#3408: Kaffarah Bagi Sumpah yang Dilanggar Berkali-kali

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika saya telah bersumpah contohnya bersumpah untuk berhenti melakukan sesuatu dosa tetapi saya tetap melakukannya adakah saya wajib membayar kaffarah untuk setiap kali melakukan dosa tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, al-Kaffarah (الْكَفَّارَةُ) diambil daripada perkataan al-Kafru (الكَفْر). Dari segi bahasa, ia bermaksud menutup. Ini kerana ia menutup dosa sebagai keringanan daripada Allah SWT. Sementara dari segi istilah pula kaffarah (الْكَفَّارَةُ) bermaksud perbuatan yang boleh menghapuskan dosa sama ada memerdekakan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/113). Begitu juga Sa‘di Abu Jaib mendefinisikan kaffarah sebagai perkara-perkara yang diampunkan seseorang yang berdosa itu dengannya seperti sedekah, puasa dan seumpamanya. (Lihat al-Qamus al-Fiqhi, hlm. 321).

Dalam bahasa Melayu, perkataan kaffarah ini dipanggil sebagai kafarah atau kifarat. Hal ini kerana menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kafarah diertikan sebagai penutup kesalahan (dosa), dan dipanggil juga sebagai kifarat.[1] Begitu juga kifarat diertikan sebagai denda kerana melanggar hukum atau peraturan agama yang tertentu (berupa perbuat­an kebajikan atau lain-lain sebagai memohon ampun akan dosa); ~ zihar denda yang dikenakan ke atas suami kerana menyamakan sebaha­gian anggota isteri dengan mahramnya.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu di sini, kaffarah melanggar sumpah (كَفَّارَةُ اليَمِين). Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji (3/124-125), sesiapa yang melanggar sumpah sama ada sumpah bohong (يمين غموس) atau tidak, wajib menunaikan kaffarah. Dia diberikan tiga pilihan pertama, iaitu:

  • Memerdekakan seorang hamba yang beriman.
  • Memberi makanan yang mengenyangkan kepada sepuluh orang miskin dengan makanan yang sederhana, yang biasa diberikan oleh seseorang kepada keluarganya.
  • Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin, seperti kain, stoking, penutup kepala tanpa mengira bentuknya.

Jika tidak mampu melakukan satu daripada tiga pilihan tersebut, dia wajib berpuasa selama tiga hari, yang tidak disyaratkan berturut-turut. Allah SWT berfirman:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka, bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana, yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah, peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agamanya) supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Ma’idah: 89)

Justeru, jika seseorang bersumpah tidak memasuki sebuah rumah lalu dia melanggar sumpahnya, maka kaffarahnya ialah sekali. Jika selepas itu dia terus menerus memasuki rumah tersebut, tidak ada kaffarah baginya selagi mana dia tidak memperbaharui sumpahnya. Sebaliknya jika dia melanggar sumpahnya, lalu dia bersumpah kembali dan dia melanggar lagi, maka ke atasnya ada dua kaffarah.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa apabila dia melanggar sumpahnya, maka dia wajib membayar kaffarahnya iaitu kaffarah al-yamin mengikut aturan sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas.

Kemudian berkenaan kali kedua atau seterusnya dia melakukan dosa tersebut, dalam hal ini terdapat khilaf ulama. Akan tetapi kami cenderung kepada pendapat bahawa dia tidak perlu lagi membayar kaffarah selagi mana dia tidak memperbaharui sumpahnya. Ini kerana kali kedua itu dia tidak lagi bersumpah untuk berhenti, maka tidak ada kaffarah baginya. Sebaliknya jika dia melanggar sumpahnya, lalu dia bersumpah kembali dan dia melanggar lagi, maka ke atasnya ada dua kaffarah. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

تَتَكَرَّرُ الْكَفَّارَةُ بِتَكَرُّرِ أَيْمَانِ الْقَسَامَةِ

Maksudnya: “Berulangnya kaffarah dengan berulangnya sumpah.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 10/20).

Kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan, sekalipun tidak ada kaffarah baginya, tetapi jika apa yang dilakukannya itu berupa perkara maksiat dan dosa, maka hendaklah dia bertaubat dan perbanyakkanlah beristighfar serta memohon keampunan kepada Allah dengan penyesalan yang sebenar-benarnya. Mudah-mudahan Allah SWT menerima taubat tersebut dan seterusnya mengampuni dosa-dosa kita semua, lalu menjadikan kita insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kafarah. Diakses pada 28 September 2023.

[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kifarat. Diakses pada 28 September 2023.

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445