#3414: Fatwa Yang Baik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami sifat fatwa yang baik berdasarkan pengalaman Dato’ Seri sebagai Mufti Wilayah suatu ketika dulu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ucapan terima kasih kerana bertanya soalan ini. Kami mulakan terlebih dahulu dengan definisi fatwa.

Definisi Fatwa Dari Segi Bahasa

Memandangkan perkataan ‘fatwa’ (فَتْوَى) berasal daripada bahasa Arab, sudah tentu rujukan makna dan maksudnya dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar (Lihat Lisan al-Arab oleh Ibn al-Manzur, Mu’jam Maqayis al-Lughah oleh Ibn Faris, Mukhtar al-Sihah, Taj al-‘Arus dan lain-lain lagi.). Kami juga mendapati bahawa perkataan fatwa disebut dalam tiga sebutan, iaitu fatwa (فَتْوَى), futya (فُتْيَا), dan futwa (فُتْوَى) di mana jamaknya al-fatawa (الفَتَاوَى) dan al-fatawi (الفَتَاوِي) yang memberi maksud:

  • Penjelasan tentang sebarang perkara oleh seseorang yang faqih.
  • Penerangan berkenaan perkara yang mempunyai kemusykilan dan kesamaran tentang hukum oleh seorang faqih.
  • Memberi jawapan bagi sesuatu permasalahan oleh seorang faqih.

Asal sebutan-sebutan ini adalah dari kalimah ‘fata’ (فَتَى) yang bermaksud seorang pemuda yang sihat, cergas, dan gagah. Hubungkaitnya dengan fatwa pula ialah apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa terhadap perkara yang samar-samar dan tidak jelas, fatwanya itu menjadikan sesuatu hukum tersebut lebih kuat dan kukuh.

Ia juga dikatakan berasal daripada perkataan ‘fata’ iaitu seorang lelaki yang berusia muda. Perkaitannya juga jelas, apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa tentang sesuatu permasalahan bermakna dia memperbaharui hukum tersebut.

Lantaran itu, perkataan futya dan fatwa mempunyai maksud yang sama dengan salah satunya digunakan di tempat yang berbeza. Kedua-duanya juga merupakan kata nama (isim).

Ibn Manzur berkata: “Perkataan fatwa lebih banyak digunakan berbanding futya kerana ia sesuai untuk menjadi masdar iaitu kata nama. Seterusnya, kedua-dua perkataan ini iaitu futya dan fatwa digunakan di tempat al-ifta’ yang bermaksud satu perbuatan menetapkan fatwa tentang sesuatu hukum atau kepentingan hukum yang dikeluarkan oleh seorang faqih.

Definisi Fatwa Dari Segi Istilah

Oleh kerana fatwa dibahaskan di dalam kitab-kitab usul fiqh sebagai salah satu cara mengeluarkan hukum secara mendalam, justeru para ulama telah mendefinisikan fatwa seperti berikut:

  • Kata Al-Imam al-Qarafi (684 H), fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah sama ada pada yang mesti ataupun harus. (Lihat al-Furuq oleh al-Qarafi, 4/53)
  • Kata Al-Jurjani (816 H) fatwa adalah: Menjelaskan hukum bagi suatu permasalahan.
  • Syeikh al-Qunawi al-Hanafi (978 H) mengatakan bahawa fatwa adalah menyebutkan hukum pada perkara yang ditanyakan kepada penyoal. (Lihat Anis al-Fuqaha, 1/319)
  • Kata al-Imam al-Munawi (1031 H) fatwa ialah jawapan dari seorang mufti. (Lihat al-Ta’arif li al-Munawi, 550)
  • Kata al-Imam al-Buhuti[2] (1051 H): Fatwa adalah menjelaskan hukum syarak kepada sesiapa yang bertanya tentangnya. (Lihat Syarah Muntaha al-Iradaat oleh Mansur bin Yunus al-Buhuti, 3/483)
  • Imam al-Syaukani (1250 H) mengatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad. (Lihat Irsyad al-Fuhul, hlm. 443)
  • Kata al-Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar (1430 h): Fatwa adalah memberi perkhabaran berkenaan hukum Allah daripada dalil syarak kepada sesiapa yang bertanya tentang perkara tersebut disebabkan berlakunya sesuatu kejadian.
  • Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili (1436 H) mengatakan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/2284)
  • Abdullah Abdul Muhsin al-Turki mendefinisikan fatwa sebagai suatu perkhabaran dari seorang mufti sebagai jawapan kepada soalan atau penjelasan bagi hukum sekalipun ia bukan merupakan soalan yang khas. (Lihat Usul Mazhab al-Imam Ahmad)
  • Muhammad Husin al-Jizani pula mendefinisikan fatwa sebagai penjelasan hukum syarak. (Lihat Ma’alim Usul al-Fiqh ‘Inda Ahli al-Sunnah)
  • Muhammad Taqi al-‘Uthmani berkata: “Fatwa ialah jawapan kepada masalah agama. Ini kerana, mufti menjawab semua hukum syara’ yang bersifat amali dan juga permasalahan akidah.” (Lihat Usul al-Ifta’ wa Adabuhu, hlm. 10)

