#3388: Mengulangi Solat Fardhu di Masjid Selepas Solat Bersama Isteri di Rumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sepanjang tiga tahun perkahwinan saya dan isteri, kami cuba sebaik mungkin untuk mencari waktu solat berjemaah walaupun sibuk. Alhamdulillah, Allah bagi ruang walaupun tidak selalu dapat. Kemusykilan saya, jika saya terlebih dulu solat bersama isteri di rumah kemudian saya ke masjid untuk berjemaah yang lebih besar, boleh atau tidak? Sebabnya isteri saya seboleh-boleh juga mahu solat berjemaah tetapi anak kami yang masih kecil tidak mengizinkan untuk dibawa ke masjid lagi. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, solat dari sudut waktu ia didirikan terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, solat yang dilakukan di dalam waktunya. Kedua, solat yang dilakukan di luar waktunya. Solat yang didirikan di luar waktunya disebut sebagai qadha’, manakala solat yang didirikan di dalam waktunya terbahagi kepada dua iaitu:

  • Ada’ (أداء)
  • I‘adah (إعادة) iaitu mengulangi solat fardhu yang telah didirikan.

Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, pengulangan solat fardhu bagi mendapat pahala berjemaah atau membantu orang lain mendapatkan pahala solat berjemaah, hukumnya adalah sunat. Begitu juga perbuatan ‘iadah (mengulangi) solat merujuk kepada perbuatan seseorang yang melaksanakan satu solat daripada solat-solat fardhu, kemudian dia merasakan bahawa terdapatnya kekurangan atau kecacatan di dalam solat tersebut dari sudut adab-adab atau pelengkap solat (yakni bukan pada perkara yang membatalkan solat), kemudian dia mengulanginya semula dalam bentuk yang tidak terdapatnya kekurangan atau kecacatan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/110).

Dalam menjawab soalan di atas, pada asalnya, hukum solat fardhu sebanyak dua kali bagi satu waktu tanpa sebarang keperluan adalah makruh. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW :

لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ

Maksudnya: “Janganlah kamu solat fardhu sebanyak dua kali dalam sehari.

Riwayat Abu Daud (579) dan al-Nasa’i (860)

Penjelasan berkenaan hukum makruh mengulangi solat fardhu tanpa sebarang sebab ini juga telah diterangkan oleh Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Sebaliknya, jika seseorang berhasrat untuk meraih ganjaran pahala jemaah, maka disunatkan baginya untuk mengulangi semula solat tersebut bersama jemaah yang didapatinya. Hal ini juga merupakan pendapat dalam mazhab Maliki dan Syafi‘i. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 2/202; al-Fatawa al-Kubra, 2/283; al-Mudawwanah al-Kubra, 1/179; Raudhah al-Talibin, 1/343).

Selain itu, al-Mawardi juga ada menyebutkan dalam kitabnya mengenai dua pendapat ulama mazhab Syafi‘i iaitu sesiapa yang telah menunaikan solat fardhu sama ada secara berjemaah atau berseorangan. Kemudian, dia melihat solat fardhu tersebut ada jemaah yang sedang mengerjakannya. Maka, disunatkan ke atasnya untuk solat bersama mereka, walau apa jenis solat (fardhu) pun. Ini merupakan pendapat Ali bin Abu Talib, Huzaifah, Sa‘id bin al-Musayyib dan Sa‘id bin Jubair. Ini juga adalah pendapat yang dipilih oleh al-Mawardi. Manakala sebahagian yang lain membezakan antara solat fardhu yang pertama, telah didirikan secara berseorangan atau berjemaah. Sekiranya telah didirikan secara berjemaah, makruh hukumnya mengulangi solat fardhu Subuh dan Asar. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/195).

