Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkan untuk seseorang itu terus mengambil wuduk selepas bangun daripada tidur tanpa memasuki bilik air terlebih dahulu? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.
(Surah al-Ma’idah: 6)
Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).
Sebelum kami menjawab soalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu takrifan wuduk. Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53).
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, apa yang kami fahami daripada soalan di atas mengenai memasuki bilik air terlebih dahulu sebelum berwuduk, kami andaikan bahawa saudara yang bertanya memaksudkan membersihkan diri atau beristinja’ terlebih dahulu sebelum berwuduk. Justeru, kami ingin nyatakan bahawa membersihkan diri atau beristinja’ tidak termasuk dalam syarat sah wuduk kerana istinja’ itu tujuannya adalah untuk membersihkan/menghilangkan najis. Oleh yang demikian, apabila tidak ada najis, maka tidak perlu kepada beristinja’ atau menyucikan najis.
Dalam keadaan seperti ini, wuduk seseorang itu tetap sah tanpa perlu memasuki bilik air. Akan tetapi, solatnya dikira tidak sah, jika terdapat najis pada dubur atau qubul. Maka, najis tersebut mesti dibersihkan dan dihilangkan, supaya solat yang didirikan dikira sah dan bukannya untuk kesahan wuduk. Jawapan yang sama turut diberikan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ketika ditanyakan mengenai soalan yang hampir serupa.[1]
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa tidak disyaratkan seseorang itu perlu memasuki bilik air sama ada bagi tujuan membersihkan diri atau beristinja’ selepas bangun daripada tidur bagi kesahan wuduknya. Sebaliknya wuduknya dikira sah apabila memenuhi syarat-syarat sah wuduk. Akan tetapi sekiranya dia berhadas besar ketika bangun daripada tidur, maka dia hendaklah mandi wajib bagi mengangkat hadas besar tersebut.
Sekalipun begitu, kami juga berpendapat bahawa adalah lebih baik untuknya membersihkan diri terlebih dahulu sebelum berwuduk bagi tujuan melakukan ibadat seperti mendirikan solat, membaca al-Quran dan sebagainya. Inilah yang lebih sempurna dan dekat dengan agama Islam itu sendiri yang sangat prihatin terhadap soal menjaga kebersihan dan bersuci. Ini kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada ciri-ciri iman. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Malik al-Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.”
Riwayat Muslim (223)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)
[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question1.aspx?QuestionId=1059. Diakses pada 5 Oktober 2023.
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445