#34: Sebab Daging Babi Diharamkan untuk Dimakan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah dalil dan sebab daging babi diharamkan untuk dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, pengharaman daging babi adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”[1]

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi.[2] Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’[3]

Selain itu, Dr. Soleh al-Fauzan ada menukilkan bahawa tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan pengharaman daging babi berdasarkan ayat-ayat di atas yang menyebutkan berkenaan pengharamannya. Di samping itu, menurutnya lagi, babi memiliki taring yang digunakan untuk mencari makanan. Oleh itu, ia juga termasuk dalam keumuman hadith yang menyatakan mengenai keharaman setiap haiwan yang bertaring. Justeru, pengharaman babi ini adalah berdasarkan kepada nas, kaedah umum dan ijmak.  Pengharaman babi itu merangkumi babi daripada jenis yang jinak dan liar, juga semua bahagian anggotanya termasuklah lemaknya.[4]

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu ‘ainnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya.[5]

Selain itu, dari segi sains pula terbukti bahawa babi ialah haiwan yang tidak digalakkan untuk dimakan kerana memudaratkan. Kami ringkaskan sebab-sebabnya sebagaimana berikut:

  • Babi memiliki kelenjar peluh yang sedikit berbanding saiz badannya. Perpeluhan merupakan proses fisiologikal penting bagi mengekalkan suhu badan yang ideal. Proses penyejatan air peluh daripada permukaan kulit menyebabkan kesejukan badan dan pada masa yang sama, berperanan untuk membuang toksin dalaman. Mereka yang tidak berpeluh terdedah kepada penyakit-penyakit berbahaya. Tambahan lagi, fungsi utama kelenjar peluh adalah untuk membuang toksin. Jadi bagaimanakah caranya babi mengekalkan suhu badan normal?

Babi menggunakan lumpur sebagai alternatif kepada proses penyejukan badan melalui perpeluhan. Jika anda pernah ternampak mereka berkubang atau berguling-guling di atas lumpur, tingkah laku itu membantu mereka untuk menyejukkan badan. Ia seperti anda menggunakan kipas tangan pada musim panas. Babi sebenarnya suka kepada kawasan lumpur yang bersih. Namun, bagi sekumpulan binatang tersebut yang diternak di ladang-ladang atau kilang, ia ditempatkan di ruangan yang sangat sempit. Ini membuatkan kawasan perkubangan mereka menjadi terhad dan kebiasaannya, lumpur yang digunakan bercampur dengan najis dan muntah mereka sendiri.

Jika hendak dibayangkan betapa banyaknya bahan buangan mereka, 5,000 ekor babi boleh menghasilkan najis bersamaan dengan 50,000 orang yang tinggal di bandar. Kawasan buangan inilah kadangkala menjadi tempat mereka menyejukkan badan. Namun tidak semua tinggal seperti itu. Babi seperti Kurobuta, diternak di kawasan persekitaran yang kurang tekanan dan diberi makanan berasaskan bahan-bahan organik. Mereka merupakan “wagyu” dalam kalangan binatang tersebut.

  • Bakteria kebal antibiotik dalam daging babi. Disebabkan oleh keadaan tempat tinggalnya yang diternak di kawasan kilang itu kebiasaannya kotor, babi mudah mendapat penyakit kulit dan jangkitan kulat. Kebarangkalian yang tinggi ini menggalakkan penternak untuk menggunakan antibiotik bagi memastikan kesihatan binatang ternakan tersebut berada pada tahap yang optimum. Secara teorinya, penggunaan antibiotik secara meluas ini bukan sahaja boleh menggalakkan tumbesarannya dengan cepat, ia boleh melahirkan spesies bakteria kebal antibiotik yang mampu mengancam kesihatan populasi manusia secara umum. Kajian yang dibuat oleh Julia Osterberg pada tahun 2016, telah mendapati bahawa, babi yang diternak di dalam kilang mempunyai spesies bakteria E. Coli yang kebal dengan antibiotik Ampicilin, Tetracyclin, Trimethoprim, Sulphonamide atau Streptomycin. Bakteria tersebut boleh kebal terhadap 1 atau lebih antibiotik. Oleh sebab harga daging babi organik adalah sangat mahal, majoriti masyarakat memakan daging babi yang diternak di kilang. Ini boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mereka mendapat bakteria kebal antibiotik tersebut.
  • Risiko jangkitan parasit. Walaupun jangkitan parasit pada binatang tersebut telah menurun secara mendadak sejak 20 tahun yang lalu, babi (termasuk babi organik) masih terdedah kepada jangkitan tersebut. Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), walaupun banyak langkah boleh diambil untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, binatang ternakan tersebut masih terdedah kepada jangkitan jika mempunyai sentuhan secara terus dengan rodensia yang lain. Rawatan pencegah kepada jangkitan ini boleh mencecah 80% daripada perbelanjaan keseluruhan penternakan babi membuatkan ramai penternak yang enggan melaburkan wang mereka. Pengguna yang membeli daging babi yang mempunyai jangkitan ini terdedah kepada risiko penyakit trichinosis jika daging tersebut tidak dimasak dengan betul. Simptom seperti jangkitan mata, bengkak mata, fobia cahaya, kelesuan dan sakit otot merupakan tanda-tanda awal kepada penyakit ini. CDC menggalakkan pembekuan daging tersebut sebelum dimasak secara teliti bagi memastikan parasit tersebut telah terbunuh.[6]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa pengharaman daging babi dan bahagian-bahagiannya yang lain adalah berdasarkan kepada nas al-Quran dan dalil-dalil yang lain. Lebih-lebih lagi, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa daging babi adalah tidak elok untuk dimakan kerana berkemungkinan memberi mudarat kepada pemakannya. Perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.[7]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Surah al-Ma’idah: 3

[2] Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77.

[3] Surah al-An‘am: 145

[4] Lihat al-At‘imah, hlm. 215.

[5] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141.

[6] Lihat https://hellodoktor.com/pemakanan/tips-lain/makan-daging-babi/. Diakses pada 1 April 2022.

[7] Surah al-A‘raf: 157