Seterusnya, kami kongsikan pula beberapa nas yang boleh dijadikan sandaran berkenaan isu ini. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Yazid bin al-Aswad R.A, beliau berkata:

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ: عَلَىَّ بِهِمَا ‏فَأُتِيَ بِهِمَا تُرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ: مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا؟ ‏قَالاَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا قَالَ: فَلاَ تَفْعَلاَ إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ

Maksudnya: “Aku menghadiri solat Subuh bersama Rasulullah SAW di Masjid al-Khaif. Apabila baginda selesai mendirikan solat maka baginda mendapati ada dua orang lelaki di hujung jemaah yang tidak turut serta bersolat bersama Baginda. Baginda bersabda: ‘Bawakan mereka berdua kepadaku.’ Lalu dibawakan mereka berdua dalam keadaan mereka ketakutan. Kemudian Baginda bersabda: ‘Apa yang menghalang kamu berdua untuk ikut solat bersama kami?’ Mereka berdua menjawab: ‘Wahai Rasulullah, kami telah solat di tempat permusafiran kami.’ Baginda bersabda: ‘Janganlah kamu berdua buat begitu. Apabila kamu berdua telah melaksanakan solat di rumah kamu, kemudian kamu berdua datang ke masjid yang ada didirikan solat secara berjemaah, maka solatlah kamu berdua bersama mereka kerana ia adalah dianggap sebagai solat sunat buat kamu berdua.’

Riwayat al-Nasa’i (858)

Di samping itu, terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلا يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ: أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ ‏‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki solat secara bersendirian lalu Baginda bersabda: ‘Tidak adakah seseorang lelaki yang ingin bersedekah kepada si fulan ini lalu dia solat bersamanya?’

Riwayat Abu Daud (574)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah bahawa:

أَنَّ مُعَاذَ بْنَ جَبَلٍ، كَانَ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ يَرْجِعُ، فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ

Maksudnya: “Mu‘az bin Jabal pernah solat bersama Nabi SAW, kemudian beliau pulang lalu mengimamkan kaumnya pula.”

Riwayat al-Bukhari (700)

Dalam riwayat Jabir bin Abdullah yang lain datang dengan lafaz:

كَانَ مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ يَرْجِعُ، فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ، فَصَلَّى العِشَاءَ، فَقَرَأَ بِالْبَقَرَةِ، فَانْصَرَفَ الرَّجُلُ، فَكَأَنَّ مُعَاذًا تَنَاوَلَ مِنْهُ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: فَتَّانٌ، فَتَّانٌ، فَتَّانٌ. ثَلاَثَ مِرَارٍ – أَوْ قَالَ: فَاتِنًا، فَاتِنًا، فَاتِنًا – وَأَمَرَهُ بِسُورَتَيْنِ مِنْ أَوْسَطِ الـمُفَصَّلِ، قَالَ عَمْرٌو: لاَ أَحْفَظُهُمَا.

Maksudnya: “Bahawasanya Mu‘az bin Jabal pernah solat bersama-sama Nabi SAW, kemudian beliau pulang dan mengimamkan kaumnya pula. Maka beliau menunaikan solat Isyak dan membaca Surah al-Baqarah. Setelah itu ada seorang lelaki meninggalkan solat (kerana bacaan imam terlalu lama), dan Mu‘az mencaci sikap lelaki itu. Maka hal ini sampai kepada Nabi SAW, lalu Baginda bersabda: ‘Engkau ini menimbulkan fitnah, engkau ini menimbulkan fitnah, engkau ini menimbulkan fitnah.’  Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali – atau Baginda bersabda: ‘Engkau pembuat fitnah, engkau pembuat fitnah, engkau pembuat fitnah’ – dan Baginda menyuruh Mu‘az membaca dua surah yang sederhana panjangnya daripada surah-surah al-Mufassal. ‘Amr (iaitu salah seorang perawi hadith ini) berkata: ‘Aku tidak mengingati kedua-duanya (nama surah tersebut).’

Riwayat al-Bukhari (701)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tindakan saudara mendirikan solat secara berjemaah bersama isteri di rumah, kemudian pergi ke masjid bagi melakukan solat berjemaah di sana pula ataupun sebaliknya iaitu saudara mendirikan solat secara berjemaah di masjid kemudian pulang ke rumah untuk mendirikan pula solat secara berjemaah bersama isteri adalah dibolehkan. Bahkan — insya-Allah — ia adalah suatu perkara yang baik dan disunatkan, di mana saudara mengulangi solat fardhu itu bagi tujuan memperoleh kelebihan pahala berjemaah, di samping fadhilat dan ganjaran yang lebih besar atau membantu orang lain seperti isteri saudara untuk memperoleh pahala jemaah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445