#3403: Fadhilat Sujud Kepada Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah sujud mempunyai banyak kelebihan dan apakah yang dimaksudkan denagn sujud?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa benar sekali sujud boleh memberi banyak kebaikan dan fadhilat kepada seseorang yang beriman. Tetapi maksud sujud di sini lebih kepada melakukan solat sunat dengan sebanyak-banyaknya. Rasulullah SAW pernah menasihatkan sahabatnya yang bernama Thauban R.A, maula Rasulullah SAW:

عَلَيْكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ لِلهِ فإِنَّكَ لَا تَسْجُدَ لِلَّهِ سَجَدَةً إِلَّا رَفَعَكَ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً وحَطَّ عَنْكَ بِهَا خَطِيئَةً

Maksudnya: “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kerana Allah kerana sesungguhnya kamu tidak sujud kerana Allah dengan satu sujud kecuali Allah angkatkan kamu dengannya satu darjat (tingkatan kemuliaan) dan menghapuskan daripadamu dengannya satu kesilapan atau dosa.

Riwayat Muslim (488)

Daripada Rabi‘ah bin Ka‘b R.A, katanya:

كُنْتُ أَبِيتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَأَتَيْتُهُ بِوَضُوئِهِ وَحَاجَتِهِ فَقَالَ لِي: ‏سَلْ‏، فَقُلْتُ: أَسْأَلُكَ مُرَافَقَتَكَ فِي الْجَنَّةِ‏،‏ قَالَ: ‏أَوَغَيْرَ ذَلِكَ‏،‏ قُلْتُ: هُوَ ذَاكَ،‏ قَالَ: ‏فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ

Maksudnya: “Aku pernah bermalam bersama Rasulullah SAW, lalu aku datang kepadanya dalam keadaan berwudhu’ dan membawa hajatnya, lalu Baginda SAW berkata kepadaku: ‘Mintalah’ Lalu aku berkata: ‘Aku meminta agar dapat mendampingi kamu di syurga’ Baginda berkata: ‘Adakah selain dari itu?’ Aku katakan: ‘Itu sahaja’ Baginda bersabda: ‘Bantulah aku untuk mewujudkan keinginanmu dengan banyak melakukan sujud’.”

Riwayat Muslim (489)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini menunjukkan galakan dan motivasi untuk memperbanyakkan sujud. Yang dimaksudkan dengan memperbanyakkan sujud adalah dengan memperbanyakkan solat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/206)

Begitu juga, Allah SWT menyebut di dalam al-Quran:

وَاسْجُدْ وَاقْتَرِب

Maksudnya: “Sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!

(Surah al-‘Alaq: 19)

Allah SWT menegaskan kepada Baginda agar tidak mempedulikannya, tidak takut dan bimbang.  Bahkan teruskan dengan tugas tersebut. Janganlah kamu mentaatinya untuk meninggalkan solat. Sujudlah kepada Tuhanmu serta dekatkanlah dirimu kepada-Nya dengan melakukan ketaatan dan ibadah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/570)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: “Bagi keadaan yang dilarang, Allah telah memerintahkan agar kita tidak mendengarkan kepada orang yang melarang ini dan tidak tunduk kepada larangannya. Allah SWT berfirman: “كَلَّا لَا تُطِعْهُ”, ertinya, janganlah kita mentaati orang yang melarang kebaikan, karena mereka hanya melarang apa yang membawa kerugian kepada manusia. Sebaliknya, hendaklah kita bersujud kepada Tuhan kita (Allah) dan mendekat kepada-Nya melalui sujud dan berbagai jenis ibadah dan perbuatan baik lainnya, kerana semua itu mendekatkan kita kepada-Nya dan meraih redha-Nya. Prinsip ini berlaku untuk semua larangan terhadap kebaikan dan perintah untuk melakukan kejahatan. Bahkan, ini berlaku ketika Rasulullah SAW yang mana Abu Jahal melarang Baginda SAW untuk solat, mengganggunya dan menyakitinya” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 930)

Marilah sama-sama kita berdoa dan munajat kepada Allah SWT agar dikruniakan kebaikan kepada kita:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445