Sementara itu ulama fiqh pula telah mendefinisikan fatwa dengan pelbagai takrif antaranya:

  • Menerangkan hukum sesuatu permasalahan.
  • Menjawab segala kemusykilan baik dari sudut syarak atau undang-undang. Kedua takrifan di atas merupakan pendapat mazhab Hanafi.
  • Mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk diikuti. Ini adalah pendapat ulama Malikiah.
  • Memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu permasalahan sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berkumpulan.

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi antara lain katanya; “Fatwa tiada makna baginya tanpa disebut beserta dengannya dalil. Bahkan keindahan fatwa serta rohnya berdasarkan kepada dalil.”

Sebagaimana kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, kadang-kadang sesuatu itu berhajat kepada munaqasyah, dalil-dalil yang menyalahi dalam menetapkan salam masalah-masalah yang penting. Ini bertujuan agar yang bertanya selamat pemikirannya dari sebarang tasywish atau kekeliruan dengan hujah pihak yang menyalahinya.

Kami katakan peri pentingnya dalil kerana ia menoktahkan satu-satu jawapan berdasarkan rujukan yang terkini iaitu al-Quran dan hadith. Benarlah firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Ibn Kathir apabila menafsirkan ayat ini berkata: Ini adalah perintah daripada Allah SWT. Bahawasanya setiap perkara yang manusia saling bercanggah padanya dari sudut usul agama ataupun furuk (cabangnya), hendaklah dikembalikan kepada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Dan apa-apa yang dihukumkan oleh kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW serta dipersaksikan oleh keduanya itu maka ia adalah satu kebenaran. Beliau juga turut menambah dengan katanya: Berhukum dengan kitabullah dan juga sunnah Rasulullah SAW, serta merujuk kepada keduanya untuk merungkaikan sebarang percanggahan adalah suatu perbuatan yang baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/231)

Dalam Islam, perintah Allah dan sunnah Nabi SAW merupakan undang-undang asas dan yang paling utama dalam semua perkara. Setiap kali terdapat sebarang perselisihan di kalangan umat Islam atau antara pemerintah dan yang diperintah, perkara itu hendaklah dirujuk kepada Al-Quran dan al-Sunnah, dan semua yang berkenaan hendaklah menerima dengan ikhlas apa sahaja keputusan yang diputuskan.

Sebenarnya, kesediaan untuk menjadikan Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya sebagai rujukan umum, dan menganggap keputusan Al-Quran dan al-Sunnah sebagai kata terakhir dalam semua perkara, adalah ciri utama yang membezakan sistem Islam daripada yang tidak Islamik. Sesetengah orang mempersoalkan prinsip bahawa kita harus merujuk segala-galanya kepada Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW. Mereka tertanya-tanya bagaimana kita boleh berbuat demikian apabila terdapat banyak soalan praktikal yang terlibat, contohnya, perintah dan peraturan yang berkaitan dengan pentadbiran perbandaran, pengurusan kereta api dan perkhidmatan pos dan sebagainya yang tidak dibincangkan sama sekali dalam sumber ini.

Keraguan ini timbul, bagaimanapun, daripada salah faham tentang Islam. Perbezaan asas antara seorang Muslim dan non-Muslim adalah bahawa walaupun yang terakhir merasa bebas untuk melakukan apa yang dia kehendaki, ciri-ciri asas seorang Muslim adalah dia sentiasa mencari petunjuk kepada Tuhan dan Nabi-Nya, dan di mana bimbingan itu tersedia, seorang Muslim terikat dengannya. Sebaliknya, ia juga agak penting untuk diingat bahawa apabila tiada panduan khusus tersedia, seorang Muslim berasa bebas untuk menggunakan budi bicaranya kerana ketiadaan undang-undang khusus yang menunjukkan bahawa Tuhan sendiri telah sengaja memberikan kebebasan kepada manusia untuk membuat keputusannya. (Lihat Tafsir al-Maududi)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445