#3398: Ayat Yang Mampu Menundukkan Haiwan Berbisa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya apakah benar ayat al-Naml 30, mampu menundukkan haiwan berbisa? Contoh seperti ular atau pun ada kelebihan tertentu untuk ayat tersebut yang sahih? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

(Surah Ghafir:60)

Zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur’an, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT. (Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20)

Firman Allah SWT lagi:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

(Surah al-Isra’:82)

Ibnu Kathir menjelaskan bahawa makna dari surah al-Isra’ ayat 82 adalah bahawa al-Quran dapat menghilangkan segala penyakit yang ada di dalam hati, seperti syak (keragu-raguan), nifaq (kemunafikan), syirik (penyekutuan terhadap Allah), zaig (penyimpangan dari kebenaran), dan ma’il (kecenderungan pada keburukan). Al-Quran dapat menyembuhkan segala penyakit tersebut. Al-Quran juga menjadi rahmat, kerana dapat menghasilkan atau mendatangkan keimanan, hikmah (kebijaksanaan), dorongan pada kebaikan, dan kegemaran untuk berbuat baik. Semua hal tersebut hanya dapat diraih oleh orang-orang yang beriman pada al-Quran, membenarkannya, serta mengikuti petunjuk yang ada di dalamnya. Demikianlah al-Quran menjadi syifa’  dan rahmat yang sebenar-benarnya (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 1997).

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan seorang muslim tidak dibenarkan menetapkan dalam bab ibadah apa-apa yang tiada petunjuk daripada syarak, dan menetapkan bacaan surah atau ayat tertentu dengan  tujuan tertentu melainkan jika ada sandaran daripada al-Quran dan al-Hadith.

Firman Allah SWT:

إِنَّهُ مِن سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Maksudnya: Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut)

(Surah al-Naml:30)

Dikatakan ayat ini mampu menundukkan haiwan berbisa. Namun kami tidak mendapati mana-mana  dalil yang khusus daripada al-Quran atau al-Hadith yang menyatakan sedemikian. Apa yang kami dapati adalah antara zikir yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW yang dianjurkan untuk diamalkan bagi memohon perlindungan daripada makhluk yang jahat adalah sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada Uthman bin Affan RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca: “Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu pun dengan nama-Nya sama ada di bumi atau di langit. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala sehingga pagi dan barangsiapa yang membacanya pada waktu sebanyak  tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala sehingga petang.

Hadith ini diriwayatkan oleh Uthman bin Affan RA dan ia diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam Sunannya (5088). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, alangkah sakitnya ketika aku disengat kala jengking semalam lalu baginda menjawab:

أَمَا لَوْ قُلْتَ حِينَ أَمْسَيْتَ : أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ ، لَمْ تَضُرَّكَ

Maksudnya: Jika kamu membaca pada waktu petang (doa ini): Aku berlindung dengan Kalimah Allah yang Maha Sempurna dari segala kejahatan makhluk, sudah pasti ia (sengatan jengking itu) tidak akan memudaratkan kamu.

Riwayat Muslim (2709)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Khaulah binti Hakim al-Sulamiyyah R.anha, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قَالَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ، حَتَّى يَرْتَحِلَ مِنْ مَنْزِلِهِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tiba di suatu tempat, lalu dia membaca: Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan. Maka dia tidak akan ditimpa mudharat sehinggalah dia keluar daripada tempat tersebut.

Riwayat Muslim (2708), Imam al-Tirmizi (3437) dan Imam Ibn Majah (3547)

Menurut Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini, maksud kalimah-kalimah Allah ialah kalimah kesempurnaan yang mana padanya tidak terdapat kekurangan dan tidak juga keaiban. Dikatakan juga bahawa kalimah tersebut adalah kalimah yang bermanfaat serta kesembuhan atau dikatakan juga bahawa kalimah-kalimah tersebut adalah al-Quran. (Lihat  al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 17/31)

Justeru, kami ingin menegaskan bahawa tidak terdapat dalil khusus yang menunjukkan bahawa membaca ayat dari Surah al-Naml dapat memundukkan haiwan berbisa. Kemungkinan besar, tindakan ini adalah hasil dari pengalaman individu atau tajrubah seseorang. Oleh itu, kami mencadangkan agar yang terbaik adalah mengamalkan zikir pagi dan petang yang ma’thur sebagai cara untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445