#3416: Siapakah Yang Dianggap Mujaddid?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Berdasarkan penerangan Dato’ yang terkait dengan hadith mujaddid, kami ingin mengetahui siapakah yang dianggap sebagai mujaddid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas kami mulakan dengan sebuah hadith:

Daripada Abi Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلَّ مِئَةٍ سَنَةٍ مَنْ يُجَدَدَ لَهَا دِينَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah membangkit untuk ini umat (Islam) pada kepala bagi tiap-tiap 100 tahun akan seorang (alim atau sekumpulan ulama) yang membaharui baginya akan agamanya.”

Sunan Abi Daud (4270), al-Hakim (522/4) dan Al-Bani dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah (599).

Hadis di atas secara umumnya menyatakan bahawa akan muncul pada setiap permulaan seratus tahun mereka yang akan mentajdidkan urusan agama bagi umat Islam. Nas nabawi menggunakan perkataan مَنْ yang merupakan di antara lafaz mutlak. Ini menjadikan bahawa, mujaddid (tokoh pembaharuan) itu tidak semestinya bersifat individu semata-mata, dan boleh jadi ianya merupakan sekelompok dari kalangan para ulama.

Imam Al-Zahabi (w. 748 h.) apabila mengulas hadis ini beliau berkata: Pendapat yang aku pegang dari hadis ini adalah, lafaz مَنْ يجَدِدُ itu merujuk kepada jamak (sekumpulan manusia) bukannya individu. (Lihat Tarikh Al-Islam, Al-Zahabi, 23/180).

Ucapan ini juga senada dengan apa yang disebutkan oleh Imam Ibn Kathir (w. 774 h.) yang menyatakan: Yang sahihnya adalah, hadis ini meliputi setiap individu dari kalangan para ulama dalam setiap zaman, dari kalangan mereka yang menjalankan fardu kifayah dalam usaha menyampaikan ilmu daripada kumpulan salaf yang mereka temui, kepada kumpulan khalaf selepas mereka. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh sebuah hadis yang datang dari jalan yang mursal dan juga jalan yang tidak mursal:

يَحْمِلُ هَذَا العِلمَ مِن كُلِ خلَفٍ عُدوله ُ، ينفونَ عنْه تحَريفَ الغَالينَ وانتِحَالَ المُبطِلينَ

Maksudnya: “Akan memikul ilmu ini dari setiap generasi itu golongan yang adil dari kalangan mereka. Mereka akan menafikan darinya (ilmu) penyelewengan kelompok yang melampau, serta serangan kelompok penyerang.”

Riwayat Al-Baihaqi

Kemudian kata Ibn Kathir lagi: Dan hal ini wujud Alhamdulillah sehinggalah ke zaman kita ini. (Lihat Al-Bidayah wal-Nihayah, 6/256).

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (w. 852 h.) pula dalam mengulas hadis ini beliau berkata: Tidaklah menjadi satu kemestian bahawa pada setiap permulaan seratus tahun itu terdapat seorang individu sahaja. Bahkan keadaan padanya adalah seperti yang disebutkan kepada sekumpulan manusia (iaitu boleh jadi jumlahnya ramai). Sesungguhnya terkumpulnya sifat-sifat yang perlu dalam mentajdidkannya (umat) tidaklah terbatas pada satu jenis dari jenis-jenis kebaikan. Demikian juga tidak menjadi kemestian semua ciri-ciri kebaikan itu terkumpul pada seorang individu sahaja. (Lihat Fath al-Bari Syarah Sahih al Bukhari, Ibn Hajar 13/295).

Terdapat beberapa syarat bagi mujaddid, antaranya:

  • Kebijaksanaan dalam ilmu dan penguasaannya yang mendalam. Dengan sebab itu dikatakan mujaddid adalah mujtahid.
  • Dia melaksanakan amalan yang menunjukkan berlakunya tajdid dalam menzahirkan Islam dan selamat dari sebarang khurafat.
  • Ilmu yang dimilikinya itu dapat dimanfaatkan oleh ramai orang pada zamannya bahkan selepasnya.

Boleh jadi dalam satu-satu masa terdapat ramainya mujaddid seperti mana pendapat Ibn al-Athir, al-Jazari, al-Zahabi, Ibn Kathir dan Ibn Hajar al-Asqalani.

Sebenarnya, ulama khilaf dalam menentukan siapa yang menjadi mujaddid pada setiap kurun. Ibnu Kathir berkata, setiap kaum mendakwa yang imam mereka sebagai mujaddid sedangkan ia adalah umum bagi setiap disiplin ilmu di kalangan ulama termasuk ahli tafsir, hadith, fiqh, nahu, lughah dan lain-lain.

Dinisbahkan kepada Imam Ahmad yang mujaddid pada 2 kurun pertama ialah Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan juga Imam al-Syafi’i.

Antara yang dianggap mujaddid ialah:

  • Khalifah Umar bin Abdul Aziz (61 H – 101 H)
  • Al-Hasan al-Basri (21 H – 110 H)
  • Ibn Shihab al-Zuhri (28 H – 124 H)
  • Al-Qasim bin Muhammad (36 H – 106 H)
  • Salim bin Abdullah (wafat 106 H)
  • Muhammad bin Sirin (33 H – 110 H)
  • Dan ramai lagi

Ini merupakan sebahagian daripada lapisan pertama atau 100 tahun yang pertama. Adapun 100 tahun yang kedua dikatakan ialah:

  • Imam al-Syafi’i (150 H – 204 H)
  • Imam Ahmad bin Hanbal (164 H – 241 H)
  • Yahya bin Ma’in (158 H – 233 H)
  • Dan ramai lagi

Adapun 100 tahun yang ketiga dikatakan:

  • Imam al-Nasa’i (215 H – 303 H)
  • Ibnu Suraij (wafat 303 H)
  • Abu Hasan al-Asy’ari (260 H – 324 H)
  • Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333 H)
  • Dan lain-lain lagi

Adapun 100 tahun yang keempat, dikatakan:

  • Al-hakim al-Naisaburi (321 H – 403 H)
  • Abu Bakar al-Baqillani (338 H – 402 H)
  • Imam al-Haramain (419 H – 478 H)
  • Dan lain-lain lagi

Adapun 100 tahun yang kelima, dikatakan:

  • Abu Hamid al-Ghazali atau Imam al-Ghazali (450 H – 505 H)
  • Salahuddin al-Ayyubi (532 H -589 H)
  • Abu al-Faraj Ibnu al-jauzi (508 H – 597 H)
  • Abdu al-Qadir al-Jailani (471 H – 561 H)
  • Dan lain-lain lagi

Adapun 100 tahun yang keenam, dikatakan:

  • Fakhruddin al-Razi (544 H – 606 H)
  • Abu Qasim al-Rafi’i (555 H – 623 H)
  • Izzudin bin Abi Salam (577 H – 660 H)
  • Imam al-Nawawi (631 H – 676 H)
  • Dan lain-lain lagi

Seterusnya, sebahagian ulama menganggap ia wujud di sepanjang zaman. Para mujaddid yang sentiasa membawa agama di atas landasan kebenaran. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445