#3387: Memohon Fasakh Disebabkan Suami Sering Mengabaikan Tanggung Jawab Nafkah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adakah berdosa saya memohon carai atau fasakh jika suami kerap abaikan tanggungjawabnya sebagai suami? Nafkah zahir batin diberi tetapi kadang-kadang tiada, kadang-kadang dia seringkali meninggalkan saya bila berlaku pertengkaran. Kadang-kadang lebih sepuluh hari tanpa sebarang berita dan tidak juga membekalkan keperluan nafkah zahir saya. Biasanya setiap kali dia melakukan kesalahan, berlaku pertengkaran kecil atau besar, dia tidak pulang ke rumah beberapa hari, kadang-kadang berminggu-minggu. Saya rasa terabai dan ini memberi tekanan mental kepada saya. Seringkali saya memaafkan tetapi tetap juga perkara sama diulanginya. Saya merasa tertekan dan ingin fokus hidup sendiri dengan keluarga di kampung.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. ( Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274 )

Firman Allah SWT:

لِيُنفِقۡ ذُو سَعَة مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡيُنفِقۡ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَاۚ سَيَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡر يُسۡرا

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

(Surah al-Talaq:7)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT telah menetapkan nafkah ke atas isteri sesuai dengan keadaan suami iaitu orang yang kaya hendaklah menunaikan nafkah sesuai dengan kekayaannnya jangan lah dia menunaikan nafkah dengan nafkah orang miskin. Sesiapa yang berada dalam kesempitan maka berilah nafkah dengan apa yang telah direzekikan oleh Allah kepadanya. Allah SWT tidak membebani seseorang kecuali dengan kemampuan  yang  diberikan Allah kepadanya dalam bab nafkah atau sebagainya .Yang demikian merupakan rahmah dan kasih sayang Allah terhadap hambanya dengan meringankan beban terhadap orang yang  susah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.871)

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Nabi SAW turut bersabda :

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rabbmu mempunyai hak atasmu, dan jiwamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu, maka berilah setiap hak kepada orang yang berhak”

Riwayat al-Bukhari (2139)

Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa: ” Dalam bab ini disebutkan hak isteri terhadap suami. Seorang suami seharusnya  tidak menumpukan  dirinya dalam ibadah semata-mata hingga dia mengabaikan hak keluarganya dari memberikan  nafkah batin  dan nafkah-nafkah yang sepatutnya diberikan kepadanya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 7/320).

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah, pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan kewajipan nafkah adalah diwajibkan ke atas suami, walaupun terdapat pertelingkahan dalam rumahtangga. Namun, penting untuk diingat bahawa kewajipan ini tidak akan gugur selagi tidak berlakunya penceraian atau nusyuz dari pihak isteri. Hal ini sejajar dengan nas-nas yang telah menjelaskan perkara ini sepertimana yang dinyatakan di atas.

Dalam isu ini kami katakan sekiranya suami sering mengabaikan nafkah kepada isteri sehingga memudaratkan kehidupannya maka kami katakan isteri boleh menunut fasakh daripada mahkamah. Hal ini sepertimana yang  diriwayatkan oleh Yahya al-Mazini, bahawa Baginda SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh memudaratkan diri dan memudaratkan orang lain.

Riwayat Malik (1435) Ibn Majah (2341)

Ibn Qudamah dalam isu ini beliau menyataka bahawa: Apabila seorang lelaki tidak memberikan nafkah kepada isterinya, disebabkan kesukaran dan ketidakupayaannya untuk menafkahinya, maka wanita mempunyai pilihan antara bersabar dalam situasi tersebut atau memohon dibubarkan perkahwinan.(Lihat al-Mughni, 11/361 )

Telah dinyatakan juga dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahwa: Wanita berhak meminta pembubaran perkahwinan antaranya dan suami jika suami tidak  memberikan nafkah. Jika dia enggan, maka hakim akan membubarkan perkahwinan tersebut.(Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah,66/41)

Justeru, sebagai seorang isteri, saudari berhak untuk meminta kembali hak nafkah yang sepatutnya diberikan oleh suami. Saudari juga berhak untuk meminta cerai atau memohon fasakh apabila tiada jalan keluar, jika terdapat sebab-sebab yang sah menurut syarak, terutamanya jika si suami tidak lagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai suami, melanggar perintah Allah SWT, atau perkara seumpamanya. Walau bagaimanapun, jika terdapat penyelesaian yang boleh dicapai di antara saudari dan suami, sebaiknya usahakan agar rumah tangga saudari dapat diselamatkan. Tetapi, jika tidak ada persefahaman lagi, kami nasihatkan agar saudari merujuk kepada Mahkamah Syariah untuk permohonan fasakh. Pada masa itu, keputusan akan ditentukan oleh hakim, sesuai dengan prinsip-prinsip fiqh yang berlaku.

أَنَّ حُكْمَ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf.”

Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan tenang dan harmoni. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445