktiraf nabi tersebut, maka hal itu adalah tidak mengapa dan tidak menjadi kesalahan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445