#3413: Mencabut Bulu Mata

Soalan:

Assalamualaikum Dr. Saya nak tanya, hukum cabut atau tarik bulu mata. Adakah sama seperti hukum cukur bulu kening? Sebab saya ada kecenderungan untuk tarik bulu mata bila saya rasa mengantuk. Selalunya waktu sesi kelas/meeting. Hukum cukur kening jelas dah, cuma saya takut part bulu mata. Macam mana ya Dr? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di dalam nas -nas syarak, terdapat beberapa perintah yang mengarahkan supaya dicukur beberapa jenis bulu yang terdapat pada anggota tubuh manusia. Ini sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ ـ أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ ـ الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: “Fitrah itu ada lima – atau lima perkara yang menjadi fitrah – adalah berkhatan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong misai.”

Riwayat al-Bukhari (5889)

Para ulama apabila mengulas kalimah Istihdad daripada hadis di atas mengatakan, maksudnya adalah: Mencukur bulu kemaluan. Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Istihdad adalah mencukur bulu kemaluan, iaitu bulu-bulu yang berada di sekitarnya.(Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 253)

Imam al-Nafrawi dari kalangan fuqaha bermazhab Maliki menyatakan bahawa bulu-bulu yang berada di sekitar dubur juga turut dikira sebagai bulu kemaluan.(Lihat al-Fawakih al-Dawani, 2/306)

Terdapat bulu-bulu yang dilarang oleh syarak untuk mencukurnya. Di antaranya adalah memotong atau mencukur janggut bagi orang lelaki. Larangan ini dapat kita lihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ أَحْفُوا الشَّوَارِبَ وَأَعْفُوا اللِّحَى

Maksudnya: “Cukurlah misai-misai, dan biarkanlah jangut-janggut.”

Riwayat Muslim (259)

Begitu juga bulu kening. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah SWT melaknat para pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para wanita yang mencukur bulu kening serta wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi-gigi mereka yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat Muslim (2125)

Ibn Hajar turut menukilkan kata-kata Imam Abu Daud di dalam Al-Sunan dengan katanya: النامصة adalah perempuan yang mengurangkan (menipiskan) bulu keningnya. Beliau juga turut menukilkan kata-kata Imam Al-Thabari yang berikut: Tidak boleh bagi seorang perempuan itu untuk mengubah sedikitpun dari asal penciptaan asal dirinya yang telah Allah ciptakan dengan menambah atau mengurangkan bertujuan untuk mendapatkan kecantikan. Tidak boleh dia lakukan untuk suaminya dan tidak juga kepada selainnya, seperti sesiapa yang kedua keningnya bersambung lalu dia membuang bulu yang berada di antara keduanya.(Lihat Fath al-Bari, 10/390)

Menjawab bagi persoalan di atas dalam isu ini kami katakan mencabut atau menghilangkan bulu mata adalah tindakan yang tidak dibolehkan. Tindakan ini tidak dibenarkan kerana menghilangkan bulu mata dapat mengakibatkan hilangnya manfaat dan perhiasan yang Allah SWT ciptakan. Salah satu manfaat penting dari bulu mata adalah melindungi pancaindera penglihatan dari ancaman berbahaya yang dapat merosakkan mata, seperti debu, pasir, serangga, dan sebagainya. Selain itu, bulu mata juga berperanan dalam menyaring cahaya yang masuk ke mata, membantu menjaga keseimbangan cahaya yang diperlukan untuk melihat dengan jelas. Oleh yang demikian kami berpandangan tidak dibolehkan mengubah ciptaan Allah dengan mencabut atau menghilangkannya. Hal ini sebagaimana yang telah ditegah oleh syara’ melalui firman Allah SWT:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. ( Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil al-Quran, 9/222.)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Sebahagian ulama mengharamkan  mencabut atau memendekkan bulu mata kerana ia juga termasuk dalam larangan  النمص  iaitu larangan mencabut bulu pada wajah. Ibn Qudamah menyatakan dalam kitabnya al-Mughni: “Perbuatan (mencabut bulu pada wajah)  ini adalah haram, kerana Nabi s.a.w telah melaknat orang yang melakukannya da. (Lihat al-Mughni,1/129)

Begitu juga telah dinyatakan dalam kitab Fiqh al-Manhaji bahawa:  النمص ialah mencabut bulu pada wajah yang diharam bagi lelaki dan perempuan. Tidak ada perbezaan antara pelaku dan orang yang diperlakukan, kerana ini menyebabkan laknat Allah terhadap mereka. Laknat hanya ditujukan kepada tindakan yang haram, bahkan kepada salah satu dari dosa-dosa besar. (Lihat Fiqh al-Manhaji,3/102)

Dalam isu ini juga Ibn Hazm menyatakan dalam kitabnya al-Muhalla bahawa: النمص adalah mencabut bulu dari wajah. Oleh itu, sesiapa yang melakukannya kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain, maka dia dilaknat oleh Allah SWT.”(Lihat al-Muhalla, 2/398)

Justeru, kami ingin menekankan bahawa mencabut bulu mata adalah tindakan yang diharamkan, kerana ia termasuk dalam larangan النمص, yang merujuk kepada mencabut bulu pada bahagian muka, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith yang disebutkan di atas. Selain daripada itu, tindakan ini juga dianggap sebagai mengubah ciptaan Allah SWT.

Dalam Islam, menjaga keselamatan dan kesejahteraan tubuh serta menjaga pancaindera penglihatan adalah suatu kewajipan. Oleh itu, tindakan yang boleh membawa kepada kerosakan mata atau mengancam indra penglihatan harus dihindari.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445