Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kenapa kita tidak boleh melihat Allah SWT di dunia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ ۚ قَالَ لَن تَرَانِي وَلَٰكِنِ انظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا ۚ فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu”, Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) “TajalliNya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)”
(Surah al-A’raf: 143)
Pada satu masa, Nabi Musa A.S telah memohon untuk melihat Allah. Allah SWT menjawab permohonan baginda dengan memaklumkan bahawa baginda tidak akan mampu untuk melihat-Nya di dunia ini bahkan gunung yang pada ketika itu berada hadapannya itu menjadi hancur lebur tatkala Allah menzahirkan diri-Nya lalu menjadikan Nabi Musa A.S jatuh pengsan. Setelah sedar, baginda segera bertasbih dan bertaubat kepada Allah serta mengakui keimanan kepada-Nya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 302; al-Tahrir wa al-Tanwir, 9/94; al-Tafsir al-Wasit, 5/372; Tafsir al-Bayan, 2/82)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah SWT, ‘قَالَ لَن تَرَانِي’ (“Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku”), hal ini menunjukkan bahawa Nabi Musa tidak dapat melihat-Nya ketika dia meminta hal tersebut. Adapun untuk dapat melihat-Nya di akhirat, maka telah disebutkan dalam banyak hadith mutawatir yang jelas bagi orang yang mengetahui ilmu hadith. (Lihat Fath al-Qadir, 2/276)
Kami telah menjawab persoalan ini dalam Maktabah al-Bakri pada persoalan 2453: Tidak Dapat Melihat Allah SWT Di Dunia[1] dengan panjang lebar. Cumanya di sini, kami ingin tegaskan bahawa melihat Allah SWT merupakan nikmat yang teragung yang diberikan pada tempat yang termulia iaitu di dalam syurga.
Firman Allah SWT:
جُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ ﴿٢٢﴾ إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ
Maksudnya: “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya.”
(Surah al-Qiyamah: 22-23)
Allah SWT turut menjelaskan dua jenis keadaan manusia khususnya pada paparan wajah mereka di akhirat, iaitu:
- Wajah yang berseri-seri (وُجُوهٌ نَاضِرَة) terdiri daripada kalangan orang beriman.
- Wajah yang muram dan gelap, penuh kekesalan (وُجُوهٌ بَاسِرَة) terdiri daripada kalangan orang kafir.
Kenikmatan yang besar turut diberikan kepada orang yang beriman di akhirat iaitu mereka dapat melihat Allah SWT secara hakiki sebagaimana yang ditafsirkan oleh Fakhr al-Din al-Razi pada ayat 23. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 30/730.)
Berbanding aliran Muktazilah, hal berkenaan ru’yah Allah secara hakiki di akhirat merupakan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama‘ah berasaskan dalil-dalil lain yang mengukuhkannya, antaranya daripada Jarir bin Abdullah R.A, bahawasanya Nabi SAW bersabda:
إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ عَيَانا
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan melihat Tuhanmu (di akhirat) dengan mata kasar.”
Riwayat al-Bukhari (7435)
Perkataan إِلَىٰ رَبِّهَا menunjukkan bahawa penglihatan itu berlaku kepada Tuhannya yakni orang yang beriman lagi beramal soleh pasti dapat melihat Allah SWT.
Begitu juga dengan firman-Nya:
لِّلَّذِينَ أَحْسَنُواْ الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ
Maksudnya: “Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik akan dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia.”
(Surah Yunus: 26)
Ahli syurga amat bertuah kerana bukan saja memperolehi ganjaran hebat hasil daripada kebaikan bahkan mereka memperoleh pula ganjaran tambahan. Demikianlah Allah SWT dengan nama-Nya al-Rahim iaitu Yang Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya yang beriman di akhirat. Diriwayatkan daripada Suhaib R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ، قَالَ: يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ؟ فَيَقُولُونَ: أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا؟ أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ؟ قَالَ: فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ. فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ.
Maksudnya: “Apabila ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta‘ala berfirman: “Apakah kamu ingin Aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?” Mereka menjawab: “Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami daripada api neraka?” Lalu Allah SWT membuka hijab (dan menampakkan zat-Nya). Tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah ‘Azza wa Jalla.”
Riwayat Muslim (297)
Ahli-ahli syurga memiliki wajah yang indah dan nyata berbeza dengan wajah orang-orang kafir. Wajah ahli syurga tidak diselubungi debu, kegelapan mahupun kehinaan. Wajah yang indah adalah kesan daripada kegembiraan hati memperolehi nikmat syurga dan dapat melihat Allah SWT Yang Maha Indah. Golongan kafir ditentukan wajah yang buruk kesan daripada dosa syirik dan pelbagai kejahatan yang dilakukan di dunia. Wajah mereka juga terkesan dengan pembalasan akhirat. Tiada sebarang pelindung yang dapat membantu dalam menghadapi azab. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/96)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/2453-tidak-dapat-melihat-allah-swt-di-dunia/
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445