#3407: Tidak Memberi Nafkah Batin Kepada Isteri Disebabkan Menderita Sakit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya,  apa hukum seorang suami yang pernah sakit selama setahun, setelah pulih dari sakit dia tidak menunaikan hak memberi nafkah batin kepada isteri dengan alasan masih sakit. Jangka masa kini 2 tahun.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya : Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.

( Surah al-Baqarah ayat 187)

Dalam Kitab Tafsir Ibn Kathir, beliau menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan  maksud  yang dikehendaki dari ayat di atas “mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. Manakala dalam tafsir al-Tabari mengatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu “bersetubuh”. (3/490)

Diriwayatkan daripada  Abdullah Ibn Amru bahwa nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ لِرَبَّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِبَدَنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِزَوْرِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقٌّ

Maksudnya : “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk badan kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak, dan untuk isteri kamu terdapatnya hak dan berikanlah setiap yang hak itu haknya.

 Riwayat al-Bukhari ( 6139)

Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa: ” Dalam bab ini disebutkan hak isteri terhadap suami. Seorang suami seharusnya  tidak menumpukan  dirinya dalam ibadah semata-mata hingga dia mengabaikan hak keluarganya dari memberikan  nafkah batin  dan nafkah-nafkah yang sepatutnya diberikan kepadanya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 7/320).

Dalil-dalil di atas dengan jelas menunjukkan kewajiban suami untuk memberikan pelayanan yang baik kepada isteri dengan memenuhi hak-hak yang seharusnya, termasuk memberikan nafkah zahir dan batin. Suami yang tidak memenuhi tanggungjawabnya terhadap isteri, baik dalam aspek nafkah zahir mahupun batin,adalah dikira berdosa.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam isu ini adalah penting untuk memastikan terlebih dahulu sama ada suami sudah sepenuhnya pulih dari penyakit yang dialaminya atau belum. Sekiranya dia telah pulih, maka adalah menjadi kewajipan suami untuk memberikan nafkah batin kepada isteri, kerana ini adalah hak yang harus dipenuhi oleh suami kepada isterinya.

Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

(Surah Al-Nisa’:19)

Syaikh Islam Ibnu Taimiyyah menyatakan: “Suami hendaklah mengauli isterinya (melakukan hubungan kelamin) dengan cara yang  baik, dan itu adalah haknya yang paling besar bahkan lebih besar dari memberinya makan. Kadar kewajipan dalam hal tersebut adalah berdasarkan keperluan dan kemampuannya. (Lihat Majmu’ al-Fatawa,32/271 )

Bahkan ada pandangan yang menyatakan bahawa hendaklah mendatangi isteri setiap empat malam sekali. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum al-Din bahawa : Hendaklah  mendatangi isteri  setiap empat malam sekali, kerana ia lebih adil . Oleh yang demikian disebabkan jumlah wanita yang harus dikahwini adalah empat (iaitu batas maksimum yang dibenarkan), jadi penangguhan sehingga had ini adalah dibenarkan. Ya, ia boleh ditambah atau dikurangkan mengikut keperluannya. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 2/50)

Namun, jika suami berada dalam keadaan sakit yang menghalangnya daripada melayani isteri, dan keadaannya telah disahkan oleh doktor, dalam situasi ini, kami menasihatkan isteri untuk bersabar dan terus memberikan sokongan kepada suami dalam proses penyembuhannya. Sebagai seorang isteri yang solehah, ini adalah waktu yang penting untuk berada di sisi suami dan membantunya dalam mengatasi penderitaannya sehingga Allah SWT memberikan kesembuhan kepadanya. Tidak ada dosa atas suami yang tidak mampu memberikan nafkah batin disebabkan keadaannya yang sakit dan di luar kemampuannya. Firman Allah SWT:

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan batas kemampuannya”

(Surah al-Baqarah: 286)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)

Justeru, kami katakan sekiranya suami dalam keadaan menderita kesakitan yang menghalangnya dari memberi nafkah batin kepada isteri maka tidaklah berdosa baginya. Namun jika sebaliknya,  di mana suami tidak memenuhi hak isterinya atau tidak berupaya untuk melaksanakan kewajiban ini tanpa alasan yang sah, maka  isteri berhak merujuk ke mahkamah syariah untuk memohon penceraian  demi menjaga kemaslahatan dirinya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titiah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445